Isnin, 19 April 2010

Menyelamat Pesalah Dengan Hujjah di Mahkamah?

Saya amik dari www.zaharuddin.net

Saya seorang pelajar undang sivil dan syariah uia. Baru-baru ni saya ikuti satu talk mengenai ' "can a muslim lawyer defend a guilty person" dan saya begitu terperanjat penceramah mengatakan bahawa muslim boleh membela semua jenis client yang datang kepada mereka, walaupun mereka mengaku diatas kesalahan mereka, di antara hujahnya:

1) kerana tiada istilah bersalah terhadap seseorang selagi mana dia tidak disabitkan bersalah oleh hakim.

2) si peguam hanya mendengar pengakuan daripada satu pihak sahaja (client) bukan dari kedua-kedua belah pihak.

3) kita tetap tidak akan disoal di akhirat kerana kita menjalankan tugas kita, iaitu menegakkan kebenaran (terhadap klien)

Adakah betul kita boleh membela semua klien yang datang kepada kita walaupun dia membunuh, atau merogol atau sebagainya, terutamanya bagi mereka yang mengaku (kerana penceramah tetap menghalalkannya atas dasar setiap insan ada defence, hujah diatas perbuatan). Jika itu tugasan yang dilakukan, bagaimana pula pendapatannya?.


Bagi saya soalan ini adalah amat baik dan realistik. Menarik untuk dikaji dan dihurai lebih mendalam. Cuma di ruangan ini saya hanya mampu memberikan pandangan ringkas.

Memang benar, ada jenis kesalahan yang perlukan lebih dari pengakuan seseorang, sebagai contoh Nabi s.a.w menolak pengakuan Maiz bin Malik yang mengaku berzina sehingga pengakuan dibuat sebanyak empat kali, barulah baginda memutuskan hukuman ke atasnya.

Begitulah, mungkin benar, pengakuan seseorang masih belum mencukupi untuk kita menyakini dia bersalah dan tidak layak dibantu. Memang benar juga, selepas segala pengakuan beserta bukti-bukti yang terpampang di hadapan kita, semuanya akan menjadi saksi. Di ketika itu seorang peguam mungkin masih boleh membantu dengan mempertahannya di mahkamah selaku klien. Itu benar dan sememangnya tugas menjatuhkan hukuman akan tertanggung di atas bahu hakim.

Namun begitu, di dalam Islam peguam tersebut tidak boleh sama sekali terlibat dalam menyembunyi beberapa fakta dan bukti yang telah kita perolehi ketika bersama klien kita. Fakta dan bukti ini sebahagiannya jika diperolehi oleh pihak pendakwa bakal membawa kepada sabit kesalahan ke atas klien kita.

Jika ia disembunyikan, ia jelas termasuk di dalam perkara yang haram. Manakala pendapatan hasil pembelaan tersebut juga menjadi haram disebabkan ia termasuk di dalam bantu membantu dalam perkara dosa, maksiat dan permusuhan serta mengagalkan keadilan dari ditemui dan ditegakkan. Sebagaimana Allah mengharamkan seorang saksi enggan menjadi saksi dalam pembelaan keadilan.

وَلاَ يَأْبَ الشُّهَدَاء إِذَا مَا دُعُوا

Ertinya : Janganlah saksi-saksi itu enggan (memberi keterangan) apabila mereka dipanggil ( Al-Baqarah : 282)

Maka tatkala peguam bela tersebut menjadi saksi kepada pengakuan kliennya walau di luar mahkamah, peguam tersebut sepatutnya menjadi saksi bagi menegakkan keadilan dalam kes terbabit.

Memang benar, keputusan akan dibuat oleh hakim, tapi cuba peguam bela memaklumkan dengan jelas dan terang kepada hakim dan mahkamah, bagaimana pengakuan kliennya di sebalik tabir beserta bukti-bukti yang mungkin peguam tersebut sendiri jumpai. Tatkala itu, seorang peguam yang bertanggungjawab akan sendiri faham dan mengetahui apakah hukuman yang bakal dijatuhkan oleh hakim.

Namun malangnya, selaku PEGUAM BELA yang mewakili pelanggannya, penyembunyian fakta dan data kerap berlaku, ia dibuat bagi mengelakkan pelanggannya didapati bersalah. Jika itu berlaku, jelaslah tugas dan gajinya dalam kes terbabit akan sama ada jatuh syubhat atau lebih jelas lagi menjadi haram.

Bukankah Nabi pernah menjelaskan, sekiranya seseorang peguam itu bijak berbicara sedangkan ia mengetahui kliennya bersalah tetapi tetap menjalankan ‘tugasnya' membela dengan segala jenis kepintarannnya berhujjah, sehingga akhirnya hakim menyakini kepetahan hujjahnya sehingga menjatuhkan hukuman yang salah, apakah yang akan menimpanya ? Bacalah erti hadis di bawah:-

إنما أنا بشر , وإنكم تختصمون إلىّ , ولعلّ بعضكم أن يكون ألحن بحجته من بعض , فأقضي بنحو ما أسمع , فمن قضيت له من حق أخيه شيئاَ فلا يأخذه , فإنما أقطع له قطعة من النار

Ertinya : Sesungguhnya aku hanya manusia, dan kamu sentiasa membawa kes pertikaian untuk di selesaikan olehku, dan mungkin sebahagian kami lebih cekap berhujjah dari sebahagian lainnya, maka aku telah memutuskan hukuman berdasarkan apa yang kudengari sahaja. Barangsiapa yang telah ku jatuhi hukuman dan hukuman itu mengambil hak yang lain (akibat kurang cekap pihak yang benar dalam berhujjah), maka janganlah kamu mengambilnya, sesungguhnya ia bakal menjadi sepotong api neraka" (Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan lain-lain ; Rujuk Naylul Awtar, 8/632, no 3920 )

Amat jelas dari hadis ini, tindakan seorang peguam berhujjah membantu si pesalah adalah salah di sisi Islam dan dikira melayakkan dirinya untuk dibakar oleh sepotong api neraka. Jika itu keadaanya, nescaya pendapatan darinya juga pasti haram.

Walaupun hadis kelihatan menyebut perihal mereka yang terlibat di hadapan hakim sahaja (dalam konteks moden iaitu peguam), namun hadis ini membawakan satu prinsip yang jelas buat semua umat Islam, iaitu kita tidak sama sekali boleh menyebelahi mereka yang salah walau atas nama profesion, kaum, satu parti, keluarga dan sebagainya.

Firman Allah :

يا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ لِلّهِ شُهَدَاء بِالْقِسْطِ وَلاَ يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلاَّ تَعْدِلُواْ اعْدِلُواْ هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُواْ اللّهَ إِنَّ اللّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Ertinya : Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. ( Al-Maidah : 8).

Rasulullah menegaskan prinsip keadilan tanpa mengira bangsa, kaum dan keluarga apabila baginda menyebutkan dalam sebuah hadis yang cukup popular iaitu :-

إِنَّمَا أَهْلَكَ الَّذِينَ قَبْلَكُمْ أَنَّهُمْ كَانُوا إِذَا سَرَقَ فِيهِمُ الشَّرِيفُ تَرَكُوهُ، وَإِذَا سَرَقَ فِيهِمُ الضَّعِيفُ أَقَامُوا عَلَيْهِ الْحَدّ. وَايْمُ اللَّهِ لَوْ أَنَّ فَاطِمَةَ بِنْتَ مُحَمَّدٍ سَرَقَتْ لَقَطَعْتُ يَدَهَا

Ertinya : Sesungguhnya kaum sebelum kamu menjadi hancur disebabkan apabila mereka yang berkedudukan mencuri, mereka melepaskannya, tetapi jika orang biasa (lemah kedudukan) mencuri dijatuhkan hukuman ke atasnya, Demi Allah (dalam Islam), sekiranya Fatimah Binti Muhammad mencuri, nescaya akan ku potong tangannya ( jatuh hukum sebagaimana yang lain). ( Riwayat Al-Bukhari.

Kesimpulannya, saya TIDAK BERSETUJU dengan jawapan penceramah peguam seperti yang ditanyakan di atas.


Saya Berkata:

Matlamat tidak akan menghalalkan cara yang bakal diguna pakai. Letaklah sesuatu itu pada tempatnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Assalamualaikum Warahmatullah

Senarai Blog Saya

Pengikut