Khamis, 15 April 2010

Melatih Solat Khusyu' Bab 2

SOLAT MERUPAKAN PERJALANAN ROHANI MENUJU ALLAH

Sesungguhnya Aku ini adalah Allah, tidak ada tuhan (yang hak) selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingatiKu. (Thoha, 20 : 14)

Kajian-kajian ilmiah mengenai spiritual dewasa ini telah berkembang dengan pesat, terutama aliran Psikologi Transpersonal yang membahaskan secara telus tentang rahsia kecerdasan emosi dan spiritual. Di dalam kajian Psikologi Moden, Psikologi Transpersonal merupakan kekuatan keempat dalam aliran psikologi setelah Psikoanalisa, Behaviorisme dan Psikologi Humanistik. Psikologi Transpersonal merupakan bentuk perkembangan ilmu psikologi yang tidak tersentuh oleh analisa para psikologis terdahulu, walhal kajian ini secara langsung banyak membincangkan wilayah pusat (kewujudan dan aktiviti jiwa), bukan hanya gejala empirisnya sahaja.

Sekarang kita perhatikan solat. Solat merupakan aktiviti jiwa (soul) yang termasuk dalam kajian ilmu Psikologi Transpersonal, kerana solat adalah proses perjalanan spiritual yang penuh makna, dilakukan seorang manusia untuk menemui Tuhan Semesta Alam. Solat dapat menjernihkan jiwa dan mengangkat pelaku solat untuk mencapai tahap kesedaran yang lebih tinggi (altered states of consciousness) dan pengalaman puncak (peak experience).

Solat memiliki kemampuan untuk mengurangkan perasaan cemas kerana terdapat lima unsur iaitu:
1. Meditasi atau doa yang teratur, minimu lima kali sehari.
2. berehat melalui gerakan-gerakan solat.
3. Hetero atau auto sugesti dalam bacaan solat.
4. group therapy dalam solat jemaah juga dalam solat sendiri (minimum ada aku dan Allah).
5. hydro therapy dalam mandi junub atau wudhu' sebelum solat.

Dalam solat, seperti pandangan Psikologi Transpersonal, seseorang akan berusaha untuk menjejaki jalan spiritual untuk mempertemukan diri yang fana dengan kekuatan Illahi (divine power) atau AKU yang kekal (baqa').

Solat adalah salah satu cara ibadah yang berkaitan dengan Meditasi Transendental, iaitu mengarahkan jiwa kepada satu objek dalam masa beberapa saat, seperti melakukan hubungan langsung antara hamba dan Allah. Ketika solat, rohani bergerak menuju Zat Yang Maha Mutlak. Fikiran terlepas dari keadaan realiti dan pancaindera melepaskan diri dari segala macam hal yang berlaku disekitarnya, termasuk perasaan seperti sedih, gelisah, cemas dan letih. Bentuk perjalanan jiwa dalam solat ini disebut sebagai proses untuk memasuki kesedaran Psikologi Transpersonal.

Setiap pelaku meditasi memerlukan objek di dalam mengarahkan fikiran atau jiwanya. Pada saat jiwa diarahkan terhadap sesuatu, jiwa meninggalkan tubuh sehingga kesedarannya dengan bebas berubah menjadi berada di puncak paling tinggi. Dengan demikian, jiwa menjadi pengendali ke atas diri.

Islam menempatkan Zat Yang Maha Mutlak sebagai puncak tujuan rohani, tempat rehat jiwa, sumber hidup, sumber kekuatan dan sumber inspirasi. Dengan mengarahkan jiwa kepada Allah, rohani akan mengalami pencerahan kerana ia berada pada ketinggian yang tak terbatas, sehingga jiwa kembali kepada keadaan bersih (fitrah). dan tidak tercemar oleh dorongan-dorongan nafsu. Jiwanya bersih kerana usahanya menanggalkan keterikatan dengan tubuh yang memiliki kecenderungan melakukan tindak balas kimia. Secara semulajadi, tubuh selalu menyeret fikiran untuk mengikuti reaksi kimia tersebut tanpa mampu menghentikannya. Selama ini pengendali fikiran kita bukanlah kesedaran jiwa, tetapi dorongan seperti lapar, haus, keinginan sex, marah dan malas. Semua itu timbul kerana aktiviti tubuh, Inilah dinamakan jiwa mengikuti nafsu dan bukannya nafsu yang mengikuti jiwa.

Jiwa (ruh) yang diturunkan oleh Allah kepada tanah yang dibentuk adalah berasal dari tiupan Illahi yang Maha Suci, membawa misi memelihara serta mengendali bumi (khalifah). Entah dimana silapnya, jiwa jatuh ke dalam lumpur sehingga ruh yang suci itu tampak gelap dan tidak bersinar. Ia tidak mampu mengendalikan tubuhnya. Tubuhnya bagai tanpa tuan dan pengetahuan. Keadaan ini seperti "hati yang paling dalam" atau hati nurani. Seolah² jiwa (ruh) berada jauh di dasar. Ini menunjukkan jiwa tidak mampu melakukan tugasnya sebagai utusan Allah, yang mengatur anggota tubuhnya dengan sinar ketuhanan untuk menjalankan kehidupan sesuai dengan fitrah Illahi. Inilah yang disebut sebagai Al-Quran sejati yang tidak tertulis dan tanpa suara, sehingga keabadian firmanNYA tetap terjaga kerana tersimpan dalam kalam yang suci, bukan berupa huruf dan suara. Ibnu Taimiyyah menyebutnya sebagai "alfitrah almunazzalah" iaitu kesucian yang diturunkan.

Solat adalah salah satu cara mengembalikan kesedaran ini dengan perjalanan mi'raj iaitu menuju kepada ketinggian Illahi yang luas sehingga kesedaran jiwa kembali pada kedudukannya sebagai duta Illahi (khalifah) yang membawa pesanan illahiyah.

Kedudukan jiwa menjadi tidak terikat (unbinding) dengan irama tubuhnya. Yang menjadi pengendali tubuh ialah jiwa yang berserah kepada Allah (mukhlisin), jiwa yang cerah dan tidak terjangkau oleh fikiran negatif mahupun perasaan gelisah. Kerana jiwa berada di atas keadaan itu. Allah menggambarkan syaitan pun tidak mampu menjangkau keadaan jiwa yang beserah diri kepada Allah :

Sesungguhnya syaitan itu tidak ada kekuasaannya atas orang-orang yang beriman dan bertawakkal kepada Tuhannya. Sesungguhnya kekuasaan syaitan hanyalah atas orang-orang yang mengambilnya jadi pemimpin dan atas orang-orang yang mempersekutukannya dengan Allah (An-Nahl, 16 : 99-100)

Dalam ayat lain:

Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa apabila mereka ditimpa was-was dari syaitan, mereka mengingati Allah. Maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya. (Al-A'raaf, 7: 201)

Demikian pula pengakuan syaitan kepada Allah yang termaktub di dalam Surah Shaad, 38: 82-83 -:

Demi kekuasaan Engkau, aku akan menyesatkan mereka semua, Kecuali hamba-hambaMu yang mukhlis diantara mereka.

Ketika solat, seluruh saraf tidak menghantar impuls dari pancaindera, kerana jiwa secara perlahan bergerak meninggalkan keterikatannya dengan badan (syahwat). Keadaan ini disebut fikiran abstrak. Elektron fikiran berhenti hingga menjadi 'aether' (tenaga bukan material). Lalu dilepaskan oleh jiwa dan menjelma sebagai cahaya yang disebut nur fuad, cahaya batin, yang kembali kepangkalnya, iaitu Allah. Ketika getaran antara cahaya batin berjumpa dengan Nurullah, terjadilah keadaan jiwa yang berserah dan lepas bebas dari pengaruh alam atau keadaan tubuh.

Syaitan hanya mampu menembus jiwa manusia ketika berada di alam rendah (tubuhnya). Ketika jiwa yang bening tidak mampu melihat kerana tenggelam di dalam lumpur, maka yang menggantikan penguasa tubuh adalah syaitan. Tinggal lah jiwa meruntun sedih, tidak mampu berbuat apa-apa. Jiwa hanya mampu mengatakan tidak setuju terhadap perbuatan mungkar yang dilakukan oleh tubuh tanpa mampu melakukan apa-apa, sehingga syaitanlah yang menggantikan kedudukan jiwa sebagai pengendali fikiran, perasaan dan batin manusia. jika dalam solatnya manusia tidak melakukan perjalanan jiwa (ruhani) kepada Allah, maka jiwanya akan terjebak pada pengaruh alam yang lebih rendah. Sebagaimana firman Allah yang terkandung di dalam Surah Az-Zukhruf, 43: 36 -:

Barangsiapa berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah, kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan), maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalui selalu menyertainya.

Itulah sebabnya Allah menurunkan cara paling mudah untuk mengembalikan kesedaran tersebut agar jiwa menjadi fitrah. Berpuasa di Bulan Ramadhan merupakan salah satu cara agar jiwa kembali seperti bayi. Namun kita terkadang tidak sedar bahawa beribadah sebenarnya bukanlah untuk mengejar pahala, tetapi sebagai training atau latihan untuk mencapai darjat taqwa sehingga menghasilkan manusia yang mampu menjalankan kehidupan yang fitrah.

Kalimah 'hati nurani' ini sering kita dengar pada setiap pengajian dan pembahasan berkaitan kehidupan masyarakat yang ideal. Namun yang nyata, pengetahuan ini tidak pernah kita capai dengan mudah. Sehingga kini belum ramai yang menjelaskan seterusnya mengajak menyelami jiwanya sendiri. Diibaratkan seperti persoalan berkaitan cinta? cinta itu apa? Tentu sukar untuk membayangkan jika hanya dijelaskan hanya dengan kata-kata apalagi melalui penafsiran. Rasa cinta tidak perlu ditafsirkan ataupun dihuraikan menurut bahasa sastera tinggi kerana akan semakin jauh dari kenyataan sebenar.

Jika kita belajar cinta melalui pembacaan buku karangan Kahlil Gibran, maka kita akan temui pengetahuan tentang cinta serta liku-liku yang panjang tak berkesudahan. Jadi cinta itu apa? Cinta bukan liku-liku, cinta bukan sebuah fragmen kehidupan, cinta bukan gula-gula. Cinta adalah, .....kita tidak dapat menjelaskan serta mendefinisikannya. Masuklah ke dalamnya, maka anda akan menjadi cinta itu sendiri. Anda akan menceritakan diri anda yang kemaruk cinta dengan lancar. Cinta itu akan bercerita dengan bahasa tanpa huruf, tanpa suara, bahkan dengan bunga, dengan rumah, dengan bahasa apa saja. Yang penting orang tahu itu adalah bahasa cinta yang boleh difahami oleh semua makhluk.

Dengan jiwa sejati yang dipenuhi sinar Illahi, barulah kita boleh berkata, berjalan dan bekerja dengan nurani. Bukan mendengarkan nurani, kerana kita tidak akan mampu menjalankan nasihat nurani, kerana tubuh kita (tubuh, fikiran dan perasaan) bukanlah nurani. JADILAH NURANI!!! syaitan tidak ada di sini, kerana nurani adalah utusan (duta) Illahi yang dilindungi oleh sinarNYA. Ia adalah pesuruh suci yang selalu taat kepada keputusan Allah. itu sebabnya mengapa Allah mengatakan bahawa RUH adalah rahsiaNYA.

Tidaklah kalian mengetahui tentang ruh kecuali hanya sedikit (Al-Isra' : 85)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Assalamualaikum Warahmatullah

Senarai Blog Saya

Pengikut