Memaparkan catatan dengan label Pedoman. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pedoman. Papar semua catatan

Khamis, 3 Mac 2011

Ketahui Hak Anda Dalam Saman Ekor

Assalamualaikum Warahmatullah....

2 3 hari yang lepas ramai antara kita yang berpusu2 nak pegi bayar saman (boleh masuk perkara yang pelik2 tuh). Jarang sekali lihat orang berpusu2 nak pegi solat masjid / surau kecuali hari raya laaa...

Kita pulak cukup takut dengan hukuman dunia "tak bole renew rotek, tak bole renew lesen = bakal disaman lagi jika pandu kreta tiada rotek dengan lesen dah mati". Kita tak pernah rasa gerun dengan janji Allah akan azab siksa-Nya yang dahsyat kerana tak bersyukur.

Bukan itu pokok persoalannya....

Hari ni nak berkongsi sebuah dapatan dari email seorang member. Mari kita tambah ilmu di dada... usah diperbodohkan lagi.

Tajuk:

Ketahui Hak Anda Dalam Saman Ekor

Oleh : Zulhazmi Shariff

Ramai yang masih kabur dan tidak faham hak mereka sebagai rakyat Malaysia. Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi Negara. Perlembagaan Persekutuan menjamin hak setiap rakyat Malaysia tanpa mengira agam, kaum, bangsa dan juga fahaman politik. Semua warganegara dijamin hak yang sama.

Salah satu hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan ialah hak rakyat terhadap harta. Ini disebut dalam Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan

Hak terhadap harta.

(a) Tiada seseorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang.


(b) Tiada sesuatu undang-undang pun boleh membuat peruntukan bagi mengambil atau menggunakan harta-harta dengan paksa dengan tiada pampasan yang mencukupi.

Selalunya Perkara 13 ini digunakan di dalam kes pengambilan tanah melalui Akta Pengambilan Tanah 1960. Sebenarnya Perkara 13 ini bukan sahaja melibatkan harta tak alih seperti tanah, tetapi meliputi harta alih seperti kenderaan. Justeru penafian hak memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga sebenarnya termasuk di dalam penafian hak rakyat terhadap harta. Alasannya jika seseorang rakyat itu dihalang dari memperbaharui cukai jalan kenderaan mereka yang menyebabkan kenderaan itu tidak boleh digunakan maka rakyat itu telah dinafikan haknya terhadap harta.

Jika seseorang rakyat telah dinafikan hak mereka menggunakan harta (kenderaan) mereka tanpa alasan yang berlandaskan peraturan dan undang-undang maka Perkara 13 (b) menyatakan bahawa pampasan hendaklah diberikan. Ini bermaksud jika JPJ menghalang seseorang memperbaharui cukai jalan yang menyebabkan kenderaan tidak boleh digunakan, maka JPJ hendaklah membayar pampasan kepada pemilik kenderaan tersebut.

Hujah ini adalah bersandarkan keputusan kes Leonard Lim Yaw Chiang lwn Director of Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak yang telah diputuskan pada tahun 2009. Di dalam kes ini, seorang rakyat bernama Leonard Lim Yaw Chiang telah disenarai hitam dan dihalang oleh JPJ Sarawak dari memperbaharui cukai jalan kereta beliau. Beliau telah memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuching untuk memutuskan bahawa tindakan JPJ menyenarai hitam dan menghalang beliau memperbaharui cukai jalan adalah salah. Beliau juga memohon gantirugi daripada JPJ di atas kehilangan penggunaan kereta beliau selama kereta tersebut tidak boleh digunakan kerana tiada cukai jalan.

Mahkamah telah memutuskan bahawa JPJ tidak boleh menyenarai hitam kenderaan di atas suatu kesalahan yang belum dibuktikan di Mahkamah. Tindakan JPJ menyenarai hitam diputuskan telah bertentangan dengan Perkara 13 Perlembagaan. JPJ juga telah diarahkan membayar gantirugi kepada pemohon dalam kes itu kerana kesusahan beliau tidak dapat menggunakan kenderaan sehingga terpaksa menyewa kenderaan lain.

Justeru di sini ingin dimaklumkan kepada pemandu-pemandu dan pemilik-pemilik kenderaan yang dinafikan hak mereka memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu, bahawa hak anda dilindungi oleh Perlembagaan. Pihak berkuasa tidak boleh sewenang-wenang menafikan hak anda.

Berbalik kepada tawaran Kerajaan memberikan diskaun pembayaran saman sehingga hari ini 28/2/2011. Ingin dimaklumkan bahawa tindakan ini tetap salah. Isu utamanya ialah bukan jumlah bayaran kompaun atau denda itu RM300 atau RM150 atau pun RM50. Isu utamanya adalah, ADAKAH SESEORANG ITU BENAR-BENAR MELAKUKAN KESALAHAN YANG DIDAKWA SEHINGGA MEREKA WAJIB MEMBAYAR DENDA?

Perlu diambil perhatian bahawa untuk menguatkuasakan sesuatu peraturan dan undang-undang, sesebuah pihak berkuasa hendaklah juga mengikut peraturan dan undang-undang. Saman tidak boleh tertunggak. Jika ada yang tertunggak maka ianya bukan saman. Saman hendaklah dikemukakan di Mahkamah. Orang yang disaman (OKS) hendaklah diserahkan saman dan diperintahkan hadir ke Mahkamah untuk menjawap saman itu. Jika OKS mengaku salah maka mahkamah akan memerintahkan OKS itu membayar denda. Jika denda dibayar maka saman itu selesai dan tidak akan tertunggak. Jika saman diserahkan kepada OKS tetapi OKS tidak hadir ke Mahkamah, maka mahkamah akan keluarkan waran tangkap supaya OKS hadir mahkamah. Maka proses yang sama akan berlaku iaitu OKS akan ditanya mengakui kesalahan atau meminta bicara. Jika mengaku maka akan diarahkan supaya bayar denda bagi saman itu. Maka selesailah saman itu. Tidak tertunggak. Jika tidak mengaku maka akan dibicarakan. Bergantung kepada keputusan mahkamah, jika didapati salah selepas bicara, maka akan diperintahkan untuk bayar denda. Selesai lah saman itu. Jika tidak bersalah maka luput juga saman itu. Tidak tertunggak.

Soalannya kenapa ada saman tertunggak? Jawapannya pertama kerana saman-saman itu tidak pernah dibawa ke Mahkamah. Kedua kerana yang dikatakan saman itu sebenarnya bukan saman tetapi notis sahaja.

Saman Ekor yang dikatakan saman ini sebenarnya bukan saman tetapi sekadar notis kepada pemilik kenderaan meminta maklumat pemandu yang dikatakan memandu melebihi hadlaju. Notis ini juga disertakan tawaran kompaun jika pemilik kenderaan mengaku melakukan kesalahan. Ia dikeluarkan di bawah Seksyen 115 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atau dikenalai dengan Notis Pol 170A. Jika pemilik tidak mengaku kesalahan maka kompaun tidak perlu dibayar kerana kompaun itu hanyalah tawaran. Jika pemilik tidak membayar kompaun sepatutnya pemilik disaman supaya hadir ke Mahkamah bagi menjawap tuduhan memandu melebihi hadlaju. Kemudian proses mahkamah yang dijelaskan sebelum ini akan berlaku. Maka saman itu akan selesai dan tidak tertunggak. Masalah timbul apabila pihak berkuasa terus menghukum pemilik supaya membayar kompaun sedangkan kesalahan tidak dibuktikan. Kompaun bukan denda tetapi tawaran. Denda hanya boleh dikeluarkan dan diarahkan oleh Mahkamah. Bukan Polis dan bukan JPJ. Inilah penyalahgunaan kuasa dan peraturan oleh pihak berkuasa. Mereka bertindak melebihi kuasa yang diberikan. Mereka bertindak sebagai penghukum sedangkan tugas itu hanya ada pada Mahkamah.

Justeru kepada semua rakyat Malaysia, ketahui hak anda, jangan mudah terpedaya dengan tawaran dan penindasan. Gunakan hak anda… TIADA SIAPA BOLEH MEMAKSA ANDA MEMBAYAR SESUATU YANG ANDA TIDAK LAKUKAN. Anda Mampu Mengubahnya.

Bagaimana JPJ boleh menhalang pembaharuan cukai jalan?

1) Seksyen 17(1)(d) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2010

JPJ berkuasa menghalang seseorang melakukan apa-apa transaksi termasuk perbaharui cukai jalan tetapi setelah JPJ BERPUASHATI bahawa seseorang ada perkara yang belum selesai dengan JPJ dan Polis.

Bagaimana JPJ hendak BERPUASHATI?

2) Seksyen 17(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2010

JPJ hendaklah memberikan peluang kepada seseorang membuat representasi. Ini bermaksud JPJ hendaklah menjalankan siasatan adakah seseorang itu ada perkara yang belum selesai. Maka semua pihak perlu hadir iaitu pemilik kenderaan, JPJ dan Polis yang mengeluarkan saman. Perlu disiasat adakah saman yang dikatakan ada kepada seseorang itu betul atau tidak. Sudah dibuktikan di mahakamh atau tidak. Jika tidak maka JPJ tidak boleh menyenarai hitam. Inilah maksud BERPUASHATI

3) Seksyen 17(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2010

Jika dihalang daripada perbaharui cukai jalan maka Pengarah JPJ hendaklah maklumkan kepada Ketua Pengarah pengangkutan, di mana Ketua Pengarah hendaklah maklumkan secara bertulis dalam tempoh 14 hari kepada pemilik kenderaan tentang alasan halangan dibuat ke atas pemilik. Adakah notis ini pernah dikeluarkan kepada pemilik?

Jika anda dihalang daripada perbaharui cukai jalan tanpa alasan yang sah anda boleh:

a) Minta alasan bertulis daripada JPJ kenapa anda dihalang.

b) Minta JPJ perbaharui cukai jalan dengan segera jika alasan bertulis itu tidak munasabah dan tidak betul.

c) Jika JPJ enggan mematuhi permintaan anda, anda boleh menyaman/menuntut di Mahkamah untuk gantirugi kehilangan penggunaan kenderaan anda dan kesusahan anda kerana tidak boleh menggunakan kenderaan.

Zulhazmi Shariff ialah Penasihat Undang-Undang Kempen Anti Saman Ekor (KASE)


Demikian tuan2 & puan2 sidang pembaca...

Ruang perbincangan masih terbuka untuk kita bincangkan... demi untuk kebaikan kita bersama

Rabu, 22 September 2010

Alternatif

Kita sebagai manusia adalah berbeza dari segi penciptaan berbanding dengan makhluk Allah yang lain. Apa yang membezakan kita dengan malaikat ialah keupayaan kita untuk membuat pilihan. Manusia bebas untuk memilih kebaikan dan menolak kejahatan atau memilih kejahatan dan meminggirkan kebaikan.

Semasa pilihan kebaikan (niat) dibuat manusia sudah pun beroleh kebaikan (pahala) dan kebaikan tersebut bertambah dengan terlaksananya pilihan kebaikan. Sebaliknya jika pilihan maksiat (niat) dibuat, manusia belum dikira melakukan kesalahan (dosa). Namun kesalahan dikira sejurus melaksanakan pilihan maksiat tersebut. Perlu diingat bahawa usaha manusia yang tersasar melakukan kesalahan kembali kepada kebaikan menjadikan manusia kembali baik malah bertambah baik. Maha Suci Allah yang begitu Pengasih dan Penyayang terhadap hambaNya.

Perhatikan firman Allah (Surah al-Shams) yang berikut:
[7]
Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya);
[8]
Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; -
[9]
Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan),
[10]
Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).


Ternyata kehidupan atas bumi ini dipenuhi dengan dugaan alternatif, pilihan serta choice yang telah dibentang oleh Allah Yang Maha Pencipta kepada kita. Ujian ini hanya wujud atas muka bumi ini... tidak terdapat di alam lain.

'Kehidupan' kita bermula dari alam ruh... kita tidak punya pilihan melainkan patuh dan taat pada Allah Yang mencipta kita. Lemahkan kita...

Kemudian kita di transfer ke alam rahim dan sekali lagi kita tidak punya sebarang pilihan. Kita tidak boleh memilih untuk:
Jadi lelaki atau perempuan
Keluarga bangsawan atau orang bawahan
Kulit cerah atau kelam
Mancung atau pesek
Sempurna atau cacat
Hatta untuk selamat keluar melihat dunia atau lemas di alam tersebut pun tertakluk kepada kekuasaan Allah.
Tatkala itu tiada manusia yang berhak membuat pilihan. Kerana semuanya telah Allah tentukan berdasarkan ilmuNYA yang tiada batas.

Setelah lahir kita ke bumi, barulah Allah beri 'privilege' kepada kita untuk membuat pilihan. Itupun setelah kita mencapai apa yang dikatakan sebagai mumaiyiz a.k.a sempurna akal. Sebelum itu, kita masih tidak boleh membuat sebarang pilihan. Tidak upaya untuk pilih:
Susu kegemaran
Lampin kesukaan
Syampoo idaman

Allah beri kita kuasa memilih ini hanya sekejap cuma. Tak lama. Kejaaapppp jee... dari mumaiyiz hingga kita mati sahaja. Dan pilihan yang dibuat dalam tempoh tersebutlah yang bakal merubah senario masa depan kita buat selama2nya. Ingat kita masih ada 2 alam lagi yang perlu ditempuh dan keduanya tidak membolehkan kita untuk membuat sebarang pilihan. Pilihan hanya ada atas muka bumi nih. Diulangi hanya ada atas muka bumi nih.

Cuba perhatikan firman Allah (Surah Sajdah) yang ini:
[12]
Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin”.
[13]
Dan (bagi menolak rayuan itu Allah Taala berfirman): “Kalaulah Kami telah tetapkan persediaan (memberikan hidayah petunjuk untuk beriman dan beramal soleh kepada tiap-tiap seorang dengan ketiadaan usaha dari masing-masing), nescaya Kami berikan kepada tiap-tiap seorang akan hidayah petunjuknya (sebelum masing-masing meninggal dunia, supaya tidak terkena azab di akhirat); tetapi telah tetap hukuman seksa dariKu: ` Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan semua jin dan manusia (yang pada masa hidupnya tidak berusaha untuk beriman dan beramal soleh)”.


Bukankah ayat ini antara bukti bahawa kita sudah tiada pilihan bila berada di alam selain dari alam dunia?

Mari kita telusuri kehidupan kita seharian. Seawal mendengar Azan Subuh (kalau dengar la) kita diberi pilihan untuk bangkit solat atau menarik selimut lantas terus melelapkan mata. Kita mampu memilihnya. Kemudian pelbagai jenis pilihan terhidang untuk kita, mandi atau sekadar membasuh rambut, baju petak atau plain, seluar itam atau biru, sarapan ringan atau berat. Kita mampu memilihnya.

Seterusnya bila tiba di pejabat kita juga dikehendaki memilih untuk terus duduk menyiapkan kerja atau bermain solitaire atau mungkin membaca akhbar dulu. Kita mampu memilihnya. Kita juga dikehendaki memilih untuk menyiapkan kerja dengan teliti, amanah dan integriti atau dengan sambil lewa dan acuh tak acuh. Kita mampu memilihnya. Tatkala Azan Zuhur berkumandang, kita juga mampu memilih untuk melaksanakan solat awal waktu atau keluar makan tengahari atau meneruskan kerja yang belum siap. Kita mampu memilihnya.

Ada sorang sahabat Nabi tengah buat rumah tiba2 dengar azan lalu berhenti :
Walaupun hanya tinggal seketul batu je lagi nak letak untuk siapkan rumah tu, lalu org munafik tegur, “kenapa tak siapkan, satu batu je lagi…” sahabat tadi tak marah dan bagitau kat orang tu “aku takut nanti Allah Tanya kat akhirat mana yang kau lebih utamakan, Allah atau batu?” dan ajak org tu gi masjid… Ternyata kita pun mampu memilihnya.

Oleh kerana Azan Asar berkumandang sekitar 4.20-4.45 petang dan kita balik ke rumah (abis waktu pejabat) dalam lingkungan 5.00-5.30, maka kita ada pilihan untuk melaksanakan solat diawal waktu atau men'delay'kan ibadah kita setelah sampai dirumah. Kita mampu memilihnya.

Sesampai di rumah, bertemu dengan isteri (bagi yang ada isteri di rumah) kita boleh sebenarnya memilih untuk bermanis muka, mengucapkan salam dan kata2 manis untuk isteri yang setia menunggu di rumah atau melakukan sebaliknya, marah2 kerana rumah bersepah, rimas dan pelbagai reaksi lain. Kita mampu memilihnya.

Teringat respon Rasulullah SAW yang kita cinta terhadap soalan dari Aishah si Humairah yang mempersoal layanan baik Rasulullah terhadap perilaku buruk orang terhadap baginda. Mafhumnya "Perlukah aku membuang sikap baikku, kerana sikap buruk orang lain?". Bukankah kita juga mampu memilihnya?

Setelah Solat Maghrib kita juga boleh memilih untuk laksanakan Solat Sunat Awwabin atau tadabbur Al-Quran atau duduk di atas sofa menunggu jam 8. Semuanya atas kita untuk memilihnya. Kita mampu memilihnya.... Seterusnya, samada kita masih di atas sejadah atau di atas sofa atau di depan tv dan terdengar Azan Isya' di kumandangkan terpulang atas pilihan kita untuk bangkit Solat Isya' diawal waktu atau meneruskan kerja kita dan sekali lagi men'delay'kan solat. Kita yang memilihnya.

Akhirnya, sebelum tidur dan bagi mengakhiri kegiatan seharian kita. Kita dihidangkan pilihan samada untuk:
Solat Sunat Witir
Niat bangun Qiamullail
Berwudhu'
Doa Tidur
Tidur telentang, tiarap, mengiring atau gaya bebas
Kita mampu memilihnya.

Namun, yang paling penting... kita sebenarnya berhak untuk memilih samada ingin menjalankan kehidupan kita mengikut Sunnah Rasulullah secara keseluruhan, sebahagian atau menidakkannya. Kerana Allah Yang Maha Tahu telah menyediakan contoh tauladan untuk kita follow. Contoh yang baik seperti Muhammad Rasulullah. Contoh yang tak baik seperti Firaun, Haman, Namrud.... Kita mampu memilihnya.

So, silakan pilih untuk kita sendiri amalkan atau kita ajak orang untuk sama2 beramal...

Sabtu, 22 Mei 2010

Pedoman

Nampaknya orang yang bertakwa pada zaman dahulu, kerana takutkan Allah, sanggup menjadi binatang asal sahaja tidak di hisab.., tapi kita hari ni takutkan Allah ada rasa takut sampai tahap nak jadi pokok, daun atau binatang?

Sebaliknya korang hari ni dah jadi binatang bukan sebab takut pada Allah, tapi jadi binatang sebab tak takut pada Allah, apa yang binatang buat, itulah yang korang buat, binatang cari rezeki, korangpun cari rezeki, binatang kahwin korangpun kahwin, binatang tak pergi masjid, korangpun tak pergi masjid, binatang tak puasa, korangpun tak puasa, binatang tak berdakwah, korangpun sama, lepas tu angan angan dapat kuasa macam binatang, nak cegah mungkar macam spiderman, batman, keluangman dan cicakman..,

Selasa, 18 Mei 2010

Pedoman

Sesungguhnya, Siapa saja yang mencintai manusia, maka manusia itu akan meninggalkan kamu sama ada kerana curang atau kerana menjadi mayat, Dan barangsiapa yang mencintai Allah, maka sesungguhnya Allah itu tidak akan meninggalkan kamu, dan Allah tidak akan mati dan tidak akan curang buat selama lamanya, dan Allah itu akan menerima cinta sesiapa sahaja hambanya yang bertaubat walaupun mempunyai dosa setinggi gunung mencecah awan, kerana Allah adalah Kekasih Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang…

Senarai Blog Saya

Pengikut