Memaparkan catatan dengan label doa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label doa. Papar semua catatan

Rabu, 15 Februari 2012

Beringat sebelum terlambat



Marilah sejenak menundukkan hati kita, menundukkan kepala kita. Marilah kita sama-sama mengenangkan orang yang paling berjasa kepada diri kita. Orang yang kini usianya kian tua, kian tak bermaya.  Munculkanlah wajah kedua ibu bapa kita. Biar kita benar-benar berasa mereka ada dekat dengan kita.

Ingatlah dulu ketika kita berada 9 bulan dalam perut ibu ketika ibu masih muda. Walaupun berjalan berat… susah berbaring… berdiri pun sakit… ibu tetap tersenyum setiap kali membelai perutnya. Bahagia kita berada di rahimnya.

Ayah semangat ke sana sini mencari nafkah untuk kita yang bakal lahir.

Sembilan bulan di rahim ibu… menjelang kita lahir ke dunia… ibu sakit tak terperi. Tidak tahu samada akan hidup atau mati. Meregang nyawa. Bersimbah air mata. Keringat… darah. Itulah saat kita lahir ke dunia.

Tetapi tidak ada keluhan. Walaupun sakit dan hampir mempertaruhkan nyawanya. Didekatnya diri kita… dipeluk… diciumi… dihitung jari-jari kita.
Penuh cinta.

Siang malam dijaga. Rela ibu tidak makan asal kita makan. Ingatlah ketika ibu sedang makan, kita membuang kotoran… tidak jijik.

Kalau kita sakit, ibu resah… sepanjang malam tidak tidur. Rela menukarkan nyawanya agar kita panjang umur.

Ayah mencari nafkah agar kita mampu ke sekolah. Ke sana sini berusaha keras agar kita memiliki kasut… agar kita memiliki beg… seperti anak-anak yang lain.

Walaupun orang tua kita banyak dosa… tetapi tetap ingin kita selamat.

_______________________________________________________________________________

Semakin lama kita semakin besar. Apa yang kita lakukan untuk menggembirakan hatinya?

Mulut kita seperti pisau yang sentiasa menghiris hatinya. Bulat mata…terjegil kita merenung mereka setiap kali berbicara. Kekadang menghentak lantai dan dinding memarahi mereka.

Ada yang menganggap ibunya sebagai pembantu sahaja. Di arah ke sana sini.

Ada yang menganggap ayah seperti kuli. Dibohongi… didustakan.


Berapa belas dan puluh tahun kita menzalimi ibu bapa kita.

Akan datang sampai saat kita berpisah…

Kenanglah ketika ibu bapa sudah terbaring menjadi mayat.
Kenangkanlah orang yang mengandung kita sudah terbujur kaku.
Matanya sudah tertutup.
Kulitnya berkedut.. kerepot.
Tubuhnya sudah dingin membeku.

Kita tidak lagi mendengar suaranya. Tidak lagi mendengar doa doanya. Ketika kain kapan menutup tubuhnya… kita tidak lagi mampu mencium tangannya…tidak lagi mampu membawa ole-ole kesukaannya. Tidak ada lagi orang yang selama ini berkorban lahir dan batin untuk kita. Ketika orang tua kita sudah dimasukkan ke dalam kubur… hanya tinggal batu nisan yang mampu kita lihat.

Kita tidak tahu…adakah orang tua kita bangga atau kecewa melahirkan diri kita. Ada air susu yang dibalas dengan air tuba. Belaian dibalas dengan herdikan… pengorbanan dibalas dengan penghinaan. Ada yang menghina ibu bapanya. Jarang ingin berbicara dengannya dengan lembut. Anak derhaka…di dunia ini pasti dibalas oleh Allah.

Jangan-jangan kita sengsara adalah disebabkan derhaka kepada ibu bapa. Hati-hatilah…jangan
sampai hidup kita sengsara sepanjang hayat.

Bertekadlah untuk menjadi anak yang tahu berbakti… yang taat… yang
membalas jasa. MENYESAL TIDAK PERNAH DATANG DI AWAL.

Wahai saudaraku. Jadikanlah keberadaan kita di sini menjadi kebanggaan ibu bapa.

Tidak ada orang tua yang sempurna. Tetapi relakah melihat orang tua kita sengsara? Dikubur tersiksa….di akhirat menjadi ahli neraka (nauzubillah).

Beristighfarlah…. beristighfarlah… Astaghfirullah al adzhim… sambil ingat dosa kita pada orang tua.

Istighfarlah saudara.. Astaghfirullah al adzhim… minta ampun kepada Allah… kenangkan kezaliman kita pada orang tua … sambil beristighfar… Astaghfirullah al adzhim…


Istighfarlah saudara…Astaghfirullah al adzhim…selama ini kita sering mengkhianati Allah…selalu melupakan Allah…yang jarang mahu bersujud kepada Allah…istighfarlah…istighfarlah…Astaghfirullah al adzhim…

Sama-sama kita beristighfar…Astaghfirullah al adzhim…ingatlah dosa-dosa kita yang mendekati maksiat…Allah Maha Melihat…minta ampun pada Allah…

Astaghfirullah al adzhim…

Ya Allah ampuni ibu bapa kami…selamatkanlah sisa umurnya ya Allah…bahagiakan ya Allah…jadikan kuburnya lapang ya Allah…jadikanlah mereka ahli syurga ya Allah…


Ya Allah kau kurniakan kepada kami pendamping yang terbaik…pernikahan yang berkah…rumahtangga yang sakinah…keturunan yang soleh dan solehah.


Ampuni sebusuk apa pun dosa kami ya Allah…ampuni sekelam apa pun masa lalu kami ya Allah…ampuni senista apa pun kata-kata kami ya Allah.


Ya Allah…berikan kami kesanggupan menjauhi dosa ya Allah. Nikmatkan kami taat ya Allah.


Ya Allah…Jadikanlah kami ahli solat yang khusyuk. Ahli Al-Quran ya Allah…ahli zikir yang istiqamah.


Ya Allah walaupun kami sibuk dengan urusan dunia ya Allah…jadikan kami sentiasa ingat dan dekat denganMu ya Allah. Berikanlah rasa cinta kepadaMu dalam jiwa kami ya Allah…


Terima kasih ya Allah…terima kasih.


Dipetik dari JPHB Vol 3
image : Laman-seri.blogspot.com


Khamis, 19 Januari 2012

Secebis permintaan

Ya ALLAH, Tuhan yang Maha Menguasai atas tiap-tiap sesuatu, Tuhan yang Maha Mengatur segala kehidupan dan kematian, Tuhan yang Maha Mengaturkan segala ketentuan,

aku memohon Ya ALLAH,
agar aku diberi kelapangan masa untuk ibu bapaku ketika mereka di saat-saat akhir kehidupan mereka,
agar aku dapat menatap wajah mereka buat kali terakhir,
agar aku dapat hilangkan rasa rindu pada mereka setelah pemergian yang tidak akan kembali lagi ke sisi kami ya ALLAH,
agar aku dapat mengajar mereka mengEsakan Mu ya ALLAH.

Ya ALLAH, Tuhan yang Maha Mengetahui walaupun sesaat kehadapan, Tuhan yang Maha Berkuasa terhadap segala apa yang ada di langit, di bumi dan antara keduanya, Tuhan yang berfirman bahawa pohonlah kepada ALLAH, nescaya ALLAH makbulkan setiap permohonan. aku mohon untuk diperkenankan. Ameen.

Isnin, 6 Jun 2011

Indahnya Hidup Bertuhan : Bukan itu ku pinta...

Kita pilih apa yg kita pilih,
Juga apa yang kekasih hati pilih,
Bukan pilih pilihan Yang Maha Memilih.


Langkah kedua setelah kita lakukan istikharah ialah usaha kita terhadap 'jawapan' yang telah diberi. Hal ini juga tidak dapat tidak perlukan kepada petunjuk dan bimbingan dari ALLAH swt. Yakinilah hanya ALLAH sahaja yang Maha Tahu tentang perkara terbaik untuk kita. ALLAH sahaja yang Maha Tahu tentang perkara yang paling sesuai untuk kita.

Namun begitu, diawal mujahadah kita untuk bertanya dan bergantung harap kepada ALLAH ini, akan terdengar bisikan nafsu mengatakan "Kalau macam ni, lambat laaa... asyik nak kena tunggu jawapan dari ALLAH"

Sedarlah wahai insan, sahabat dan kawanku...

Tindakan nafsu itu sebenarnya melekehkan serta mempertikai kekuasaan ALLAH swt. Ketahuilah bahawa ALLAH pasti menjawab. Jawapan yang paling tepat adalah dari ALLAH. ALLAH tidak akan menangguhkan jawapan agar dengan jawapan tersebut kita dapat membuat keputusan dengan betul. ALLAH tidak pernah menzalimi kita. Maha Suci ALLAH dari segala sifat kekurangan.

Masalahnya, kita yang tidak faham dan terlalu lemah untuk memahami. Ilmu kita pun sememangnya teramat terbatas. Kadang kita sendiri yang tidak mahu memahami jawapan yang diberi dan tak tahu dimana letak duduk jawapan tersebut.

Sahabat serta saudaraku,

Manusia dikurniakan akal dan fikiran untuk menilai dan menimbang. Mavelesnya akal dan fikiran yang dijana oleh otak kurniaan ALLAH ini ialah ianya boleh memproses maklumat sebanyak 50Gb sesaat!!! Maka dengan keupayaan sedemikian rupa, akal perlu digunakan untuk merenung serta memikirkan jawapan yang diberikan oleh ALLAH kepada kita. Jika jawapan masih juga belum kelihatan, maknanya permintaan kita belum tiba waktunya untuk dijawap.

Kerap juga terjadi bila kita mula 'memerintah' ALLAH dan meminta agar permintaan kita dilaksanakan dengan SEGERA!!! Kita nyata lupa dan alpa bahawa ALLAH lebih tahu bilakah masa paling sesuai untuk memberikan jawapan. Bagi kita, kita merasakan jika impian kita terlaksana ketika ini maka kita akan bahagia. Tetapi kita tidak dapat menjangka adakah nikmat bahagia itu akan terus membahagiakan di masa hadapan.

Lihat sahaja pemakan makanan tanpa pantang. Pengambilan kadar gula yang tinggi dan ekstrem akan bergelar pesakit diabetik dihujung jalan. Ya, manis dan lazat sekarang tidak semestinya baik untuk masa hadapan. Siapa lebih tahu akan hal ini? Tidak lain dan tidak bukan hanya ALLAH swt.

ALLAH swt tahu dan teramat tahu tatkala DIA tidak mengurniakan impian kita pada waktu tersebut. ALLAH paling tahu samada ianya sesuai atau tidak.

Cuba kita lihat kisah dalam Surah Hijr bermula ayat ke 30 - 42

[36]
Iblis berkata:” Wahai Tuhanku! Jika demikian, berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangitkan (hari kiamat)”.
[39]
Iblis berkata: ” Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya,
[42]
“Sesungguhnya hamba-hambaKu, tidaklah ada bagimu sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, kecuali sesiapa yang menurutmu dari orang-orang yang sesat (dengan pilihannya sendiri).


Lihat dan renung kisah ini... Iblis pun mintak izin dari ALLAH swt. Namun kita? Kita teramat jarang memohon keizinan dari ALLAH sebelum buat sesuatu. Oleh itu, mari kita sama2 berusaha untuk mendahulukan lah ALLAH swt.

Sahabat serta saudaraku,

Usahlah kita mengeluh kerana impian, hajat dan permintaan kita belum dimakbulkan. Percayalah bahawa ALLAH Maha Memakbulkan, namun kerana kelemahan kita, maka kita tidak faham serta terlalu teruja dengan harapan kita. Yakini juga bahawa ALLAH memberi yang terbaik dan paling sesuai untuk kita dari sisi-NYA.

Jangan bersangka buruk pada ALLAH swt hanya kerana hajat kita belum menampakkan hasil. Kita kena akur akan kelemahan kita kerana tidak faham. Kita tidak tahu akan kemungkinan hajat kita bakal merosakkan kita pada masa hadapan. Kita juga jahil akan masa paling sesuai hajat itu ditunaikan. Kita juga tidak tahu adakah hajat kita itu tertulis dalam takdir kita.

Oleh itu, mari kia lazimi membaca doa ini;

Ya ALLAH... pilihkanlah untukku dengan keluasan ilmu-MU dan tentukanlah untukku dengan kehendak-MU. Aku pohon kemurahan-MU yang sangat luas kerana ENGKAUlah yang boleh menentukan sesuatu. ENGKAU Maha Mengetahui apa yang tidak ku ketahui dan ENGKAUlah yang paling tahu berkaitan hal-hal yang ghaib.
Ya ALLAH... Jika sesuatu ini menurut-MU baik bagiku, kehidupan dan kesudahanku, maka pilihlah ia untukku dan mudahkanlah ia bagiku, kemudian berkatilah. Dan seandainya ini menjadi malapetaka bagiku, agamaku, kehidupanku dan kesudahan perkaraku, maka jauhkanlah ia daripadaku sejauh-jauhnya, dan berilah aku kebaikan di mana saja berada dan redhailah aku kerananya.

Maksud lazim ialah baca bila2 masa dimana berada. Hingga jadi satu kebiasaan. Jadikan mainan bibir. Try tengok buat 2 minggu.... Rasai hasilnya.

Seringkali jawapan yang kita terima adalah melalui tabir alam, oleh itu kita seharusnya terlebih dahulu belajar untuk saling mengenal dengan alam sekitar kita. Kita seringkali tidak sedar akan kesombongan diri kita pada makhluk ALLAH yang lain. Tanggapan bahawa kita 'manusia' lebih baik dan mulia dari pokok dan haiwan membuatkan kita lupa bahawa 'mereka' ini tidak pernah putus untuk sentiasa bertasbih dan memuji ALLAH. Manakala kita yang selalu lupa dan lalai ini hanyut dengan keegoan diri. Hubungan yang terbina sesama makhluk itu merupakan jalan untuk kita lebih memahami bahasa alam.....

Next Cinta sesama makhluk....

Khamis, 5 Mei 2011

Indahnya Hidup Bertuhan : Seni Berdoa

Seni itu soal jiwa dan rasa
Doa tanpa seni, ibarat lagu tanpa irama
Pincang lagu, punah irama.

Ibnu Qayyim menukilkan;

"Barangsiapa yang diberi makan berupa zikir dan bersih daripada penyakit duniawi serta diberi minuman berupa tafakkur akan memperoleh pelbagai hikmah."

Berilmu dan bijaksana merupakan 2 benda yang cukup berbeza. Ilmu boleh diperolehi melalui pelbagai medium dan pendekatan. Melalui pelbagai cara dan kaedah. Secara formal atau non-formal. Namun jika ilmu itu tidak dikuasai dengan sebenarnya, maka mereka tidak tergolong dikalangan bijaksana. Oleh itu, mereka yang bijaksana ialah mereka yang berilmu, menguasai ilmu dengan baik, mengamalkannya untuk diri sendiri dan orang lain.

Antara ilmu dan kemahiran yang tidak dititikberatkan ialah kemahiran untuk berdoa. Ada antara kita yang sentiasa berdoa dimurahkan rezeki, namun hingga kesaat ini hidup kita masih nyawa-nyawa ikan. Kadang cukup, kadang tak cukup. Pelbagai ikhtiar telah kita usahakan dari kerja lebih masa hinggalah melakukan kerja kedua dan ketiga. Namun kehidupan masih disitu-situ juga. Hampa. Hidup kian tertekan dan adakalanya kita rasa macam tak guna.

Kita sering tertanya-tanya bukan?

Jawapannya:

Pertama, ALLAH swt itu Maha Adil, Maha Mendengar, Maha Memberi, Maha Memudahkan dan tidak pernah menyusahkan. ALLAH swt pasti akan memperkenankan doa kita selagimana kita tidak mengatakan "Aku dah doa banyak kali dah, tapi ALLAH tak maqbulkan."

Kedua, Seni berdoa dan berzikir.

Kita maklumi bahawa doa itu senjata bagi orang mukmin. Kita juga maklumi bahawa doa itu boleh merubah qada'. Kita selalu berdoa dan kita juga acap kali berdoa. Hari-hari kita berdoa. Tapi, adakah kita berdoa dengan perasaan? Bila dikatakan seni, ianya pasti akan melibatkan perasaan. Pelakon yang membawa watak dalam lakonannya akan melakonkan dengan penuh perasaan. Penyanyi akan menyanyikan lagu juga dengan penuh perasaan. Baru ada feel.

Imagine kalau kita mintak sesuatu pada orang, mintak tolong dapatkan projek misalnya, kita akan mintak dengan penuh perasaan. Tapi bila kita mintak dan berdoa dengan ALLAH swt, kenapa hanya dimulut tanpa perasaan? Lihat saja bagaimana kita melafazkan doa makan. Doa masuk toilet. Doa naik kenderaan. Adakah kita menghayati apa yang dilafazkan? Fahamkah kita akan makna setiap tutur kata dalam doa tersebut? Kita hanya lafazkan hafalan dibibir tanpa menjiwainya.

Bila berurusan dengan manusia atas dasar 'Hablum Minannas' kita telah menetapkan protokol dan prosedur tertentu. Untuk meminta sesama manusia juga kita telah menetapkan prosedur yang perlu dipatuhi. Tapi kenapa bila meminta dan berdoa kepada ALLAH swt, kita lebih suka short-cut? Suka pendek-pendek, ringkas-ringkas. Lihat sahaja bagaimana cara Rasulullah saw memohon dan berdoa kepada ALLAH swt. Penuh tertib dan teratur. Cara dan susun atur doa Rasulullah saw cukup banyak kita boleh perolehi melalui hadis serta sabdaan Baginda saw. Manakala susun atur doa yang terbaik ialah apa yang telah ALLAH swt ajarkan kepada kita melalui Surah Al-Fatihah.

Mari kita lihat Surah Al-Fatihah.

[1]Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[2]Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.
[3]Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[4]Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat).
[5]Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.
[6]Tunjukilah kami jalan yang lurus.
[7]Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.


Dimulakan dengan kata pujian kepada ALLAH swt. Kata pujian yang umum terhadap Yang mentadbir sekalian alam. Setelah itu pujian dikhususkan kepada Nama-nama ALLAH swt yang mulia melalui Asma'ulhusna. Diikuti dengan pujian yang lebih khusus dengan pernyataan 'RAJA' atau 'Malik' dihari pembalasan yang juga merupakan hari yang khusus. Tiada 'RAJA' lain di hari tersebut, hanya ALLAH swt dan hanya ALLAH swt. Seterusnya, penyaksian serta keikhlasan kita yang tulus kita hadapkan HANYA KEPADA ALLAH swt dengan lafaz pada ayat yang ke 5. Hanya ALLAH swt tiada yang lain. Hanya ALLAH swt yang disembah, satu-satunya tuhan. Hanya pada ALLAH dipusatkan segala permintaan dan bantuan. Bukan pada makhluk-makhluk berupa doktor, panadol, bomoh hujan, boss, kroni, kawan, suami, isteri dan apa sahaja selain dari ALLAH swt.

Kemudian apa permintaan kita? Nak mintak tolong apa? Kita mintak secara umum iaitu mintak supaya ALLAH swt pandu kita di atas Jalan yang Lurus. Apa dia Jalan yang Lurus itu? Jalan yang macamana? Maka permintaan kita dikhususkan lagi dengan permintaan, Jalan yang ALLAH swt telah beri kepada orang-orang yang dapat nikmat dari ALLAH swt. Ini pun masih umum, kerana perlu diingat bahawa orang yang mendapat 'istidraj' juga berada dalam nikmat. Maka dikhususkan lagi dengan Jalan yang bukan dilalui oleh orang yang telah ALLAH swt murkai dan bukan yang sesat.

Sekarang bandingkan dengan cara kita berdoa?

Ada pula yang bertanya "Adakah dengan cara ini (Pertama -menjiwai, Kedua - Berprotokol) doa kita akan maqbul?

Jawapannya:

Ketiga, Pasrah. Iaitu kita semaikan keyakinan serta baik sangka kepada ALLAH swt. Jika kita belum beroleh apa yang kita pinta, Pasti bahawa ALLAH swt ada perencanaan lain untuk kita kerana ALLAH swt Maha Tahu, tidak pernah menzalimi, tidak menyusahkan malah Maha Menyenangkan. Kita juga perlu meyakini bahawa apa yang kita mintak belum tentu yang paling baik bagi kita di sisi ALLAH swt. Dan apa yang kita benci belum tentu tak berguna bagi kita di sisi ALLAH swt.

Analoginya seperti seorang anak kecil yang tak mahu makan ubat. Atau seorang anak kecil yang ditegah dan dilarang supaya tidak bermain di tepi jalanraya. Walau menangis sianak itu namun ibubapanya tetap tega menyuapkan ubat dan tetap menegah dan melarang dari bermain disitu. Dan ALLAH swt lebih tahu dari itu. ALLAH swt lebih kasih dan sayang pada kita.

Saudara & sahabatku;

Doa merupakan kunci ibadah. Doa juga merupakan otak sebelum kita memulakan sebarang aktiviti. Sebab itu kadang bila kita berhadapan dengan orang yang melakukan kerja yang sia-sia seperti merempit, merompak, meragut dan yang seumpamanya kita akan katakan "Buat kerja tak guna otak." Kita tahu bahwa segala apa yang kita lakukan kerana ALLAH swt adalah dikira sebagai ibadah.

Oleh itu formula asas bagi setiap kejayaan ialah; DOA + USAHA + TAWAKKAL = KEJAYAAN (DUTK).

Formula asas ini perlu diberi perhatian kerana secara tidak sedar kita telah diajar dan diasuh dengan formula usaha pasti berjaya. Malah kita juga sering mendidik anak kita agar berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapat kejayaan. Perlu diingat bahawa sikap negatif dan buruk boleh diperolehi dari didikan. Formula berusaha pasti berjaya merupakan formula yang tidak lengkap dan akan membuahkan kekecewaan sekiranya apa yang dihajati tidak tercapai. Begitu juga dengan formula lain seperti usaha + tawakkal = kejayaan atau usaha + doa + tawakkal = kejayaan, formula ini malah meletakkan ALLAH swt dibelakang!!! Dahulukan ALLAH swt kita pasti berjaya.

Sahabat & saudaraku;

Dalam kita berdoa, jarang sekali kita meminta secara specific atau khusus. Contoh yang sering kita ucapkan "Ya ALLAH, murahkanlah rezekiku." Namun bila kita menghadapi masalah kewangan, kita tertanya-tanya kita dah doa untuk murah rezeki, kenapa masih sama macam dulu-dulu? Bukankah makna rezeki itu cukup luas meliputi kesihatan, hubungan yang baik, selesa, tenang, selamat dan pelbagai lagi? Bila hujan turun kenapa lari dan berlindung? Hujan itu juga rezeki!

Oleh itu, jika kita nak duit, maka doalah mintak duit. Sertakan juga alasan dan dalil kenapa kita perlu duit. Bukan mintak saja-saja dan bukan suka-suka. Kerana kita bukannya mintak dengan kawan atau teman. Kita mintak dengan ALLAH swt!!!

Ringkasnya protokol doa adalah seperti berikut:

Puji-pujian - Solawat - Permintaan (Specific) - Alasan & dalil - Puji-pujian & solawat - Pasrah

Setelah semua itu kita lakukan, berdoa dengan tertib dan sepenuh jiwa, namun masih juga belum kelihatan cahaya dihujung sana. Mungkin ada benda yang kita terlepas pandang. Kita kata kita sudah berdoa dan yakin pada ALLAH swt, namun hakikatnya.... adakah kita benar yakin pada ALLAH swt?

Khamis, 23 Disember 2010

Ya Allah, sudilah pandang kami....


Bismillahirrahmanirrahim..
Dengan namaMu Ya Allah Yang Sentiasa Mengasihi hamba-hambaMu
Ingin aku berbicara denganMu di setiap masa yang aku ada dan di setiap tempat aku berada
Ingin aku meluahkan segala apa yang terpendam dalam hati ini
Walau aku tahu Engkau sangat-sangat memahami dan mengetahui,
Tanpa aku bicarakannya kepadaMu
Malah Engkau lebih tahu segalanya tentang aku daripada diriku sendiri
Kerana Engkau yg memiliki sekeping hati ini
Kerana Engkau lebih dekat denganku daripada urat leherku sendiri

Ya Rabbi, sudilah pandang aku
Ya Rabbi, izinkan aku menghadapMu berulang kali sehingga ke akhir hayatku.
Aku tahu..
Aku sering menghadapMu dengan wajah yang kelam, tidak berseri
Aku sering berhadapan denganMu tika jiwaku berkeluh kesah
Aku mencariMu hanya di waktu susah dan derita.
Di saat senang dan sibuk dengan dunia, aku melupakanMu.
Aku lupa bahawa hidup ini hanya untukMu
Aku leka bahawa dunia ini hanya sementara untuk aku mencari bekal sebanyaknya

Namun, di saat ini aku hadir untuk menghadapMu
Bersama dosa dan noda yang tak terhitung banyaknya
Disebabkan kelalaianku menurut hawa nafsu
Dan tertipu dengan dunia dan syaitan
Allah, pandanglah aku dengan kasih sayangMu
Pandanglah aku dengan keampunanMu
Aku sangat mengharapkan kasih sayang dan redhaMu
Kerana aku benar-benar menagih syurgaMu dan aku takut nerakaMu
Tapi, layakkah aku Ya Allah?

Ya Rabbi, seandainya di saat ini Engkau menjemputku pulang,
Bagaimanakah nantinya tika berhadapan denganMu?
Sudikah Kau menerima hamba-Mu yang hina ini?
Bagaimanakah keadaanku waktu itu??
Hitamkah wajahku bila berhadapan denganMu?
Berseri dengan sinar cahayakah wajah ini?
Berlarikah aku menujuMu kerana rindu untuk menemuiMu?
Atau menggigil ketakutan kerana takut dan malu denganMu?
Allah, aku bimbang..
Aku gusar dan takut Ya Allah..
Apabila memikirkan saat itu
Kerana banyaknya dosa aku terhadapMu.
Allah, sukarnya untuk aku meredahi cabaran dunia ini
Ingin ku buang jauh duniaku yang melalaikan
Tapi ia selalu menarik-narik hatiku untuk tetap mengulangi kesilapan terhadapMu
Kadang-kadang aku terlupa, kadang-kadang aku sengaja

Aku takut padaMu Allah tapi kenapa aku seringkali mengulangi dosa-dosa terhadapMu?
Aku sering berjanji di depanMu untuk menyerahkan hidup matiku hanya untukMu
Namun sering aku memungkiri janji-janjiku itu tanpa rasa berdosa
Aku pernah menangis keranaMu kerana takutkan azabMu
Kemudian aku ketawa semula di saat aku lupa tentangMu
Semudah itu Ya Allah aku sebagai hamba yg sebenarnya tidak layak melakukan sebegitu
Tapi Engkau Ya Allah, tetap memberi peluang untuk aku kembali padaMu
Engkau sentiasa bersedia mengampuniku...

Aku takut Ya Allah, seandainya waktu aku tiba untuk kembali padaMu
Aku dalam keadaan tidak bersedia dan penuh dengan hitam noda
Apakah yang mampu aku persembahkan di hadapanMu kelak?
Mampukah aku memulangkan segala pinjaman yang Engkau beri kepadaku dalam keadaan yg terbaik?
Allah, aku mohon dengan sangat..
Sucikanlah hati aku dengan maghfirahMu
Agar tersenyum aku pulang mengadapMu
Allah, terimalah taubatku
Agar bercahaya wajahku dengan nuurMu bertemu denganMu
Allah, pimpinlah aku dengan hidayahMu
Agar mudah jalanku ke JannahMu...

Tuhan, pegang eratlah hati ini agar sentiasa aku rasa dekat denganMu
Aku harap Kau terima amalku untuk aku persembahkan di hadapanMu kelak
Ya Allah, dengarkanlah rintihan & permohonan hatiku ini
Hadiahkanlah cahayaMu kepadku sehingga saat aku dipanggil pulang olehMu
Amiin Ya Rabb..

Aku mohon dengan sangat..Perkenankanlah.

:: Ya Allah, maafkanlah bila hati tidak sempurna mencintaiMu ::

Rabu, 25 Ogos 2010

Surah Al-Falaq

Berpuluh tahun kita baca Surah ni.
Berpuluh ribu kali (mungkin) kita baca.

Surah ni jugak antara surah peberet pilihan kita tatkala solat.
Surah ni jugak antara surah fofular digunakan untuk tujuan perubatan. (kenapa?)

Soalan:
Berapa ramai yang baca dengan paham?
Berapa ramai yang betul2 mintak lindung dari Allah?
Berapa ramai yang akhirnya pasrah setelah baca surah ni?

Mari kita lihat apa terjemahan Surah Al-Falaq.

[1]
Katakanlah (wahai Muhammad); “Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk,
[2]
“Dari bencana makhluk-makhluk yang Ia ciptakan;
[3]
“Dan dari bahaya gelap apabila ia masuk;
[4]
“Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan);
[5]
“Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya”.


Berdoalah dengan bersungguh2 dan bukan hanya membaca doa.
Mintak lindung dengan bersungguh dari Allah, nescaya kita tak perlu kepada bodyguard.

Moga aku, kau dan kita semua dilindungi oleh Allah dan sentiasa pasrah padaNYA

Khamis, 17 Jun 2010

Koleksi Doa

Doa Nabi Muhammad SAW kepada penduduk Thaif setelah tragedi di lontar

“Ya Allah, kepadaMu aku mengadu kelemahanku, kekurangan daya upayaku dan kehinaanku pada pandangan manusia..”

“Ya Allah, Tuhan orang yang di tindas, kepada siapa Engkau menyerahkan diriku ini? Kepada orang asing yang akan menyerang aku? Atau kepada musuh yang menguasai aku?”

“Sekiranya Engkau tidak Murka kepadaku, maka aku tidak peduli, namun Afiatmu sudah cukup buatku...”

“Samaada Engkau turunkan KemarahanMu kepadaku atau Engkau Murka kepadaku, kepadaMulah aku tetap merayu sehingga Engkau redha.”

“Tiada sebarang daya untuk melakukan kebaikkan dan tiada upaya untuk meninggalkan kejahatan kecuali dengan (kehendak) MU..”

Selasa, 25 Mei 2010

Koleksi Doa

Ya Allah kuatkanlah iman kami, satukan keluarga kami, dan kumpulkan hati-hati
kami diatas kecintaan kepadaMu, Ya Allah, Ya Karim.Kasihanilah kami Ya Allah,
Kasihanilah kaum keluarga kami Ya Rahim, Kau permudahkanlah urusan kami dan
luaskan rezki kami dengan rahmat-Mu. Ya Allah, Tuhan yang mengasihani daripada
segala yang mengasihani.

Ya Allah, Kau turunkanlah rahmat dan keberkatan di dalam rumah ini. Wahai Tuhan
Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Ya Allah, Kau jadikanlah anak-anak kami ini dalam kalangan anak-anak yang soleh
dan solehah. Engkau jadikanlah isteri kami ini dalam kalangan isteri yang
solehah. Kau kurniakanlah kebahagian dan ketenangan di dalam rumahtangga kami
ini Ya Allah.

Ya Allah, Kau jadikanlan kaum keluarga kami daripada kalangan orang-orang yang
rajin mendirikan solat. Kau jadikanlah kaum keluarga kami dalam kalangan
orang-orang yang mentaati-Mu. Mudah-mudahan dengan ketaatan ini akan menjadikan
kami bertemu dalam keadaan yang baik di akhirat kelak.

Wahai Tuhan kami, terimalah daripada kami permintaan kami. Sesungguhnya Engkau
Maha mendengar lagi Maha Mengetahui dan terimalah taubat daripada kami, wahai
Tuhan Yang Maha Mulia. Sesungguhnya Engkau Maha penerima taubat lagi Maha
Pengasihani.

Selasa, 4 Mei 2010

Sunnah

"Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepadaMu
daripada ilmu yang tidak bermanfaat,
daripada hati yang tidak khusyuk,
daripada nafsu yang tidak pernah kenyang (puas),
dan daripada doa yang tidak dikabulkan."
- Muslim daripada Zaid bin Arqam

Khamis, 15 April 2010

Kuasa wanita

KUASA PEREMPUAN

KUASA LAYANAN PEREMPUAN

* Kaum lelaki mudah goyah dan alah dengan layanan yang baik, apa lagi dari
perempuan yang sangat dikasihi seperti isteri dan ibu. Layanan baik yang
disalurkan kepada orang yang berhak menerimanya, bukan sahaja mendatangkan
keredhaan Allah tetapi memungkinkan apa yang diminta akan dipenuhi dengan mudah.


KUASA DOA PEREMPUAN

* Doa perempuan lebih makbul dari lelaki kerana sifat penyayangnya lebih kuat
dari lelaki. Sebagaimana hadis Rasulullah saw: "Doa ibu itu lebih cepat makbul."
Orang bertanya:"Kenapa ya Rasulllah?" Jawab baginda : "Ibu lebih penyayang dari
bapa dan doa dari orang yang penyayang tidak akan sia-sia."


KUASA TAQWA PEREMPUAN

* Ketaqwaan adalah kuasa paling sempurna dan terbaik dalam menangani apa jua
masalah. Orang yang paling bertaqwa adalah orang yang paling dikasihi Allah.
Allah tidak akan membiarkan orang yang dikasihiNya melainkan dipelihara serta
sentiasa dirahmatiNya.

* Kuasa taqwa lebih mudah diperolehi oleh perempuan berbanding lelaki kerana
kehalusan budi yang ada pada perempuan adalah merupakan penjara daripada
melakukan hal-hal yang mendatangkan dosa. Berbanding lelaki yang sebahagian
hidupnya berada di luar rumah serta terdedah kepada pelbagai godaan, cubaan dan
ujian.

* Kekuasaan taqwa ini pula adalah kemuliaan yang diberikan oleh Allah swt
sehingga setiap lelaki pasti memerlukan perempuan untuk menghirupkan udara ini
atau dalam perkataan lain setiap lelaki pasti dilahirkan oleh perempuan kecuali
Nabi Adam a.s. Sekuat-kuat lelaki, kuat lagi perempuan kerana lelaki itu
sendirinya datang dari perut perempuan yang menghamilkannya dan melahirkannya ke
dunia, kemudian melatih, mendidik, memelihara dari kecil hingga dewasa.

* Kemuliaan perempuan akan lebih nyata, jika ditambah dengan ketaatan kepada
kaum lelaki yang berhak atasnya sebagaimana maksud hadis Rasulullah saw:
"Perempuan yang taat kepada suaminya, semua burung di udara, ikan di air,
malaikat di langit, matahari dan bulan : semuanya beristighfar baginya (isteri)
selagi mana ia masih taat kepada suaminya dan diredhainya (serta menjaga solat
dan puasanya.

Senarai Blog Saya

Pengikut