Khamis, 5 Mei 2011

Indahnya Hidup Bertuhan : Seni Berdoa

Seni itu soal jiwa dan rasa
Doa tanpa seni, ibarat lagu tanpa irama
Pincang lagu, punah irama.

Ibnu Qayyim menukilkan;

"Barangsiapa yang diberi makan berupa zikir dan bersih daripada penyakit duniawi serta diberi minuman berupa tafakkur akan memperoleh pelbagai hikmah."

Berilmu dan bijaksana merupakan 2 benda yang cukup berbeza. Ilmu boleh diperolehi melalui pelbagai medium dan pendekatan. Melalui pelbagai cara dan kaedah. Secara formal atau non-formal. Namun jika ilmu itu tidak dikuasai dengan sebenarnya, maka mereka tidak tergolong dikalangan bijaksana. Oleh itu, mereka yang bijaksana ialah mereka yang berilmu, menguasai ilmu dengan baik, mengamalkannya untuk diri sendiri dan orang lain.

Antara ilmu dan kemahiran yang tidak dititikberatkan ialah kemahiran untuk berdoa. Ada antara kita yang sentiasa berdoa dimurahkan rezeki, namun hingga kesaat ini hidup kita masih nyawa-nyawa ikan. Kadang cukup, kadang tak cukup. Pelbagai ikhtiar telah kita usahakan dari kerja lebih masa hinggalah melakukan kerja kedua dan ketiga. Namun kehidupan masih disitu-situ juga. Hampa. Hidup kian tertekan dan adakalanya kita rasa macam tak guna.

Kita sering tertanya-tanya bukan?

Jawapannya:

Pertama, ALLAH swt itu Maha Adil, Maha Mendengar, Maha Memberi, Maha Memudahkan dan tidak pernah menyusahkan. ALLAH swt pasti akan memperkenankan doa kita selagimana kita tidak mengatakan "Aku dah doa banyak kali dah, tapi ALLAH tak maqbulkan."

Kedua, Seni berdoa dan berzikir.

Kita maklumi bahawa doa itu senjata bagi orang mukmin. Kita juga maklumi bahawa doa itu boleh merubah qada'. Kita selalu berdoa dan kita juga acap kali berdoa. Hari-hari kita berdoa. Tapi, adakah kita berdoa dengan perasaan? Bila dikatakan seni, ianya pasti akan melibatkan perasaan. Pelakon yang membawa watak dalam lakonannya akan melakonkan dengan penuh perasaan. Penyanyi akan menyanyikan lagu juga dengan penuh perasaan. Baru ada feel.

Imagine kalau kita mintak sesuatu pada orang, mintak tolong dapatkan projek misalnya, kita akan mintak dengan penuh perasaan. Tapi bila kita mintak dan berdoa dengan ALLAH swt, kenapa hanya dimulut tanpa perasaan? Lihat saja bagaimana kita melafazkan doa makan. Doa masuk toilet. Doa naik kenderaan. Adakah kita menghayati apa yang dilafazkan? Fahamkah kita akan makna setiap tutur kata dalam doa tersebut? Kita hanya lafazkan hafalan dibibir tanpa menjiwainya.

Bila berurusan dengan manusia atas dasar 'Hablum Minannas' kita telah menetapkan protokol dan prosedur tertentu. Untuk meminta sesama manusia juga kita telah menetapkan prosedur yang perlu dipatuhi. Tapi kenapa bila meminta dan berdoa kepada ALLAH swt, kita lebih suka short-cut? Suka pendek-pendek, ringkas-ringkas. Lihat sahaja bagaimana cara Rasulullah saw memohon dan berdoa kepada ALLAH swt. Penuh tertib dan teratur. Cara dan susun atur doa Rasulullah saw cukup banyak kita boleh perolehi melalui hadis serta sabdaan Baginda saw. Manakala susun atur doa yang terbaik ialah apa yang telah ALLAH swt ajarkan kepada kita melalui Surah Al-Fatihah.

Mari kita lihat Surah Al-Fatihah.

[1]Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[2]Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.
[3]Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[4]Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat).
[5]Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.
[6]Tunjukilah kami jalan yang lurus.
[7]Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.


Dimulakan dengan kata pujian kepada ALLAH swt. Kata pujian yang umum terhadap Yang mentadbir sekalian alam. Setelah itu pujian dikhususkan kepada Nama-nama ALLAH swt yang mulia melalui Asma'ulhusna. Diikuti dengan pujian yang lebih khusus dengan pernyataan 'RAJA' atau 'Malik' dihari pembalasan yang juga merupakan hari yang khusus. Tiada 'RAJA' lain di hari tersebut, hanya ALLAH swt dan hanya ALLAH swt. Seterusnya, penyaksian serta keikhlasan kita yang tulus kita hadapkan HANYA KEPADA ALLAH swt dengan lafaz pada ayat yang ke 5. Hanya ALLAH swt tiada yang lain. Hanya ALLAH swt yang disembah, satu-satunya tuhan. Hanya pada ALLAH dipusatkan segala permintaan dan bantuan. Bukan pada makhluk-makhluk berupa doktor, panadol, bomoh hujan, boss, kroni, kawan, suami, isteri dan apa sahaja selain dari ALLAH swt.

Kemudian apa permintaan kita? Nak mintak tolong apa? Kita mintak secara umum iaitu mintak supaya ALLAH swt pandu kita di atas Jalan yang Lurus. Apa dia Jalan yang Lurus itu? Jalan yang macamana? Maka permintaan kita dikhususkan lagi dengan permintaan, Jalan yang ALLAH swt telah beri kepada orang-orang yang dapat nikmat dari ALLAH swt. Ini pun masih umum, kerana perlu diingat bahawa orang yang mendapat 'istidraj' juga berada dalam nikmat. Maka dikhususkan lagi dengan Jalan yang bukan dilalui oleh orang yang telah ALLAH swt murkai dan bukan yang sesat.

Sekarang bandingkan dengan cara kita berdoa?

Ada pula yang bertanya "Adakah dengan cara ini (Pertama -menjiwai, Kedua - Berprotokol) doa kita akan maqbul?

Jawapannya:

Ketiga, Pasrah. Iaitu kita semaikan keyakinan serta baik sangka kepada ALLAH swt. Jika kita belum beroleh apa yang kita pinta, Pasti bahawa ALLAH swt ada perencanaan lain untuk kita kerana ALLAH swt Maha Tahu, tidak pernah menzalimi, tidak menyusahkan malah Maha Menyenangkan. Kita juga perlu meyakini bahawa apa yang kita mintak belum tentu yang paling baik bagi kita di sisi ALLAH swt. Dan apa yang kita benci belum tentu tak berguna bagi kita di sisi ALLAH swt.

Analoginya seperti seorang anak kecil yang tak mahu makan ubat. Atau seorang anak kecil yang ditegah dan dilarang supaya tidak bermain di tepi jalanraya. Walau menangis sianak itu namun ibubapanya tetap tega menyuapkan ubat dan tetap menegah dan melarang dari bermain disitu. Dan ALLAH swt lebih tahu dari itu. ALLAH swt lebih kasih dan sayang pada kita.

Saudara & sahabatku;

Doa merupakan kunci ibadah. Doa juga merupakan otak sebelum kita memulakan sebarang aktiviti. Sebab itu kadang bila kita berhadapan dengan orang yang melakukan kerja yang sia-sia seperti merempit, merompak, meragut dan yang seumpamanya kita akan katakan "Buat kerja tak guna otak." Kita tahu bahwa segala apa yang kita lakukan kerana ALLAH swt adalah dikira sebagai ibadah.

Oleh itu formula asas bagi setiap kejayaan ialah; DOA + USAHA + TAWAKKAL = KEJAYAAN (DUTK).

Formula asas ini perlu diberi perhatian kerana secara tidak sedar kita telah diajar dan diasuh dengan formula usaha pasti berjaya. Malah kita juga sering mendidik anak kita agar berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapat kejayaan. Perlu diingat bahawa sikap negatif dan buruk boleh diperolehi dari didikan. Formula berusaha pasti berjaya merupakan formula yang tidak lengkap dan akan membuahkan kekecewaan sekiranya apa yang dihajati tidak tercapai. Begitu juga dengan formula lain seperti usaha + tawakkal = kejayaan atau usaha + doa + tawakkal = kejayaan, formula ini malah meletakkan ALLAH swt dibelakang!!! Dahulukan ALLAH swt kita pasti berjaya.

Sahabat & saudaraku;

Dalam kita berdoa, jarang sekali kita meminta secara specific atau khusus. Contoh yang sering kita ucapkan "Ya ALLAH, murahkanlah rezekiku." Namun bila kita menghadapi masalah kewangan, kita tertanya-tanya kita dah doa untuk murah rezeki, kenapa masih sama macam dulu-dulu? Bukankah makna rezeki itu cukup luas meliputi kesihatan, hubungan yang baik, selesa, tenang, selamat dan pelbagai lagi? Bila hujan turun kenapa lari dan berlindung? Hujan itu juga rezeki!

Oleh itu, jika kita nak duit, maka doalah mintak duit. Sertakan juga alasan dan dalil kenapa kita perlu duit. Bukan mintak saja-saja dan bukan suka-suka. Kerana kita bukannya mintak dengan kawan atau teman. Kita mintak dengan ALLAH swt!!!

Ringkasnya protokol doa adalah seperti berikut:

Puji-pujian - Solawat - Permintaan (Specific) - Alasan & dalil - Puji-pujian & solawat - Pasrah

Setelah semua itu kita lakukan, berdoa dengan tertib dan sepenuh jiwa, namun masih juga belum kelihatan cahaya dihujung sana. Mungkin ada benda yang kita terlepas pandang. Kita kata kita sudah berdoa dan yakin pada ALLAH swt, namun hakikatnya.... adakah kita benar yakin pada ALLAH swt?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Assalamualaikum Warahmatullah

Senarai Blog Saya

Pengikut