Orang yang memiliki sifat belas kasih akan dikasihi ALLAH
oleh kerana itu berilah belas kasih kepada penduduk bumi
maka akan dikasihi oleh mereka di langit –HR Ahmad.
Sahabat dan saudaraku yang dihormati,
Kita semua mungkin pernah melalui saat-saat getir dalam kehidupan. Pengalaman yang pahit itu meninggalkan luka yang dalam di hati kita. Luka lama bakal berdarah kembali jika jiwa tersentuh atau terusik dengan peristiwa semasa. Ada juga insan yang kelihatan begitu tenang di luar, tetapi bergelora di dalam. Malah kerana ego, dirasakan terlalu sukar untuk memohon sebuah kemaafan.
Ada juga insan yang berpendapat dia tidak kisah jika ucapannya, kata-katanya atau tindakannya bisa melukakan hati orang lain. Baginya dia akan ‘melangsaikan’ hutangnya itu bila tiba hari raya saban tahun. Namun pernahkah dia terfikir apa akan jadi jika umurnya atau orang yang tersinggung itu ‘tidak panjang’ ?
Jika kita hayati permohonan serta memberi kemaafan sebenarnya mempunyai nilai yang cukup besar dalam kehidupan bermasyarakat. Nilai maaf itu tinggi ibarat permata yang perlu dipelihara. Namun masih adakah nilai maaf jika seseorang itu begitu mudah melafazkannya ke atas kesalahan dan individu yang sama? Tidak dinafikan terdapat juga insan yang hanya memohon maaf jika mempunyai kepentingan-kepentingan tertentu.
Mari kita lihat contoh di bawah:
Seorang wanita yang tertekan dengan sikap ibu mertuanya yang sering mencari kesilapan dan kesalahannya. Bukan itu sahaja, bahkan ibu mertuanya sering mempergunakan dirinya. Tetapi ibu mertuanya akan mengakui kesalahan dan memohon maaf hanya jika inginkan sesuatu dari si wanita. Malah ibu mertuanya turut mengakui dengan alasan dia sendiri tidak faham mengapa sikapnya begitu. Dan seperti selalu, anak menantu yang baik hati ini akan memaafkan dan menuruti kehendak mertuanya. Namun, setelah ibu mertuanya beroleh apa yang dihajati, perangainya akan kembali seperti sediakala dan melupakan kebaikan yang dilakukan oleh anak menantunya.
Kisah begini sering terjadi dalam masyarakat kita, adik-beradik, suami isteri, ayah dan ibu. Keadaan seperti ini akan mengakibatkan kekecewaan, apatah lagi orang yang dihadapi ialah orang yang paling rapat dan disayangi. Bila ianya terjadi, maka seseorang itu akan berusaha untuk mencari jalan penyelesaian bagi menyedarkan kesalahan perangai dan kesilapan yang dilakukan.
Namun makin dicari jalan keluar, makin bertambah beban. Bahkan penyelesaian yang disangka ‘jalan keluar’ itu sebenarnya hasil fikiran yang telah disaluti emosi negatif. Bahkan emosi negatif ini juga bertindak melemahkan sumber kekuatan, menganggu sistem saraf yang akhirnya bakal menjemput segala jenis penyakit ke tubuh.
Makin banyak difikirkan, makin banyak emosi negatif ini terkumpul difikiran. Bertambah parah jadinya bila sentiasa berhadapan dengan orang yang sering memohon maaf tetapi masih melakukan kesalahan yang sama berulang kali. Ditambah lagi jika orang itu tak mampu dielakkan seperti seorang isteri yang berhadapan dengan perangai suaminya.
Saudara dan sahabatku,
Bagaimanakah nak menghadapi dan mengatasi masalah ini? Apa yang perlu kita buat?
Mudah saja. Jawapannya:
Kita BERI mereka kemaafan SEBELUM mereka meminta maaf.
Ini kerana nilai maaf mereka murah dan palsu semata. Mereka akan ‘keep on repeating’ kesalahan yang sama. Malah mereka akan menyakiti kita semula bila sudah dapat apa yang mereka mahu. Oleh itu, berilah kemaafan dengan hati yang tulus, ikhlas hanya kerana ALLAH. Usah berdendam usah beremosi. Yakinilah bahawa setiap kebaikan yang kita lakukan akan diberi ganjaran sepuluh kali ganda. Semakin banyak kebaikan yang kita lakukan semakin banyak kurniaan kebajikan dari ALLAH kepada kita. kebajikan inilah merupakan ubat bagi kita tatkala berhadapan dengan masalah.
Memang diakui bahawa memberi sebuah kemaafan secara percuma kepada orang yang menyakiti kita adalah teramat sukar dan gila! Namun latihan demi latihan perlu dibuat yang akhirnya menjadikan ianya sebuah tabiat. Tanamlah dalam jiwa akan ingatan dari Rasulullah saw bahawa ‘Tangan yang di atas lebih mulia dari tangan yang di bawah’. Lakukanlah sesuatu itu kerana ALLAH, kerana bila kita lakukan kerana ALLAH, pasti bantuan ALLAH akan tiba dan kejayaan menunggu dihujung cerita. Berilah kemaafan kerana-NYA.
Belajar dan berusahalah memberi kemaafan sebelum di pinta dan berilah dengan hati yang ikhlas kerana ALLAH. Dengan izin ALLAH kemaafan itu bakal menjadi ubat kepada kekeruhan yang sediada. Usah lupa untuk berterima kasih kepada ALLAh, kerana tanpa izin-NYA tiada suatu pun boleh terjadi.
Sahabat dan saudaraku,
Bagaimanakah untuk belajar memaafkan?
Mudah saja. Jawapannya:
Belajarlah untuk berdoa, kita pasti tidak mampu untuk mengubah sesuatu hanya dengan akal kita yang ternyata cukup terbatas kemampuannya. Berdoa dan pohonlah pada ALLAH. Mintalah petunjuk dari-NYA.
Seterusnya apa yang harus dilakukan hanyalah satu, renung gambar orang tersebut dan senyum. Ya senyum. Biar pun mula-mula senyuman itu palsu, namun percayalah bahawa dengan senyuman mampu melunakkan hati kita yang keras dan kita tidak lagi ambil peduli tentang kisah lama. Antara tanda kita diambang pemulihan ialah kita kini merasa kasihan dengan perangainya dan berharap pada ALLAH dia akan berubah suatu masa nanti.
Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
‘Orang mukmin itu bukanlah seorang yang pendendam’
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Assalamualaikum Warahmatullah