Segala puji buat Empunya alam semesta yang Maha Kaya lagi Maha Perkasa. Kebijaksanaan-NYA yang tiada tara. Segala puji bagi-NYA.
Selawat dan salam ke atas Rasulullah saw kekasih ALLAH dan pujaan kita dan juga kepada ahli keluarga baginda serta para sahabat.
Sahabatku,
Entry yang lepas kita dihidangkan tentang bagaimana kita melihat masalah dari sudut yang berbeza dari biasa. Sebagai natijahnya kita telah jadi LUAR BIASA. Setiap hari yang kita lalui terhidang dihadapan kita dengan permasalahan yang datang dalam pelbagai bentuk. Malah, terkadang kegembiraan itu juga bakal mengundang masalah suatu masa nanti.
Kita pernah dengar peribahasa yang berbunyi "Orang memberi, Kita merasa". Itu nasihat orang dulu-dulu kepada generasi akan datang. Akan tetapi, kita kadangkala terlupa untuk 'merasa' mungkin kerana terlupa untuk menghargai atau terlalu ghairah terhadap apa yang kita dapat. Mari kita lihat, penghargaan yang macam mana perlu ada pada kita.
Pahit dan manis yang kita lalui saban hari mewarnai kehidupan kita di pentas dunia. Biasanya bila manis yang kita hadapi, maka kegembiraan akan terpapar bukan sahaja diwajah tetapi turut melibatkan perilaku kita. Dan jika ianya benar-benar manis dan mengembirakan bukan hanya sekali malah berkali-kali kita luahkan rasa terima kasih kita terhadap orang yang membuatkan kita gembira.
Akan tetapi jika pahit yang menjelma, muka masam mencuka, muncung sedepa, bahang terasa, yang besar dilihat kecil di depan mata. Apatah lagi jika punca kepahitan itu dari insan lain, pasti akan diundang ke majlis pergaduhan.
Senario....
Kita pernah dengar atau lihat bagaimana insan yang dihimpit perasaannya tidak teragak-agak untuk menamatkan riwayat mereka (bunuh diri). Ada yang mengancam untuk terjun bangunan, meminum racun, menggunakan pisau, menggantung diri, baring atas rel keretapi, terjun jambatan dan 1001 cara lagi. Kite bako je... bak kate usop whilcha.
Bila kita selami punca tekanan perasaan itu, rupa-rupanya berpunca dari masalah percintaan yang terputus ditengah jalan atau kewangan yang kritikal yang mereka ini TIDAK JUMPA JALAN KELUAR. Begitu dahsyat sebenarnya tekanan perasaan ini hingga menutup terus pintu hati untuk memikirkan kesan pada akidah akibat perbuatan membunuh diri.
Saudaraku,
Apa yang cuba saya sampaikan ialah, ketika kita mengalami masa-masa gembira dan bahagia, kita akan memilih untuk mengucapkan TERIMA KASIH. Tetapi ketika hujan turun ditengahari, tatkala kita bersedih dan berduka, bukan itu kalimah yang terbit dari kita.
Bila kita berjaya, pantas ucapan terima kasih diucapkan kepada orang yang membantu. Berjaya renew roadtax misalnya, atau berjaya sampai ke pejabat hari ini. Malah terkadang bukan sekali ucapan terima kasih kita berikan, berkali-kali!. Tetapi kita sering lupa kepada kuasa yang sebenarnya membantu keberjayaan (jika boleh ditambah imbuhan ini) kita. Kita lupa mengucapkan terima kasih kepada ALLAH. Kita lupa bahawa sesuatu itu TIDAK AKAN berlaku tanpa keizinan dari ALLAH. Sesuatu itu takkan terjadi tanpa perkenan dari ALLAH. Maka setiap apa yang berlaku adalah KERANA ALLAH.
Lupakah kita bahawa kita lahir kedunia ini pun atas izin-NYA? Adakah kita mampu berjalan tanpa keizinan-NYA? Adakah kita mampu menangis, ketawa, bermain, makan dan minum tanpa keizinan dari ALLAH? Jika begitu, mengapa tiada ucapan terima kasih dari kita untuk-NYA atas apa sahaja yang berlaku?
Apa sahaja yang berlaku? ya, apa sahaja yang berlaku. Jika bahagia dan kegembiraan yang kita alami, sewajarnya ucapan terima kasih diberi. Jika duka mengundang, bukankah masalah yang hadir itu tujuannya untuk kita ingat pada ALLAH? menyebut-nyebut nama-NYA? Maka sewajarnya ucapan terima kasih juga kita beri. Teringat akan pesanan Kekasih ALLAH Rasulullah saw ketika kita ditimpa sesuatu yang kurang mengembirakan baginda menasihatkan agar kita menyebut "Alhamdulillah 'ala kulli hal" (Segala puji bagi ALLAH ke atas setiap sesuatu).
Ayuh saudara dan sahabatku,
Kita jadi orang LUAR BIASA, mengucapkan TERIMA KASIH pada ALLAH. TQ ALLAH.
TQ ALLAH kerana membantuku membaca tulisan ini.
Adakalanya kita mengalami saat-saat yang cukup memedihkan. Terasa hingga ke ulu hati. Sakitnya bukan kepalang. Pedihnya tidak terperi. Orang disekeliling menasihatkan "Maafkanlah...." Hakikatnya adakah kita mampu memaafkan? Adakah benar kita memaafkan?
Bertemu di entry akan datang Insya ALLAH.
Istighasah, boleh ke tak?
2 hari yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Assalamualaikum Warahmatullah