Sebarang penambahan akan diwarna
Pakej
Di pangkal, di tengah atau di hujung, Islam ada caranya yang tersendiri untuk berfungsi. Tetapi sebagai sebuah sistem, Islam mesti diambil seawal langkah yang pertama.
[208] Al-Baqarah
Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) SEGALA hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.
Demikian Allah berpesan.
Apabila Islam diambil, ambillah ia secara sempurna. Pakej yang lengkap. Menerima sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain, adalah cara Syaitan menyesatkan manusia, sedangkan Syaitan itu adalah musuh manusia yang amat nyata. Kelihatannya di sepanjang sejarah manusia, Syaitan itu makhluk yang sabarnya sering mengatasi manusia. Syaitan tidak tergesa-gesa untuk mencapai misinya. Segalanya berlaku secara berperingkat, sedikit demi sedikit, dalam kealpaan manusia yang tidak menyedarinya.
Itulah enjin di sebalik musibah buang bayi di negara kita.
Buang bayi kerana berleluasanya zina.
Berleluasanya zina kerana pencegahannya tidak mengambil acuan Islam.
[32] Al-Israa'
Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).
Allah tahu, zina itu sedap dan nikmat. Menolaknya jika sekadar ala kadar, terlalu sukar. Justeru sama seperti maksiat-maksiat yang lain, Allah bantu kita untuk mengelaknya dengan menutup pintu-pintu kepada zina. Sesungguhnya menolak zina hanya menjadi realiti apabila MUQADDIMAH ZINA dilihat sebagai muqaddimah yang mesti dihindari.
Apakah muqaddimah zina yang mesti dicegah itu?
Tingkap itu yang mesti dipelihara. Jendela penglihatan yang turun ke hati dan kemaluan. Menundukkan pandangan itu bermaksud memelihara penglihatan daripada melihat perkara haram. Perkara yang merangsang libido dan mengundang diri kepada zina. Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:
Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.
Wanita-wanita yang beriman itu juga diberikan saranan yang sama. Di dalam ayat [31] yang menyusul perintah di atas, Allah memerintahkan kaum wanita seperti kaum lelaki, sama-sama memelihara pandangan daripada melihat apa yang tidak diharuskan baginya melihat.
“Alahai, takkanlah baru tengok sudah mahu berzina!” seorang manusia mahu berbijak-bijak berhujah dengan Tuhan.
"Takkan nak pejam mata sambil berjalan?" seorang lagi manusia yang mempersenda akan suruhan Allah.
Dia lupa, fitnah penglihatan dan zina bukan urusan rasional. Ia urusan nafsu dan kemaluan. Urusan hati yang membuat pertimbangan. Justeru itu Allah berpesan, “yang demikian itu lebih suci bagi mereka”. Muqaddimah zina ini bukan hanya urusan di peringkat individu. Ia bertujuan membentuk suasana yang sihat. Saling bekerjasama untuk mewujudkan suasana yang tidak mengundang zina.
Ia urusan semua. Kerana itu manusia diangkat menjadi khalifah supaya dapat melaksanakan perintah Allah secara bersama. Kerjasama antara lelaki dan wanita dalam mentaati perintah Allah akan menghapuskan gejala zina yang disebut "satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)".
2. MEMELIHARA AURAT
Menundukkan pandangan daripada perkara haram menjadi lebih mudah apabila perkara haram itu tercegah dalam daerah halalnya. Hal ini perlukan kerjasama secara bersepadu antara lelaki dan wanita. Sang lelaki usah mengaut keuntungan jutaan ringgit hasil eksploitasi atas nama fesyen. Sang wanita pula usah mempamirkan tubuh ciptaan Allah kepada yang bukan hak. Anggota tubuh yang perlu diberi perlindungan, adalah cara seseorang memuliakan dirinya sendiri dan menghormati orang lain yang bermata lagi berhati, juga bernafsu.
Peliharalah aurat.
Wanita.
Lelaki.
Sama sahaja.
...dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka;...
Perintah-Nya bukan perintah menutup rambut.
Perintah-Nya bukan perintah membalut tubuh.
Perintah-Nya adalah perintah memelihara aurat.
Janji-Nya
3. TIDAK BERTABARRUJ JAHILIAH
Menutup aurat itu cara Allah mengajar kita membentuk diri. Biar dengan menutup aurat itu kita belajar menganut sifat malu, belajar mengenal batas-batas diri yang mewujudkan rasa berTuhan dalam kehidupan dengan batasan-batasan itu.
Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu;
“Saya sudah menutup aurat!” kata seorang perempuan yang bertudung.
Beliau terlepas pandang, tudungnya memang bertudung tetapi solekan di bibir dan kelopak matanya sangat keterlaluan, di dalam tudungnya ada bonggol sanggul yang sengaja ditolak ke atas meninggikan kepala, kakinya memakai rantai berloceng, hingga setiap inci tubuhnya menarik perhatian untuk dilihat dan direnung, biar pun beliau itu bertudung.
Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu beliau meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam telah bersabda :
Dua golongan yang termasuk dari kalangan ahli neraka yang tak pernah aku lihat iaitu yang pertama mereka yang memegang cemeti seperti ekor lembu (bentuk cemeti itu seperti ekor lembu yang berbulu-bulu dan berambut-rambut) dan mereka memukul manusia dengan cemeti tersebut. Yang kedua adalah perempuan memakai pakaian tetapi keadaanya umpama telanjang (ketat), dan perempuan ini berjalan sambil berlenggang lenggok dan sanggol rambutnya (ataupun sekarang ikatan rambutnya) umpama bonggol unta.Dan perempuan yang sebegini keadaanya tidak akan mencium bau syurga. Ketahuilah bau syurga sudah boleh diciumi dari jarak begini dan begini. [Hadith riwayat Muslim no. 2128]
Bertudung. Tetapi masih mahu menarik perhatian orang memandang dan membelek.
Justeru hilanglah hikmah memelihara aurat.
Biar pun rambut ditutup, dia masih kaya dengan elemen Jazb al-Intibah (menarik perhatian dan pandangan orang).
Bila ditanya untuk apa bersolek dan bergaya. "Untuk kepuasan diri" jawapnya pantas. Segalanya untuk diri sendiri. Renungi petikan lagu yang dinyanyikan oleh Maher Zain - Awaken.
Now ask yourself ’cause Allah’s watching you
Is He satisfied?
Is Allah satisfied?
Is Allah satisfied?
Is Allah satisfied?
Nah sekarang sila jawap. Adakah Allah telah redha?
4. BERURUSAN DENGAN BATASAN
Bekerja, belajar, bermesyuarat, berjiran dan bermasyarakat, semuanya harus.
Namun keharusan itu harus dipandu oleh batasan syariah.
Silang jantina perlu mengenal keperluan dan tujuan, jangan hanya berpandukan kemahuan.
...Dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta dari isteri-isteri Nabi maka mintalah kepada mereka dari sebalik tabir. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka...
Sama ada hijab itu berupa tabir yang fizikal, atau sekurang-kurangnya mengekalkan batas pergaulan antara lelaki dan perempuan.
Janji-Nya "lebih suci" diulang-ulang. Tips bagi mereka yang inginkan "kesucian diri".
Bermesyuaratlah, tetapi biar seadanya.
“Hai, takkanlah sembang-sembang sudah terangsang?” hujah seorang bijak pandai di syarikat Multinasional.
“Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka” jawab Allah.
Dia yang memiliki hati. Dia tahu sifat baik dan buruk hatimu. Justeru nasihat-Nya tentang hati itulah nasihat terbaik untuk manusia yang mahu berhati-hati.
Lihatlah di pejabat, siapa di meja sebelah, siapa di kubikel depan, keluar makan tengah hari dengan siapa, dari Stesyen LRT ke pejabat tumpang kereta siapa, pergi ke site atau bertemu pelanggan naik kereta siapa, semua itulah yang perlu dipertimbangkan kembali, kerana melakukannya tanpa batasan adalah MUQADDIMAH ZINA.
5. TIDAK MELUNAKKAN SUARA
Dengar suara, mahu orangnya.
Itu akibat manusia-manusia yang hatinya berpenyakit.
Sakitnya pula letak di hati yang tidak kelihatan. Justeru jangan cari penyakit. Jangan lunakkan suara semasa berbicara. Bersahaja, sederhana, seperti biasa, jangan dimanja-manja, jangan mengada-ngada.
...kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).
NORMALISASI MUQADDIMAH ZINA
Mencegah lebih baik daripada mengubat… bukan slogan tanpa asas!
Cabarannya, bagaimanakah penerimaan kita terhadap saranan-saranan Allah ini?
Percaya bahawa kita lebih bijak daripada-Nya?
Semua perintah dan larangan yang dihimpunkan itu tadi (sebagai memetik sebahagiannya) telah mengalami normalisasi. Semuanya sudah diterima sebagai satu cara hidup semasa.
“Make sure you balik before Midnite, ok. This is my house. You follow my rule!” kata si ayah yang ‘cool’.
Anak lelakinya keluar menonton wayang dengan rakan silang jantina.
Muqaddimah zina sudah jadi biasa. Sudah tidak lagi dianggap salah. Ia diterima sebagai satu cara hidup kontemporari, tidak hanya di kota malah di desa. Sudah jadi biasa. Lantas buruk benar kalau ia tiba-tiba digelar sebagai Muqaddimah Zina!
Itulah NORMALISASI…
“Alaa, she’s still young. Let her taste the excitement. Just be herself. Jangan hipokrit. Nanti bila nak pakai tudung tu, dia pakailah. Kita doakan!” kata si emak melihat anak perempuannya keluar rumah dengan penuh gaya.
Memaksa diri bertudung kerana di dunia ini ada Tuhan, namanya hipokrit?
Akhirnya, menutup pintu Muqaddimah Zina dianggap kolot.
Walhal itulah hidup bertamadun. Hidup yang tahu membataskan diri.
Bergaul sesuka hati, menyentuh sesedap rasa, menunggang tak kenal agama, itu Lifestyle rimba.
Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat?
Atau adakah engkau menyangka bahawa kebanyakan mereka mendengar atau memahami (apa yang engkau sampaikan kepada mereka)? Mereka hanyalah seperti binatang ternak, bahkan (bawaan) mereka lebih sesat lagi.
Saksikanlah ya Allah bahawa aku berusaha menyampaikan!
Saksikanlah ya Allah bahawa aku membantu menyebarkan!
Ustaz...entri kali ini agak mengejutkan.
BalasPadamterkadang kita perlukan kejutan untuk brubah... Moga kejutan ini membawa kita kepada Allah
BalasPadamemm.. sayer ske ngan artikel ni. betul & benar..
BalasPadamemm.. sayer pun suke kepada yang betul & benar sahaja...
BalasPadam