Segala puji bagi Allah Rabbul Jalil.
Selawat serta salam ke atas Rasul junjungan Muhammad s.a.w.
Dajjal seperti yang kita ketahui secara umumnya merupakan perkara ghaib yang wajib kita imani (percaya). Terdapat hadis yang panjang menceritakan perihal Dajjal ini sebagai persediaan dan peringatan dari Nabi Muhammad s.a.w yang kita cintai. Antaranya :
Dari Abi Umamah Al-Bahiliy, beliau berkata: “Rasululah s.a.w telah berkhutbah di hadapan kami. Dalam khutbahnya itu Baginda banyak menyentuh masalah dajjal. Baginda telah bersabda:
“Sesungguhnya tidak ada fitnah (kerosakan) di muka bumi yang paling hebat selain daripada fitnah yang dibawa oleh dajjal. Setiap Nabi yang diutus oleh Allah SWT ada mengingatkan kaumnya tentang dajjal. Aku adalah nabi yang terakhir sedangkan kamu adalah umat yang terakhir. Dajjal itu tidak mustahil datang pada generasi (angkatan) kamu. Seandainya dia datang sedangkan aku masih ada di tengah-tengah kamu, maka aku adalah sebagai pembela bagi setiap mukmin. Kalau dia datang sesudah kematianku, maka setiap orang menjaga dirinya. Dan sebenarnya Allah SWT akan menjaga orang-orang mukmin."
“Dajjal itu akan datang nanti dari satu tempat antara Syam dan Iraq. Dan mempengaruhi manusia dengan begitu cepat sekali. Wahai hamba Allah, wahai manusia, tetaplah kamu. Di sini akan aku terangkan kepada kamu ciri-ciri dajjal, yang belum diterangkan oleh nabi-nabi sebelumku kepada umatnya."
“Pada mulanya nanti dajjal itu mengaku dirinya sebagai Nabi. Ingatlah, tidak ada lagi Nabi sesudah aku. Setelah itu nanti dia mengaku sebagai Tuhan. Ingatlah bahawa Tuhan yang benar tidak mungkin kamu lihat sebelum kamu mati. Dajjal itu cacat matanya sedangkan Allah SWT tidak cacat, bahkan tidak sama dengan baharu. Dan juga di antara dua mata dajjal itu tertulis ‘kafir’, yang dapat dibaca oleh setiap mukmin yang pandai membaca atau buta huruf."
“Di antara fitnah dajjal itu juga dia membawa syurga dan neraka. Nerakanya itu sebenarnya syurganya sedangkan syurganya itu neraka, iaitu panas. Sesiapa di antara kamu yang disiksanya dengan nerakanya, hendaklah dia meminta pertolongan kepada Allah dan hendaklah dia membaca pangkal surah Al-Kahfi, maka nerakanya itu akan sejuk sebagaimana api yang membakar Nabi Ibrahim itu menjadi sejuk."
Dalam hadis lain pula menyebut sebagai yang berikut:
Dari Anas bin Malik, katanya Rasulullah s.a.w bersabda: “Menjelang turunnya dajjal ada tahun-tahun tipu daya, iaitu tahun orang-orang pendusta dipercayai orang dan orang jujur tidak dipercayai. Orang yang tidak amanah dipercayai dan orang amanah tidak dipercayai.”
Kita lihat pula hadis seterusnya:
Dari Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah s.a.w ada bersabda: “Bumi yang paling baik adalah Madinah. Pada waktu datangnya dajjal nanti, Madinah dikawal oleh malaikat. Dajjal tidak sanggup memasuki Madinah. Pada waktu datangnya dajjal (di luar Madinah), kota Madinah bergegar tiga kali. Orang-orang munafik yang ada di Madinah (lelaki atau perempuan) bagaikan cacing kepanasan kemudian mereka keluar meninggalkan Madinah. Kaum wanita adalah yang paling banyak lari ketika itu. Itulah yang dikatakan hari pembersihan. Madinah membersihkan kotorannya seperti tukang besi membersihkan karat-karat besi.”
Dahsyat tak Dajjal nih? Namun Allah dan Rasulullah s.a.w telah mengajarkan ummat akhir zaman ni persediaan bagaimana nak hadapi Dajjal. Antaranya ialah:
Dari Abu Darda' r.a Rasulullah s.a.w telah bersabda: "Siapa yang menghafal 10 ayat pertama dari surah al-Kahfi terpelihara daripada dajjal." (HR Muslim)
Dari Ali r.a berkata: "Barangsiapa membaca Surah al-Kahfi pada hari Jumaat, maka dia akan terhindar dari segala fitnah sehingga lapan hari yang akan datang walaupun dajjal keluar, dia akan terhindar daripadanya." (Tafsir Ibnu Kathir)
Dari Abu Darda r.a meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda: "Barangsiapa membaca tiga ayat daripada surah al-Kahfi, akan terhindar daripada fitnah dajjal." (HR Tirmizi)
Dari Sauban r.a meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda: "Barangsiapa yang membaca sepuluh ayat terakhir daripada surah al-Kahfi, maka sesungguhnya pembacaannya itu menghindarkannya daripada fitnah dajjal." (HR Nasai)
Kita lihat pula terjemahan 10 ayat pertama dari Surah Kahfi:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang
[1]
Segala puji terentu bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya (Muhammad), Kitab suci Al-Quran, dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong):
[2]
(Bahkan keadaannya) tetap benar lagi menjadi pengawas turunnya Al-Quran untuk memberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar) dengan azab yang seberat-beratnya dari sisi Allah, dan memberi berita gembira kepada orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka akan beroleh balasan yang baik.
[3]
Mereka tinggal tetap dalam (balasan yang baik) itu selama-lamanya.
[4]
Dan juga Al-Quran itu memberi amaran kepada orang-orang yang berkata:” Allah mempunyai anak”.
[5]
(Sebenarnya) mereka tiada mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya, dan tiada juga bagi datuk nenek mereka; besar sungguh perkataan syirik yang keluar dari mulut mereka; mereka hanya mengatakan perkara yang dusta.
[6]
Maka jangan-jangan pula engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan Al-Quran ini.
[7]
Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.
[8]
Dan sesungguhnya Kami akan jadikan apa yang ada di bumi itu (punah-ranah) sebagai tanah yang tandus.
[9]
Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah “Ashaabul Kahfi” dan “Ar-Raqiim” itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami?
[10]
(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan ugama kami”.
Didatangkan pula terjemahan 10 ayat terakhir dari Surah Kahfi:
[101]
(Iaitu) orang-orang yang matanya telah tertutup daripada melihat tanda-tanda yang membawa kepada mengingatiKu, dan mereka pula tidak dapat mendengar sama sekali.
[102]
Maka adakah orang-orang kafir menyangka bahawa mereka mengambil hamba-hambaKu sebagai makhluk-makhluk yang disembah, selain daripadaKu, dapat menolong mereka? Sesungguhnya Kami telah sediakan neraka Jahannam bagi orang-orang kafir itu sebagai tempat tetamu.
[103]
Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?
[104]
(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan”.
[105]
Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak.
[106]
(Mereka yang bersifat) demikian, balasannya neraka Jahannam, disebabkan mereka kufur ingkar, dan mereka pula menjadikan ayat-ayatKu dan Rasul-rasulKu sebagai ejek-ejekan.
[107]
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, disediakan bagi mereka Syurga-syurga Firdaus, sebagai tempat tetamu (yang serba mewah).
[108]
Mereka kekal di dalamnya, (dan) tidak ingin berpindah daripadanya.
[109]
Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan”.
[110]
Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya”.
Maha Benarlah kalam Allah yang Maha Agung.
Akhirnya; terpulang kepada kita samada ingin menghafal 10 terawal atau mengambil 10 terakhir atau mungkin menghafal 1 Surah Kahfi dan ini merupakan jalan terbaik. Nabi s.a.w telah berpesan dan pesanan tersebut telah sampai kepada kita. Adakah alasan lagi bagi kita untuk tidak bersegera mengamalkannya?
Moga amalan kita diterima dan mendapat keredhaan dari Allah.
Hanya redhaMU yang kami pinta Ya Allah.
Istighasah, boleh ke tak?
2 hari yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Assalamualaikum Warahmatullah