Isnin, 18 April 2011

Indahnya Hidup Bertuhan : Kuasa Maaf

Orang yang memiliki sifat belas kasih akan dikasihi ALLAH
oleh kerana itu berilah belas kasih kepada penduduk bumi
maka akan dikasihi oleh mereka di langit –HR Ahmad.

Sahabat dan saudaraku yang dihormati,

Kita semua mungkin pernah melalui saat-saat getir dalam kehidupan. Pengalaman yang pahit itu meninggalkan luka yang dalam di hati kita. Luka lama bakal berdarah kembali jika jiwa tersentuh atau terusik dengan peristiwa semasa. Ada juga insan yang kelihatan begitu tenang di luar, tetapi bergelora di dalam. Malah kerana ego, dirasakan terlalu sukar untuk memohon sebuah kemaafan.

Ada juga insan yang berpendapat dia tidak kisah jika ucapannya, kata-katanya atau tindakannya bisa melukakan hati orang lain. Baginya dia akan ‘melangsaikan’ hutangnya itu bila tiba hari raya saban tahun. Namun pernahkah dia terfikir apa akan jadi jika umurnya atau orang yang tersinggung itu ‘tidak panjang’ ?

Jika kita hayati permohonan serta memberi kemaafan sebenarnya mempunyai nilai yang cukup besar dalam kehidupan bermasyarakat. Nilai maaf itu tinggi ibarat permata yang perlu dipelihara. Namun masih adakah nilai maaf jika seseorang itu begitu mudah melafazkannya ke atas kesalahan dan individu yang sama? Tidak dinafikan terdapat juga insan yang hanya memohon maaf jika mempunyai kepentingan-kepentingan tertentu.

Mari kita lihat contoh di bawah:

Seorang wanita yang tertekan dengan sikap ibu mertuanya yang sering mencari kesilapan dan kesalahannya. Bukan itu sahaja, bahkan ibu mertuanya sering mempergunakan dirinya. Tetapi ibu mertuanya akan mengakui kesalahan dan memohon maaf hanya jika inginkan sesuatu dari si wanita. Malah ibu mertuanya turut mengakui dengan alasan dia sendiri tidak faham mengapa sikapnya begitu. Dan seperti selalu, anak menantu yang baik hati ini akan memaafkan dan menuruti kehendak mertuanya. Namun, setelah ibu mertuanya beroleh apa yang dihajati, perangainya akan kembali seperti sediakala dan melupakan kebaikan yang dilakukan oleh anak menantunya.

Kisah begini sering terjadi dalam masyarakat kita, adik-beradik, suami isteri, ayah dan ibu. Keadaan seperti ini akan mengakibatkan kekecewaan, apatah lagi orang yang dihadapi ialah orang yang paling rapat dan disayangi. Bila ianya terjadi, maka seseorang itu akan berusaha untuk mencari jalan penyelesaian bagi menyedarkan kesalahan perangai dan kesilapan yang dilakukan.

Namun makin dicari jalan keluar, makin bertambah beban. Bahkan penyelesaian yang disangka ‘jalan keluar’ itu sebenarnya hasil fikiran yang telah disaluti emosi negatif. Bahkan emosi negatif ini juga bertindak melemahkan sumber kekuatan, menganggu sistem saraf yang akhirnya bakal menjemput segala jenis penyakit ke tubuh.

Makin banyak difikirkan, makin banyak emosi negatif ini terkumpul difikiran. Bertambah parah jadinya bila sentiasa berhadapan dengan orang yang sering memohon maaf tetapi masih melakukan kesalahan yang sama berulang kali. Ditambah lagi jika orang itu tak mampu dielakkan seperti seorang isteri yang berhadapan dengan perangai suaminya.

Saudara dan sahabatku,

Bagaimanakah nak menghadapi dan mengatasi masalah ini? Apa yang perlu kita buat?

Mudah saja. Jawapannya:

Kita BERI mereka kemaafan SEBELUM mereka meminta maaf.

Ini kerana nilai maaf mereka murah dan palsu semata. Mereka akan ‘keep on repeating’ kesalahan yang sama. Malah mereka akan menyakiti kita semula bila sudah dapat apa yang mereka mahu. Oleh itu, berilah kemaafan dengan hati yang tulus, ikhlas hanya kerana ALLAH. Usah berdendam usah beremosi. Yakinilah bahawa setiap kebaikan yang kita lakukan akan diberi ganjaran sepuluh kali ganda. Semakin banyak kebaikan yang kita lakukan semakin banyak kurniaan kebajikan dari ALLAH kepada kita. kebajikan inilah merupakan ubat bagi kita tatkala berhadapan dengan masalah.

Memang diakui bahawa memberi sebuah kemaafan secara percuma kepada orang yang menyakiti kita adalah teramat sukar dan gila! Namun latihan demi latihan perlu dibuat yang akhirnya menjadikan ianya sebuah tabiat. Tanamlah dalam jiwa akan ingatan dari Rasulullah saw bahawa ‘Tangan yang di atas lebih mulia dari tangan yang di bawah’. Lakukanlah sesuatu itu kerana ALLAH, kerana bila kita lakukan kerana ALLAH, pasti bantuan ALLAH akan tiba dan kejayaan menunggu dihujung cerita. Berilah kemaafan kerana-NYA.

Belajar dan berusahalah memberi kemaafan sebelum di pinta dan berilah dengan hati yang ikhlas kerana ALLAH. Dengan izin ALLAH kemaafan itu bakal menjadi ubat kepada kekeruhan yang sediada. Usah lupa untuk berterima kasih kepada ALLAh, kerana tanpa izin-NYA tiada suatu pun boleh terjadi.

Sahabat dan saudaraku,

Bagaimanakah untuk belajar memaafkan?

Mudah saja. Jawapannya:

Belajarlah untuk berdoa, kita pasti tidak mampu untuk mengubah sesuatu hanya dengan akal kita yang ternyata cukup terbatas kemampuannya. Berdoa dan pohonlah pada ALLAH. Mintalah petunjuk dari-NYA.

Seterusnya apa yang harus dilakukan hanyalah satu, renung gambar orang tersebut dan senyum. Ya senyum. Biar pun mula-mula senyuman itu palsu, namun percayalah bahawa dengan senyuman mampu melunakkan hati kita yang keras dan kita tidak lagi ambil peduli tentang kisah lama. Antara tanda kita diambang pemulihan ialah kita kini merasa kasihan dengan perangainya dan berharap pada ALLAH dia akan berubah suatu masa nanti.

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

‘Orang mukmin itu bukanlah seorang yang pendendam’

Rabu, 13 April 2011

Indahnya Hidup Bertuhan : Dendam Halus

Assalamualaikum Warahmatullah Wabarakatuh.

Kembali menemui sahabat serta saudaraku. Moga di dibawah rahmat dan naungan ALLAH Rabbul Jalil.

Dendam merupakan salah satu punca kenapa kita sukar memberi kemaafan yang sebenarnya. Dendam juga merupakan virus-virus negatif yang bersarang di dalam sanubari kita sejak sekian lama. Puncanya, kita sendiri! Lihat sahaja filem yang kita tonton, tanpa mengira acuan hollywood, bollywood, indowood dan malaywood. Tidak lupa juga pada k-pop.

Hollywood misalnya, cerita bersiri seperti CSI, Castle, Prison Break, 24. Juga cerita-cerita Box Office seperti Pirates of Carribbean, Harry Potter, Transformers. Versi kartun juga tidak ketinggalan Shrek, Ben-10 dan 1001 cerita yang terpapar dikaca tv. Sering dipaparkan jalan cerita yang cliche, bergaduh kerana kecewa, dengki, tak puas hati dan akhirnya perbalahan dan pergaduhan berlaku mengakibatkan pertumpahan darah atau kerugian. Yang menariknya, besi pun terheret sama memiliki dendam yang tak berkesudahan.

Natijahnya, bagi yang kalah akan berusaha mencari ruang dan peluang untuk membalas dendam. Yang kalah akan mencurahkan segala tumpuan dan tenaga untuk mencapai matlamat membalas dendam agar hatinya puas. Pelbagai cara dan pendekatan dibuat tanpa mengira samada perlu berlakon atau menipu. Apa yang penting rasa sakit hatinya berbalas.

Bagi penggemar kisah dari Korea atau Jepun, cerita seperti Love To Kill, Green Rose, Prosecutor Princess dan Moero Attack (sekadar menyebut beberapa tajuk) juga tidak terlepas dari cengkaman elemen dendam di dalamnya. Tanpa sedar elemen ini ditanam dengan jayanya di dalam stor simpanan minda bawah sedar (sub-conscious mind) kita dan hasilnya konsep dendam akan mudah kita aplikasikan jika sesuatu yang berlaku bersalahan dengan kemahuan dan keinginan kita. Bila kita terasa, hati dilukai, perasaan terhiris, batang tubuh disakiti, harta benda dikhianati, konsep dendam yang tersimpan tadi akan kita guna pakai untuk bertindak balas supaya orang yang melukai kita rasa apa yang kita rasa.

Saudara dan sahabatku,

Kita dibekalkan oleh ALLAH dengan pemikiran yang suci murni dan tanpa sedar kita sebenarnya yang telah merosakkan pemikiran itu. Bila dendam membara, fikiran kita seolah-olah tertutup. Tumpuan hanyalah ditujukan kepada apa yang didendami. Kita tidak akan puas selagi misi tidak berjaya. Selamanya akan rasa terbeban dan tertekan dengan dendam. Jika pun boleh membalas, bukankah memberi kemaafan itu yang lebih afdal?

Rasulullah pernah memberi pesan dengan sabda baginda yang bermaksud:
"Sebaik-baik anak Adam ialah orang yang lambat marahnya dan segera pula reda bila marah, dan sejahat-jahat anak Adam ialah yang cepat marahnya dan lambat pula reda kemarahannya."

Saudara dan sahabatku,

Terdapat sejenis dendam yang perlu kita beri perhatian demi kebahagiaan kita dimasa akan datang. Dendam ini dikenali sebagai Dendam Halus. Dendam ini yang perlu diperhati. Dendam ini yang perlu dikikis. Dendam ini yang perlu dijauhi. Terhasilnya akibat dari rasa tidak puas hati dan kita tidak upaya membalasnya. Contohnya lah, seorang murid yang diaibkan oleh gurunya dihadapan rakan sekelas akan mengakibatkan sang murid tadi akan selalu memikirkan bagaimana cara supaya si guru terima pembalasan supaya hatinya lega. Selagi dendam tidak berbalas selagi itu luka tidak akan sembuh.

Adakah kita punya virus serupa? Bagaimana cara untuk mengenalpasti?

Caranya cukup mudah. Katakan kita berbalah dengan A dan telah berdamai. Cuba cari gambar atau apa sahaja barangan milik A tadi. Kemudian renungkan barangan tadi. Seterusnya kita soal diri kita, apa yang kita rasa? Jika kita tiada rasa apa-apa, itu merupakan satu perkembangan yang bagus. Namun jika masih ada rasa tidak puas hati atau ada rasa yang belum puas atau rasa 'bengkek', maknanya kita sedang menghidap Virus Dendam Halus.

Apa kesannya kepada kesihatan kita?

Dendam Halus yang terpahat di dalam sub-conscious mind kita akan mengakibatkan kita kerap memikirkan tentang si A, rangka kerja membalas dendam, pelan bertindak menyakitinya yang sebenarnya segala apa yang difikirkan itu adalah suatu tindakan yang sia-sia dan membuang masa. Seterusnya, fikiran seumpama ini akan menghasilkan Energi Negatif dan akan menghasilkan himpunan Law of Attraction yang juga negatif. Akibatnya, kita akan sentiasa dalam keadaan negatif, selalu bermasalah, bertemu dengan orang yang bermasalah dan mempunyai world view terhadap kehidupan yang negatif. Anda semua tahukan apa akibatnya?

Oleh itu, saya menyeru diri saya dan juga kepada saudara dan sahabat agar memeriksa dan menghapuskan denggi dan dengki dengan kadar segera jika ada.

Bagaimana ya? itu mungkin soalan yang diajukan.....

Entry akan datang (dengan izin Allah swt) akan membincangkan ke'power'an maaf dan betapa mudahnya memberi sebuah kemaafan serta perkara-perkara yang berkaitan.

Selasa, 12 April 2011

Indahnya Hidup Bertuhan : Terima Kasih

Segala puji buat Empunya alam semesta yang Maha Kaya lagi Maha Perkasa. Kebijaksanaan-NYA yang tiada tara. Segala puji bagi-NYA.

Selawat dan salam ke atas Rasulullah saw kekasih ALLAH dan pujaan kita dan juga kepada ahli keluarga baginda serta para sahabat.

Sahabatku,

Entry yang lepas kita dihidangkan tentang bagaimana kita melihat masalah dari sudut yang berbeza dari biasa. Sebagai natijahnya kita telah jadi LUAR BIASA. Setiap hari yang kita lalui terhidang dihadapan kita dengan permasalahan yang datang dalam pelbagai bentuk. Malah, terkadang kegembiraan itu juga bakal mengundang masalah suatu masa nanti.

Kita pernah dengar peribahasa yang berbunyi "Orang memberi, Kita merasa". Itu nasihat orang dulu-dulu kepada generasi akan datang. Akan tetapi, kita kadangkala terlupa untuk 'merasa' mungkin kerana terlupa untuk menghargai atau terlalu ghairah terhadap apa yang kita dapat. Mari kita lihat, penghargaan yang macam mana perlu ada pada kita.

Pahit dan manis yang kita lalui saban hari mewarnai kehidupan kita di pentas dunia. Biasanya bila manis yang kita hadapi, maka kegembiraan akan terpapar bukan sahaja diwajah tetapi turut melibatkan perilaku kita. Dan jika ianya benar-benar manis dan mengembirakan bukan hanya sekali malah berkali-kali kita luahkan rasa terima kasih kita terhadap orang yang membuatkan kita gembira.

Akan tetapi jika pahit yang menjelma, muka masam mencuka, muncung sedepa, bahang terasa, yang besar dilihat kecil di depan mata. Apatah lagi jika punca kepahitan itu dari insan lain, pasti akan diundang ke majlis pergaduhan.

Senario....

Kita pernah dengar atau lihat bagaimana insan yang dihimpit perasaannya tidak teragak-agak untuk menamatkan riwayat mereka (bunuh diri). Ada yang mengancam untuk terjun bangunan, meminum racun, menggunakan pisau, menggantung diri, baring atas rel keretapi, terjun jambatan dan 1001 cara lagi. Kite bako je... bak kate usop whilcha.

Bila kita selami punca tekanan perasaan itu, rupa-rupanya berpunca dari masalah percintaan yang terputus ditengah jalan atau kewangan yang kritikal yang mereka ini TIDAK JUMPA JALAN KELUAR. Begitu dahsyat sebenarnya tekanan perasaan ini hingga menutup terus pintu hati untuk memikirkan kesan pada akidah akibat perbuatan membunuh diri.

Saudaraku,

Apa yang cuba saya sampaikan ialah, ketika kita mengalami masa-masa gembira dan bahagia, kita akan memilih untuk mengucapkan TERIMA KASIH. Tetapi ketika hujan turun ditengahari, tatkala kita bersedih dan berduka, bukan itu kalimah yang terbit dari kita.

Bila kita berjaya, pantas ucapan terima kasih diucapkan kepada orang yang membantu. Berjaya renew roadtax misalnya, atau berjaya sampai ke pejabat hari ini. Malah terkadang bukan sekali ucapan terima kasih kita berikan, berkali-kali!. Tetapi kita sering lupa kepada kuasa yang sebenarnya membantu keberjayaan (jika boleh ditambah imbuhan ini) kita. Kita lupa mengucapkan terima kasih kepada ALLAH. Kita lupa bahawa sesuatu itu TIDAK AKAN berlaku tanpa keizinan dari ALLAH. Sesuatu itu takkan terjadi tanpa perkenan dari ALLAH. Maka setiap apa yang berlaku adalah KERANA ALLAH.

Lupakah kita bahawa kita lahir kedunia ini pun atas izin-NYA? Adakah kita mampu berjalan tanpa keizinan-NYA? Adakah kita mampu menangis, ketawa, bermain, makan dan minum tanpa keizinan dari ALLAH? Jika begitu, mengapa tiada ucapan terima kasih dari kita untuk-NYA atas apa sahaja yang berlaku?

Apa sahaja yang berlaku? ya, apa sahaja yang berlaku. Jika bahagia dan kegembiraan yang kita alami, sewajarnya ucapan terima kasih diberi. Jika duka mengundang, bukankah masalah yang hadir itu tujuannya untuk kita ingat pada ALLAH? menyebut-nyebut nama-NYA? Maka sewajarnya ucapan terima kasih juga kita beri. Teringat akan pesanan Kekasih ALLAH Rasulullah saw ketika kita ditimpa sesuatu yang kurang mengembirakan baginda menasihatkan agar kita menyebut "Alhamdulillah 'ala kulli hal" (Segala puji bagi ALLAH ke atas setiap sesuatu).

Ayuh saudara dan sahabatku,
Kita jadi orang LUAR BIASA, mengucapkan TERIMA KASIH pada ALLAH. TQ ALLAH.

TQ ALLAH kerana membantuku membaca tulisan ini.

Adakalanya kita mengalami saat-saat yang cukup memedihkan. Terasa hingga ke ulu hati. Sakitnya bukan kepalang. Pedihnya tidak terperi. Orang disekeliling menasihatkan "Maafkanlah...." Hakikatnya adakah kita mampu memaafkan? Adakah benar kita memaafkan?

Bertemu di entry akan datang Insya ALLAH.

Isnin, 11 April 2011

Indahnya Hidup Bertuhan : Masalah

Assalamualaikum Warahmatullah Wabarakatuh...

Segala puji bagi ALLAH yang Maha Mengetahui, Maha Bijaksana, Pemberi Ilham, Maha Adil, Pemberi Ketenangan, Maha Sempurna dengan segala sifat kebaikan.

Selawat serta salam kepada kekasih-Nya Muhammad saw semoga ditempat di 'wasilah' iaitu kedudukan yang tertinggi disisi ALLAH swt di akhirat kelak. Keselamatan juga di doakan terhadap ahli bait, para sahabat serta mereka yang berusaha menegakkan Islam diseluruh pelusuk dunia.

Menemui kembali saudaraku semoga mendapat naungan dan sentiasa dilindungi oleh ALLAH swt. Di pohon juga agar sentiasa di curahi dengan hidayah beserta taufik dari ALLAH swt.

Saudaraku, Kali ini, saya ingin berkongsi sebuah pengalaman serta pengembaraan (macam kisah mengembara ke angkasa lepas lak) menerusi tajuk baru ni.

Harapan saya agar kita semua dapat ambil apa yang perlu untuk kita amalkan. Terlebih dahulu, jadikan diri kita 'UMMI' dulu supaya mudah untuk belajar. Cemana tu? Kita berlapang dada, terima apa sahaja yang bakal kita baca dengan fikiran yang positif. Mungkin apa yang bakal kita baca ini ada maklumat yang berulang, namun percayalah pasti ada manfaat terhadap pengulangan tersebut. Baca dan fahami dengan betul, supaya kita tidak salah faham, bersangka buruk seterusnya melipatkan gandakan dosa.

'Orang bijak melihat hasil di awal usaha, Orang yang kurang bijak melihat hasil di akhir usaha'

Hampir setiap hari kita berhadapan dengan masalah. Tak kira lah masalah kecil atau besar, ianya tetap dipanggil dengan masalah. Orang jawa kata problem.

Bapak dengan masalah keretanya, emak pulak dengan masalah nak masak apa, si anak dengan masalah banyak homeworknya. Setiap kita pasti akan berhadapan dengan masalah. Soalannya, kenapa perlu kita ada masalah?

Sebelum tu, mari kita lihat kita ni dalam golongan yang mana. Manusia yang ada masalah ni terbahagi kepada EMPAT puak:

Puak 1: Bila ada masalah, dia akan SALAHKAN DIRI SENDIRI.

Puak 2: Bila ada masalah, dia tuding jari pada orang lain. SALAHKAN ORANG LAIN.

Puak 3: Berusaha hadapi masalah tu, tapi tak inovatif dan belum berjaya.

Puak 4: Tak pernah gagal dalam hadapi masalah.

Okeh...
Perbincangan seterusnya, bukannye nak kenal pasti kita dimana atau engkau dimana atau aku dimana. Kalau pun tahu duduk diamnya kita dimana, kita akan cari pulak punca kenapa kita disitu. Akhirnya kita tetap tidak berubah dan tetap disitu. Malah yang lebih teruk, kita jadi makin negatif. Na'uzubillah.

Ingatlah bahawa Allah itu Maha Memudahkan dan tak pernah menyusahkan.

Orang yang melihat masalah itu sebagai masalah ialah biasa, tetapi orang yang melihat masalah sebagai permainan dan menghiburkan ialah LUAR BIASA. Jom kita jadi insan yang LUAR BIASA.

Mari kita jadikan masalah sebagai permainan yang menyeronokkan dan kejayaan itu lumrah dalam kehidupan.

Namun, perlu diingat ilmu sahaja tanpa amal takkan membawa kita kemana-mana. Persepsi sahaja tanpa ada daya usaha sama seperti laungan - laungan retorik yang biasa kita dengar (anak-anak yang tak tau sila rujuk dengan orang lebih tua yang berdekatan).

Mulai hari ini, kita perlu bersyukur kepada ALLAH kerana dikurniakan masalah dalam kehidupan. Sila lihat senario berikut, kalau tak nampak, sila imagine. Saya percaya daya imaginasi kalian agak tinggi melampaui paras bahaya.

Jika ada pasangan bercinta, adakah memadai dengan kata-kata 'I Love You' dan 'I Love You Too'. Saya teramat yakin dan percaya, jika hubungan itu hanya dihiasi dengan kata-kata manis bersulam madu, seronoknya hanya seketika. Perpisahan menanti dihujung cerita. Dan seperti biasa, tidak sefahaman menjadi alasan utama. Walhal mereka sebenarnya saling TIDAK MENGENALI antara satu sama lain. Itu puncanya.

Eh, bukankah tak kenal maka tak cinta?

Lihat pula senario ini,
Merajuk... Lalu pasangan datang memujuk. Dipujuk dengan bunga, tak layan. Dipujuk pula dengan coklat.... Ohh, rupanya boleh hilang rajuk dengan coklat. Lalu setelah itu dia tahu apa yang pasangannya suka dan cara memujuknya.

So, begitu juga kita dengan masalah. ALLAH memberi kita masalah sebagai lambang kasih sayang dan cinta. Kerana, bila kita berhadapan dengan masalah, kita akan lebih MENGENAL-NYA dan lebih banyak MEMOHON kepada-NYA. Malah kita akan lebih banyak MENGINGATI ALLAH. Selepas itu, kita akan diperlihat bagaimana sayangnya ALLAH pada kita dan bagaimana DIA menyelesaikan problem kita melalui jalan yang kita tak pernah duga.

Maka, tanpa mengira kita di puak yang mana (empat puak di atas) hadirnya masalah merupakan tanda bahawa ALLAH sayang kita. Terutama puak yang pertama yang merasakan dirinya lemah. Kerana kelemahan itu, dia berdoa, merayu dan mengharap pada-NYA. Terbukti bahawa masalah itu telah mendekatkan kita kepada ALLAH.

Ada jugak yang bertanya, "Kalau macam tu, apesal masalah aku tak selesai gak?" Jawapannya ada pada diri kita. Sistem yang sepatutnya kita follow ialah "Hablum minallah wa hablum minan nas", tapi kita pandai-pandai alter jadikan "hablum minan nas wa hablum minallah" (Huraian akan diberikan pada entry akan datang).

Saya datangkan senario....
Acu kira berapa KALI kita berdoa & bagaimana kita berdoa waktu kita takda masalah? bandingkan pula sewaktu kita sedang bermasalah. Kan jauh bezanya. Bukankah dengan adanya masalah, maka doa kita lebih 'feel' dan lebih merasakan keberadaan ALLAH yang mana selama ini hanya terucap tanpa rasa? Bukankah benar dengan adanya masalah, kita lebih banyak menyebut nama ALLAH?

Maka benarlah bahawa masalah itu adalah hadiah dan tanda kasih sayangnya ALLAH pada kita kerana ALLAH menyintai dan mahu mendengar doa kita. Jika kasih sayang-NYA dapat dilihat dalam masalah, maka masalah adalah ungkapan cinta dan mainan yang menyeronokkan lagi mengasyikkan.

Saudaraku, start dari sekarang, jom kita lihat kasih sayang ALLAH yang terkandung dalam setiap masalah kita.

ALLAHu'alam

Khamis, 7 April 2011

Praktik cinta nabi

Bukan senang untuk mencintai seseorg yg tidak pernah kita lihat . Lagipun Rasulullah s.a.w telah meninggalkan kita 1400 tahun yang lalu.

so apakah cara utk membuatkan kita mencintai Rasulullah s.a.w tanpa disuruh dan dipaksa ?

Ramai orang di Malaysia yang termimpi-mimpikan Messi tanpa pernah menemuinya, tanpa pernah ke Barcelona malah sekadar bermain bola di dalam lumpur kampung di Jemapoh.

Rambutnya macam rambut Messi, sirah hidup Messi begitu dihafalnya, malah mungkin seluar dalamnya pun berjenama FC Barcelona, biar pun sekadar beli di pasar malam.

Dia menjadi duta Messi dan Barcelona biar pun tidak pernah bertemu malah sekadar berpalit lumpur Jemapoh.

Tanyalah mereka bagaimana mereka boleh sampai cinta segila itu?

Rabu, 6 April 2011

Tenang.....

Umat islam seharusnya lebih hebat daripada yang lain. Umat islam tidak membaca menggunakan nafsu tetapi menggunakan ilham yang disampaikan oleh Yang Maha Bijaksana… Allah SWT. Dia Yang Maha Tahu kerana semua apa yang ada di langit dan di bumi dan di antaranya adalah ciptaanNya.

Nah! kini kita memahami jalan ceritanya. Tinggal kita ingin menjadi orang yang berjiwa tenang.

Caranya yakinlah pada Allah melalui kata-kataNya iaitu “Hanya dengan mengingat Allah, hati menjadi tenang”.

Sebuah ayat Al-Quran yang tidak ada keraguan padanya. HANYA bermakna tidak ada yang lain melainkan dengan mengingat Allah sahajalah jiwa menjadi tenang.

Jiwa ini ditenangkan Allah. Dan Allah akan menenangkan kita seandainya kita sentiasa mengingat Allah.

Lalu timbul lagi persoalan. Bagaimana untuk sentiasa mengingat Allah?

Seandainya kamu mencintai seseorang pasti kamu sukar melupakan. Nah! inilah jalannya. Seandainya ada rasa cinta kita pada Allah, mana mungkin kita akan lupakanNya walau sesaat pun.

Dalam apa jua hal, kita tetap terus ingat Allah walaupun ketika kita melakukan kerja di dalam melaksanakan amanah Allah SWT.

Oh! Bagaimana pula untuk mendapatkan cinta Allah? Sememangnya semuanya adalah hak Allah untuk memberikan rasa cinta kepadaNya dalam hati kita.

Namun atas daya kemanusiaan yang dikurniakan Allah, kita sekadar mampu berkomunikasi dengan Allah SWT setiap apa yang kita fikirankan dan lakukan. Dengan komunikasi, kita dapat selarikan apa yang kita fikir serta kerja kita dengan menyedari Allah SWT.

Oh! indahnya setelah kita tahu caranya. Lalu praktikkan kerana hanya dipraktikkan sahaja yang mampu memiliki cinta Allah SWT .

Sesekali di dalam tenang, luncurkan jiwa itu kuat menyedari Allah SWT. Kamu pasti akan terus diilhamkan Allah di dalam tuntunannya melayari hidup berTuhan ini.

“ya Allah terima kasih ya Allah”

Apa yang anda mahu ketika solat?

Assalamualaikum Warahmatullah....

Bersyukur kita kepada Allah dan hanya pada Allah, atas segala nikmat yang dikurniakan kepada kita secara percuma dan tanpa kita pinta. Allah Maha Memberi. Allah tetap memberi walau kita jarang berterima kasih. Allah Maha Pengasih. Allah Maha Penyayang.

Pujian tertinggi untuk Allah. Maha suci Allah dari sebarang sekutu. DIA yang awal DIA yang akhir. Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Solawat dan keselamatan ke atas Nabi junjungan Muhammad saw serta ahli keluarga baginda dan para sahabat baginda.

Hari ni, saya ingin mengingatkan diri saya tentang “apa yang saya mahu ketika solat”.

Kawan kawan.

Tatkala kita sedang solat, pasti akan datang pelbagai perkara dalam kotak fikiran sebaik sahaja kita selesai takbir. Otak kanan kita yang mampu menghasilkan pemikiran berbentuk abstrak dan kesenian menunjukkan taringnya yang sebenar. Heheheh... maka kita akan terbayang dan terkenang. Imaginasi kita cukup hebat kala ini. Hampir setiap benda yang kita pernah lalui boleh muncul. Barang hilang, tugasan yang belum selesai, kain baju di ampaian, kereta, motor, henpon. Hatta perbualan kita dengan boss pun boleh diingat setiap butir kata.

Kawan kawan.

Kalau kita tanyakan kepada orang yang melakukan solat “apa yang anda mahu ketika solat?”. Pelbagai jawapan diberikan. Ada yang mahu khusyu’, Ada yang inginkan ketenangan, Ada yang mahu keredhaan Allah, ada juga yang mahu pahala, menuruti perintah Allah, ada yang mahu solatnya diterima Allah, ada yang mahu diampunkan dosa, ada juga yang inginkan doanya diterima dan dimaqbulkan dan ada yang mahu berhubung dengan Allah.

Kawan-kawan.

Apa tujuan kita solat? Kita solat adalah kerana kita ni hamba. Memperhambakan diri kepada Allah swt. Bertemu Allah swt sebagai hamba. Supaya kita boleh berkomunikasi dengan Allah swt, boleh mengadu pada Allah swt, boleh merayu pada Allah swt, boleh merintih juga pada Allah swt. Lantas kita buktikan bahawa kita sememangnya lemah, hina, miskin di hadapan Allah swt.

Tapikan, menda-menda itu tidak berlaku pun bila kita solat. Kita tidak pun merasakan kita berbual dengan Allah swt. Kita tidak pun merayu-rayu pada Allah swt. Tidak juga merintih apatah lagi mengadu.

Buktinya, kita lebih suka berborak-borak kosong dengan member kat kedai kopi dari pada berborak serta berlama-lama dalam solat. Kita lebih suka mengadu dan bercerita masalah kita dengan best friend kita berbanding mengadu dan bercerita pada Allah swt. Malah yang lagi sadis kita gemar menceritakan keburukan orang lain dengan kawan kita berbanding kita adukan pada Allah swt.

Y? Kenapa ini semua terjadi?

Kerana kita TAK TAHU apa yang kita buat time solat. Ya mungkin kita tahu tapi kita TIDAK RASA.

Kita tak rasa bahawa kita menghadap Allah swt. Kita tak rasa yang kita berjumpa Allah swt. Kita tak rasa yang kita ni kerdil di hadapan Allah swt. Kita TAK RASA dan TAK PERNAH RASA. Kita tiada IHSAN.

Bagaimana rasanya bila anda berjumpa dengan orang yang anda segan?
Bagaimana rasanya bila anda berbual dengan orang yang anda cinta?
Bagaimana rasanya bila anda berhadapan dengan pihak berkuasa yang mengetahui kesalahan-kesalahan anda?

Ini merupakan soal rasa. Dan ‘rasa’ terjadi tanpa kita fikirkan.

Kawan-kawan.

Apa yang kita mahu ketika solat? Ya tidak lain dan tidak bukan, kita hanya mahu Allah swt dan hanya Allah swt.

Senarai Blog Saya

Pengikut