Memaparkan catatan dengan label zikir. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label zikir. Papar semua catatan

Selasa, 14 Disember 2010

Cintakah aku?


Menyambung kembali apa yang terputus. Dalam penulisan yang lalu, aku ada sentuh tentang reaksi kita yang nak cepat habis dalam solat. Boleh rujuk di cinta manisnya hanya dibibir. Di akhir penulisan tu aku ada sentuh perkara berkaitan cinta. Aku petik perenggan terakhir:

Kemudian, ramai antara kita yang melayu islam ngaku dengan lidah bahawa kita cinta Allah dan Rasulullah saw. Betul ke kita cinta? apa bukti cinta kita? apa pulak usaha kita untuk meraih cinta? Cuba amik masa barang semenet dua, tanya sama diri kita. Apa betul kita cinta sama Allah?

Adakah aku benar mencintai Allah? atau cintaku kepada Allah hanya bermain dibibir. Mengapa terlalu sukar untuk merasainya cinta kepada-Nya? Walau pun akal secara logik mengiakan cinta, tetapi hati tidak terasa apa-apa. Mengapa?

Soalan seterusnya... bagaimana hendak bercinta dan menyintai Allah?


To be short, cinta itu ialah : 1 perasaan yang istimewa dalam diri.
Dalam cinta pelbagai rasa boleh menjadi satu. Rindu, sayang, kasih, dan seribu satu rasa yang lain.

Maksud cinta yang pelbagai kerana hati manusia yang punya pelbagai rasa walau pun kaler rambut sama hitam dan sama-sama punya sel darah kaler merah. begitulah Allah menciptakan kita manusia ini dengan penuh kasih dan sayang.

Kita tinggalkan makna cinta. Fokus kita hari ni ialah: bagaimana nak dapatkan cinta?

Bagi korang yang pernah dan sedang bercinta, bagaimana korang 'jatuh cinta'? bagaimana korang 'bercinta'? bagaimana perasaan cinta itu boleh ada?

Aku yakin dan percaya bahawa cinta takkan hadir jika tiada 'usaha' dilakukan untuk meraih cinta.

Boleh tak jika:
Aku bagi korang masa 3 menet untuk cinta aku.
Korang tetiba dimaki annonymous dan terus jatuh cinta padanya.

Maksudnya, cinta ini kita perlu usahakan dan ada step step nya. tak gitu?

Orang kata, dari mata jatuh kehati. Betul kah cinta itu dari mata? Love at 1st sight kata mat dan minah saleh. Bagaimana dengan saudara kita si buta? tidak layak bercinta? Makanya punca berputik cinta bukan dari mata.

Cinta itu hadir bila wujudnya KOMUNIKASI antara dua pihak. Komunikasi yang positif akan melahirkan pelbagai natijah yang juga baik-baik belaka dan salah satunya cinta.

Sekali lagi aku bertanya kepada korang. Bagi korang yang pernah dan sedang bercinta, bagaimana korang 'jatuh cinta'? bagaimana korang 'bercinta'? bagaimana perasaan cinta itu boleh ada?

Kerana korang telah mewujudkan komunikasi bersama pasangan. Bergayut, ber'sms', berdating, bertemu, berpoya-poya. Oleh itu, timbullah perkataan seperti kita sesuailah, serasi, ada chemistry, sejiwa, sehati berdansa dan mari menari. Akhirnya barulah dirasakan manisnya perasaan, indahnya suasana, happy sepanjang masa kerana ditemani cinta.

Rindu yang mencengkam sehingga makan tak lena, tidur tak kenyang, mandi tak sabun, kuliah tak masuk, study tak pernah, assignment tak siap, periksa tak lulus. Dahsyatnya terkadang penangan rindu dan cinta nih. Harapnya janganlah sampai ketahap berak tak cebok, tu kes naya...

So, (enaf) dengan ceriter cinta makhluk. Now, Fokus seterusnya: Bagaimana nak mencintai Allah?

Secara sunnatullahnya, jika kita makan dengan kadar tertentu akan mengakibatkan kita kenyang. Jika kita tidur lewat malam akan mengakibatkan subuh gajah. Jika kita curi moto EX5, mungkin kita akan dibelasah hingga mati.

Maka menjadi sunnatullah juga untuk kita mencintai Allah, tidak dapat tidak kita kena ada 'usaha' untuk meraihnya. Apa usaha kita? BINA KOMUNIKASI dengan Allah. Komunikasi bagaimana? Eh, dengan manusia boleh je berkomunikasi, dengan Allah tetiba tak tahu cemane. Bukan kah Allah itu lebih dekat dari urat leher kita? Buktinya (try ushar):

[16]Qaf
Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya,


Kalau tak tahu jugak mcm mana caranya, disini aku persembahkan cadangan cara untuk berkomunikasi dengan Allah. (Perhatian, ini bukan satu-satunya cara, tetapi salah satu dari pelbagai cara yang boleh dilakukan).

1. Solat.

Fardhu dan Sunat. Ibadah yang Allah bagi direct pada Rasulullah saw secara 'berjumpa'. Ibadah lain melalui perantaraan Jibril. Komunikasi tahap tertinggi kepada Allah. Tempat rehat ruh dan jiwa. Allah ingatkan melalui firman-Nya yang bermaksud:

[45]Al-Baqarah
Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;
[46]
(Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya.


Melalui ayat ni, Allah ajar kita untuk capai khusyu' dalam solat dengan cara berikut,

Pertama : "mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka".

Berapa ramai yang meyakini bahawa solat itu 'berjumpa Allah'? Ada yang mengadap Allah dengan pagoda atau baju berlengan di seng seng (kerana amik wudhu dan tidak di kemaskan kembali). Mengadap Allah dengan keadaan nak cepat habis sehingga terkadang jika kita perhati melalui fikiran yang waras, hampir mustahil untuk membaca Surah Fatihah kerana sekejap sangat berdirinya. Bagaimana cintakan hadir jika komunikasi kita tidak berkesan?

Kedua : "
bahawa mereka akan kembali kepadaNya".

Berapa ramai pula yang ingat mati time solat? Kebanyakkan akan ingat hal-ehwal dunia, perkara yang kecil boleh jadi besar dan akhirnya kita akan lupa berapa rakaat solat kita. Paling tidak pun, tatkala kita tersedar dari lamunan, sudah pun di tahiyyat akhir (situasi solat berjemaah). Mungkin juga itu sebabnya bila kita lupa sesuatu, disuruh solat 2 rakaat. Mana tawu boleh ingat.
Bagaimana cintakan hadir jika komunikasi kita tidak berkesan?

Rasulullah saw cukup menjaga solat baginda. Nabi cukup suka solat sunat terutama witir, dhuha dan tahajjud. Kecintaan baginda kepada Allah yang begitu tinggi sehingga jasad baginda tidak mampu menahan kehendak ruh yang meluap-luap. Baginda solat sehingga bengkak kaki!!

"Oh itu nabiiiii...boleh la.... kita kan kena bersederhana" kata kita. Mari perhati maksud ayat berikut:

[31]Ali-Imran
Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka IKUTILAH DAKU, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Mari kita belajar bahasa pulak. Pernyataan bersyarat di atas amat jelas. JIKA cinta / mengasihi Allah, MAKA ikut cara hidup Rasulullah saw, HASILNYA Allah akan cinta/mengasihi serta memberi ampunan-Nya kepada kita. So cara lain untuk mencintai Allah ialah dengan ikut cara yang Rasulullah saw buat. Ikut komunikasi baginda.

Siapa insan yang pernah hidup atas muka bumi ini yang paling sederhana? Sudah tentu Rasulullah saw. Sepatutnya kita menjadikan Rasulullah saw sebagai penanda aras kesederhanaan kita dan bukannya berpaksikan nafsu. So, cara sederhana siapa yang kita ikut selama ini?

Oleh itu, kita perlu melaksanakan Solat Fardhu dengan sehabis baik, serta memperbanyakkan Solat Sunat. Namun, melazimi yang sedikit secara berterusan lebih baik dari melakukan sekali banyak tapi dimasa yang lain bersikap culas. Contohi Bilal bin Rabah yang istiqomah menjaga wudhu dan Solat Sunat 2 rakaatnnya dengan ikhlas sehingga Allah menghadiahkan syurga buatnya.

2. D.A.D.A.

Formula ni Dr Azhar yang bagi sewaktu kitorg jemput dia buat talk. Kita sering meletakkan Allah bukan pada tempatnya. Kita tahu bahawa meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya ialah makna bagi zalim. Kenapa begitu? begini analoginya:

Seorang murid perlu mintak izin dari guru di dalam kelas untuk ke toilet sewaktu sesi pembelajaran.
Seorang anak perlu mintak izin dari ibu atau bapa untuk keluar bersama teman.
Seorang pekerja perlu mintak izin dari boss sebelum melaksanakan sesuatu tugas.
Pilot kapal terbang perlu mintak izin dari menara kawalan untuk mendarat di epot.
Nak pakai kereta jabatan, kereta kawan, perlu mintak izin.

Adakah kita pernah 'mntk izin' atau 'makluman' atau 'pemberitahuan' kepada Allah sebelum melakukan sesuatu?

"Takkan itu pun nak bagitahu...... Allah kan Maha Tahu" terdetik dihati aku.

Aku jawap: kerana Allah Maha Tahu lah maka kita perlu sentiasa mengaku sebagai hamba. Merasakan kelemahan diri dengan sentiasa meminta izin (sebut ingat) dari Allah sebelum melakukan sesuatu pekerjaan, apa jua pekerjaan. Dengan ingat Allah sebelum pekerjaan kita, maka kita secara otometik akan mendahulukan Allah. Sedangkan mengingat Allah itu adalah wajib pada setiap masa - menurut ahli tasawwuf.

Seterusnya, seusai sahaja perbuatan kita, apa sahaja perbuatan dari sesenang membuang angin sehingga sesukar mentadbir sebuah negara, kita syukuri dan berterima kasih pada Allah. Terserah kepada korang nak guna bahasa apa kerana Allah Maha Tahu, lagi pun kan Allah yang cipta bahasa. Nak ucap Thank You Allah ke, syukran Allah ke, terima kasih Allah ke, Alhamdulillah ke, dankie (afrika), Xièxiè (cina), Dhan'yavāda (hindi) dan apa jua bahasa yang boleh express rasa syukur kita pada Allah.

Ada banyak sebab kita perlu bersyukur, tenaga yang Allah bagi pinjam, ilham yang Allah beri utk selesaikan problem, keizinan dari Allah kita dapat melepaskan hajat samada kecil atau besar, hatta jika kita jadikan pokok sebagai pena dan lautan sebagai dakwatnya takkan habis nikmat Allah tertulis. Kita refresh kembali akan ingatan dari Allah maksudnya sebagai berikut:

[109]Al-Kahfi
Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan”.


Oleh itu, Formula D.A.D.A ini membawa maksud Dia yang Awal, Dia yang Akhir. Maksudnya serahkan, pasrahkan, mohon keizinan & bantuan dari Allah sebelum melakukan pekerjaan, setelah selesai panjatkan kesyukuran pada-Nya.

﴿فَبِأَىِّ ءَالاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ ﴾


[13, 16, 18, 21, 23, 25, 28, 30, 32, 34, 36, 38, 40, 42, 45, 47, 49, 51, 53, 55, 57,59, 61, 63, 65, 67, 69, 71, 73, 75, 77]Ar-Rahman
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)?

Soalan:
Bila jumpe (terbaca) atau dibacakan (terdengar) ayat di atas. Apa yang korang dan aku buat?

Jangan lak jawap buat-buat angguk dan paham. Jom tengok apa reflek dari golongan jin seperti yang dihurai dalam Tafsir Ibn Kathir cekidaut:

Abu Ja`far Ibn Jarir recorded that `Abdullah bin `Umar said that the Messenger of Allah recited Surat Ar-Rahman, or it was recited before him, and he said,

«مَا لِيَ أَسْمَعُ الْجِنَّ أَحْسَنَ جَوَابًا لِرَبِّهَا مِنْكُمْ؟»

(Why do I hear the Jinn giving a better response to their Lord than you) They said, "Why is that, O Allah's Messenger'' He said,

«مَا أَتَيْتُ عَلَى قَوْلِ اللهِ تَعَالَى:

﴿فَبِأَىِّ ءَالاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ ﴾

إِلَّا قَالَتِ الْجِنُّ: لَا بِشَيْءٍ مِنْ نِعَمِ رَبِّنَا نُكَذِّب»

(Whenever I recited the statement of Allah the Exalted, (Then which of the blessings of your Lord will you both deny)( The Jinn responded by saying, "None of the favors of our Lord do we deny.'')'' Al-Hafiz Al-Bazzar also collected this Hadith.

Kita tidak sebaik yang kita sangka.... Bagaimana cintakan hadir jika komunikasi kita tidak berkesan?

3. Zikir yang paling afdal....

to be continued....

Khamis, 29 April 2010

Mencari Ketenangan Hati

Dipetik dari genta-rasa.com
oleh : Ust Pahrol Mohamad Juoi

Ketenangan itu dicapai melalui zikrullah. Namun zikrullah yang bagaimana dapat memberi kesan dan impak kepada hati? Ramai yang berzikir tetapi tidak tenang. Ada orang berkata, “ketika saya dihimpit hutang, jatuh sakit, dicerca dan difitnah, saya pun berzikir. Saya ucapkan subhanallah, alhamdulillah, Allah hu Akbar beratus-ratus malah beribu-ribu kali tetapi mengapa hati tidak tenang juga?”
Zikrullah hakikatnya bukan sekadar menyebut atau menuturkan kalimah. Ada bezanya antara berzikir dengan “membaca” kalimah zikir. Zikir yang berkesan melibatkan tiga dimensi – dimensi lidah (qauli), hati (qalbi) dan perlakuan (fikli). Mari kita lihat lebih dekat bagaimana ketiga-tiga dimensi zikir ini diaplikasikan.

Katalah lidah kita mengucapkan subhanallah – ertinya Maha Suci Allah. Itu zikir qauli. Namun, pada masa yang sama hati hendaklah merasakan Allah itu Maha Suci pada zat, sifat dan af’al (perbuatannya). Segala ilmu yang kita miliki tentang kesucian Allah hendaklah dirasai bukan hanya diketahui. Allah itu misalnya, suci daripada sifat-sifat kotor seperti dendam, khianat, prasangka dan sebagainya.

  • Dimensi kata, rasa dan tindakan

Jika seorang hamba yang berdosa bertaubat kepada-Nya, Allah bukan sahaja mengampunkannya, malah menghapuskan catatan dosa itu, bahkan menyayangi dan memberi “hadiah” kepadanya. Firman Allah:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai…”At Tahrim 8
Firman Allah lagi:
“… Sungguh, Allah menyukai orang yang taubat dan menyukai orang yang menyucikan diri” al baqarah 222.

Sifat ini berbeza sekali dengan kita manusia yang kekadang begitu sukar memaafkan kesalahan orang lain. Dan segelintir yang mampu memaafkan pula begitu sukar melupakan – forgive yes, forget not! Hendak memberi hadiah kepada orang yang bersalah mencaci, memfitnah dan menghina kina? Ah, jauh panggang daripada api! Begitulah kotornya hati kita yang sentiasa diselubungi dendam, prasangka dan sukar memaafkan. Tidak seperti Allah yang begitu suci, lunak dan pemaaf. Jadi, apabila kita bertasbih, rasa-rasa inilah yang harus diresapkan ke dalam hati. Ini zikir qalbi namanya.

Tidak cukup di tahap itu, zikrullah perlu dipertingkatkan lagi ke dimensi ketiga. Hendaklah orang yang bertasbih itu memastikan perlakuannya benar-benar menyucikan Allah. Ertinya, dia melakukan perkara yang selaras dengan suruhan Allah yang Maha Suci dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya. Yang halal, wajib, harus dan sunat dibuat. Manakala yang haram dan makruh ditinggalkannya. Zina, mengumpat, mencuri, memfitnah dan lain-lain dosa yang keji dan kotor dijauhi. Bila ini dapat dilakukan kita telah tiba di dimensi ketiga zikrullah – zikir fikli!

Sekiranya ketiga-tiga dimensi zikrullah itu dapat dilakukan, maka kesannya sangat mendalam kepada hati. Sekurang-kurang hati akan dapat merasakan empat perkara:

  • Rasa kehambaan.
  • Rasa bertuhan.
  • Memahami maksud takdir.
  • Mendapat hikmah di sebalik ujian.

Hati adalah sumber dari segala-galanya dalam hidup kita, agar kehidupan kita baik dan benar, maka kita perlu menjaga kebersihan hati kita. Jangan sampai hati kita kotori dengan hal-hal yang dapat merosak kehidupan kita apalagi sampai merosak kebahagiaan hidup kita di dunia ini dan di akhirat nanti. Untuk menjaga kebersihan hati maka kita juga perlu untuk menjaga penglihatan, pendengaran, fikiran, ucapan kita dari hal-hal yang dilarang oleh Allah SWT. Dengan menjaga hal-hal tersebut kita dapat menjaga kebersihan hati kita. Dengan hati yang bersih kita gapai kebahagiaan dunia dan akhirat.

  • Rasa kehambaan.

Rasa kehambaan ialah rasa yang perlu ada di dalam hati seorang hamba Allah terhadap Tuhan-Nya. Antara rasa itu ialah rasa miskin, jahil, lemah, bersalah, hina dan lain-lain lagi. Bila diuji dengan kesakitan, kemiskinan, cercaan misalnya, seorang yang memiliki rasa kehambaan nampak segala-galanya itu datang daripada Allah. Firman Allah:
“Katakanlah (Muhammad), tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung kami, dan hanya kepada Allah bertawakal orang-orang yang beriman.” At Taubah: 51

Seorang hamba akan pasrah dan merasakan bahawa dia wajar diuji. Bukankah dia seorang hamba? Dia akur dengan apa yang berlaku dan tidak mempersoalkan mengapa aku yang diuji? Kenapa aku, bukan orang lain? Ini samalah dengan mempersoalkan Allah yang mendatangkan ujian itu. Menerima hakikat bahawa kita layak diuji akan menyebabkan hati menjadi tenang. Jika kita “memberontak” hati akan bertambah kacau.

Imam Ghazali rhm pernah menyatakan bahawa cukuplah seseorang hamba dikatakan sudah “memberontak” kepada Tuhannya apabila dia menukar kebiasaan-kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji Allah dengan sesuatu yang tidak disukainya. Misalnya, dia tidak lalu mahu makan-minum secara teratur, tidak mandi, tidak menyisir rambut, tidak berpakaian kemas, tidak mengemaskan misai dan janggut dan lain-lain yang menjadi selalunya menjadi rutin hidupnya. Ungkapan mandi tak basah, tidur tak lena, makan tak kenyang adalah satu “demonstrasi” seorang yang sudah tercabut rasa kehambaannya apabila diuji.

Bila ditimpa ujian kita diajar untuk mengucapkan kalimah istirja’ – innalillah wa inna ilaihi rajiun. Firman Allah:
“…Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-nyalah kami kembali.” Al baqarah 156

Mengapa kita diperintahkan mengucapkan istirja’? Kalimah ini sebenarnya mengingatkan kita agar kembali merasakan rasa kehambaan. Bahawa kita adalah hamba milik Allah dan kepada-Nya kita akan dikembalikan. Kita layak, patut dan mesti diuji kerana kita hamba, bukan tuan apalagi Tuhan dalam hidup ini.

  • Rasa bertuhan.

Rasa kehambaan yang serba lemah, miskin, kurang dan jahil itu mesti diimbangi oleh rasa bertuhan. Bila kita rasa lemah timbul pergantungan kepada yang Maha kuat. Bila kita rasa kurang timbul pengharapan kepada yang Maha sempurna. Bila miskin, timbul rasa hendak meminta kepada yang Maha kaya. Rasa pengharapan, pengaduan dan permintaan hasil menghayati sifat-sifat Allah yang Maha sempurna itulah yang dikatakan rasa bertuhan.

Jika rasa kehambaan menyebabkan kita takut, hina, lemah sebaliknya rasa bertuhan akan menimbulkan rasa berani, mulia dan kuat. Seorang hamba yang paling kuat di kalangan manusia ialah dia yang merasa lemah di sisi Allah. Ketika itu ujian walau bagaimana berat sekalipun akan mampu dihadapi kerana merasakan Allah akan membantunya. Inilah rasa yang dialami oleh Rasulullah SAW yang menenteramkan kebimbangan Sayidina Abu Bakar ketika bersembunyi di gua Thaur dengan katanya, “la tahzan innallaha maana – jangan takut, sesungguhnya Allah bersama kita!”

Rasa bertuhan inilah yang menyebabkan para nabi dan Rasul, mujaddid dan mujtahid, para mujahid dan murabbi sanggup berdepan kekuatan majoriti masyarakat yang menentang mereka mahupun kezaliman pemerintah yang mempunyai kuasa. Tidak ada istilah kecewa dan putus asa dalam kamus hidup mereka. Doa adalah senjata mereka manakala solat dan sabar menjadi wasilah mendapat pertolongan Allah. Firman Allah:
“Dan pohonlah pertolongan dengan sabar dan solat.” Al Baqarah.

Dalam apa jua keadaan, positif mahupun negatif, miskin ataupun kaya, berkuasa ataupun rakyat biasa, tidak dikenali ataupun popular, hati mereka tetap tenang. Firman Allah:
“Dialah Tuhan yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah daripada keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentang langit dan bumi, dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana.” Al Fathu 4.

Bila hati tenang berlakulah keadaan yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya:
Maksudnya: Amat menarik hati keadaan orang beriman, semua pekerjaannya baik belaka, dan itu ada hanya pada orang beriman: Jika memperoleh kesenangan, dia bersyukur. Dan itu memberikannya kebaikan (pahala). Jika ditimpa bahaya (kesusahan), dia sabar dan itu juga memberikannya kebaikan.” – Al Hadis.

  • Memahami maksud takdir Allah.

Mana mungkin kita mengelakkan daripada diuji kerana itu adalah takdir Allah SWT. Yang mampu kita buat hanyalah meningkatkan tahap kebergantungan kita kepada Allah di samping berusaha sedaya upaya menyelesaikan masalah itu. Ungkapan yang terkenal: We can’t direct the wind but we can adjust our sail – kita tidak mampu mengawal arah tiupan angin, kita hanya mampu mengawal kemudi pelayaran kita.

Kemudi dalam pelayaran kehidupan kita hati. Hati yang bersifat bolak-balik (terutamanya bila diuji) hanya akan tenang bila kita beriman kepada Allah – yakin kepada kasih-sayang, keampunan dan sifat pemurah-Nya. Dalam apa jua takdir yang ditimpakan-Nya ke atas kita adalah bermaksud baik sekalipun kelihatan negatif. Baik dan buruk hanya pada pandangan kita yang terbatas, namun pada pandangan-Nya yang Maha luas, semua yang ditakdirkan ke atas hamba-Nya pasti bermaksud baik.

Tidak salah untuk kita menyelesaikan masalah yang menimpa (bahkan kita dituntut untuk berbuat demikian), namun jika masalah itu tidak juga dapat diselesaikan, bersangka baik kepada Allah berdasarkan firman-Nya:
“Ada perkara yang kamu tidak suka tetapi ia baik bagi kamu dan ada perkara yang kamu suka tetapi ia buruk bagi kamu, Dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan kamu tidak mengetahuinya”
Surah Al Baqarah : 216
Seorang ahli hikmah, Ibn Atoillah menjelaskan hakikat ini menerusi katanya, “barang siapa yang menyangka sifat kasih sayang Allah terpisah dalam takdir-Nya, maka itu adalah kerana pen¬deknya penglihatan akal dan mata hati seseorang.”

Siapa tidak inginkan kekayaan, malah kita dituntut mencari harta. Namun jika setelah berusaha sedaya upaya, masih miskin juga, bersangka baiklah dengan Tuhan… mungkin itu caranya untuk kita mendapat pahala sabar. Begitu juga kalau kita ditakdirkan kita tidak berilmu, maka berusahalah untuk belajar, kerana itulah maksud Allah mentakdirkan begitu.

Kalau kita berkuasa, Allah inginkan kita melaksanakan keadilan. Sebaliknya, kalau kita diperintah (oleh pemimpin yang baik), itulah jalan untuk kita memberi ketaatan. Rupanya cantik kita gunakan ke arah kebaikan. Hodoh? kita terselamat daripada fitnah dan godaan. Ya, dalam apa jua takdir Allah, hati kita dipimpin untuk memahami apa maksud Allah di sebalik takdir itu.

Jadi, kita tidak akan merungut, stres dan tertekan dengan ujian hidup. Hayatilah kata-apa yang ditulis oleh Ibnu Atoillah ini:
“Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.”

Tadbirlah hidup kita sebaik-baiknya, namun ingatlah takdir Tuhan sentiasa mengatasi tadbir insan. Jangan cuba mengambil alih “kerja Tuhan” yakni cuba menentukan arah angin dalam kehidupan ini tetapi buatlah kerja kita, yakni mengawal pelayaran hidup kita dengan meningkatkan iman dari semasa ke semasa. Kata bijak pandai: “It’s not what happens to you, but it’s what you do about it. It is not how low you fall but how high you bounce back!”

  • Mendapat hikmah bila diuji.

Hikmah adalah sesuatu yang tersirat di sebalik yang tersurat. Hikmah dikurniakan sebagai hadiah paling besar dengan satu ujian. Hikmah hanya dapat ditempa oleh “mehnah” – didikan langsung daripada Allah melalui ujian-ujian-Nya. Ra¬sul¬ullah s.a.w. bersabda, “perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa ujian, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja!”
Jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, reda, pemaaf, qanaah daripada Tuhan? Maka dengan ujian bentuk inilah ada di kalangan para rasul ditingkatkan kepada darjat Ulul Azmi – yakni mereka yang paling gigih, sabar dan berani menanggung ujian. Ringkas¬nya, hikmah adalah kurnia termahal di sebalik ujian buat golongan para nabi, siddiqin, syuhada dan solihin ialah mereka yang sentiasa diuji.
Firman Allah: Apakah kamu mengira akan masuk ke dalam syurga sedangkan kepada kamu belum datang penderitaan sebagai¬mana yang dideritai orang-orang terdahulu daripada kamu, iaitu mereka ditimpa kesengsaraan, kemelaratan dan ke¬goncangan, sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya merintih: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?”
(Surah al-Baqarah: 214)
Pendek kata, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebaliknya. Malah dalam keadaan ber¬dosa sekalipun, ujian didatangkan-Nya sebagai satu peng¬ampunan. Manakala dalam keadaan taat, ujian didatangkan untuk meningkatkan darjat.
Justeru, telah sering para muqarrabin (orang yang hampir dengan Allah) tentang hikmah ujian dengan berkata: “Allah melapangkan bagi mu supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan dan Allah menyempitkan bagi mu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan Allah melepaskan engkau dari keduanya, supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah.
Apabila keempat-empat perkara ini dapat kita miliki maka hati akan sentiasa riang, gembira dan tenang dengan setiap pekerjaan yang dilakukan. Sentiasa melakukan kerja amal, tolong menolong, bergotong royong, sentiasa bercakap benar, sopan dan hidup dengan berkasih sayang antara satu dengan lain.
Marilah kita bersihkan hati kita dari segala kotorannya dengan memperbanyak zikrullah. Itulah satu-satunya jalan untuk mencari kebahagiaan di dunia dan di akhirat nanti. Manusia perlukan zikir umpama ikan perlukan air. Tanpa zikir, hati akan mati. Tidak salah memburu kekayaan, ilmu, nama yang baik, pangkat yang tinggi tetapi zikrullah mestilah menjadi teras dan asasnya.
Insya-Allah, dengan zikrullah hati kita akan lapang sekalipun duduk di dalam pondok yang sempit apatah lagi kalau tinggal di istana yang luas. Inilah bukti keadilan Allah kerana meletakkan kebahagiaan pada zikrullah – sesuatu yang dapat dicapai oleh semua manusia tidak kira miskin atau kaya, berkuasa atau rakyat jelata, hodoh atau jelita. Dengan itu semua orang layak untuk bahagia asalkan tahu erti dan melalui jalan yang sebenar dalam mencarinya. Rupa-rupanya yang di cari terlalu dekat… hanya berada di dalam hati sendiri!

Isnin, 19 April 2010

Sapa ada otak sila baca....

Otak hanyalah aktiviti-aktiviti bio-elektrik yang melibatkan
sekumpulan saraf yang dipertanggungjawabkan untuk melakukan tugas-tugas
tertentu bagi membolehkan ia berfungsi dengan sempurna. Setiap hari 14
juta saraf yang membentuk otak ini berinteraksi dengan 16 juta saraf
tubuh yang lain. Semua aktiviti yang kita lakukan dan kefahaman atau
ilmu yang kita peroleh adalah natijah daripada aliran interaksi
bio-elektrik yang tidak terbatas.

Oleh itu, apabila seorang itu berzikir dengan mengulangi
kalimat-kalimat Allah, seperti Subhanallah, beberapa kawasan otak yang
terlibat menjadi aktif. Ini menyebabkan berlakunya satu aliran
bio-elektrik di kawasan-kawasan saraf otak tersebut. Apabila zikir
disebut berulang-ulang kali, aktiviti saraf ini menjadi bertambah aktif
dan turut menambah tenaga bio-elektrik. Lama-kelamaan kumpulan saraf
yang sangat aktif ini mempengaruhi kumpulan saraf yang lain untuk turut
sama aktif. Dengan itu, otak menjadi aktif secara keseluruhan.

Otak mula memahami perkara baru, melihat dari sudut perspektif
berbeza dan semakin kreatif dan kritis, sedang sebelum berzikir otak
tidak begini. Otak yang segar dan cergas secara tidak langsung
mempengaruhi hati untuk melakukan kebaikan dan menerima kebenaran.

Hasil kajian makmal yang dilakukan terhadap subjek ini dimuatkan
dalam majalah Scientific American, keluaran Disember 1993. satu kajian
yang dilakukan di Universiti Washington dan ujian ini dilakukan melalui
ujian imbasan PET yang mengukur kadar aktiviti otak manusia secara tidak
sedar.

Dalam kajian ini, sukarelawan diberikan satu senarai perkataan
benda. Mereka dikehendaki membaca setiap perkataan tersebut satu persatu
dan mengaitkan perkataan-perkataan dengan kata kerja yang berkaitan.
Apabila sukarelawan melakukan tugas mereka, beberapa bahagian berbeza
otak mempamerkan peningkatan aktiviti saraf, termasuk di bahagian depan
otak dan korteks.

Menariknya, apabila sukarelawan ini mengulangi senarai perkataan
yang sama berulang-ulang kali, aktiviti saraf otak merebak pada kawasan
lain dan mengaktifkan kawasan saraf lain. Apabila senarai perkataan baru
diberikan kepada mereka, aktiviti saraf kembali meningkat di kawasan
pertama. Ini sekali gus membuktikan secara saintifik bahawa perkataan
yang diulang-ulang seperti perbuatan berzikir, terbukti meningkatkan
kecergasan otak dan menambah kemampuannya.

Oleh itu, saudara-saudara ku seIslam, ketika saintis Barat baru
menemui mukjizat ini, kita umat terpilih ini telah lama mengamalkannya
dan menerima manfaatnya. Malang bagi mereka yang masih memandang enteng
kepentingan berzikir dan mengabaikannya.

Senarai Blog Saya

Pengikut