Memaparkan catatan dengan label khusyu'. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label khusyu'. Papar semua catatan

Rabu, 4 Ogos 2010

Theta dan Solat

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Kajian demi kajian dalam bidang sains telah menghasilkan penemuan demi penemuan yang begitu menakjubkan tentang penciptaan alam ini. Namun kajian ini bukan bertujuan untuk mengesahkan bahawa Al-Quran itu benar, akan tetapi sebagai data sokongan kepada kebenaran Al-Quran. Perintah daripada Allah sememangnya tiada yang merugikan insan. Malah perintah daripada Allah merupakan suatu perintah yang amat menguntungkan makhluk yang namanya manusia ini. Mari kita perhatikan suatu perintah yang sering kita abaikan....

Mengapa solat awal waktu? Apakah kelebihannya?

Apabila azan berkumandang maka frekuensi azan akan tersebar keserata tempat. Frekuensi azan ini akan menjadikan frekuensi sekitar ke tahap theta yang paling rendah (deep theta).

ok.. itu baba azan dan thetanya... kita perhati pulak air.

Air merupakan salah satu makhluk Allah yang mampu untuk menurunkan frekuensi gelombang otak ke alpha dengan cepat. Kerana itu apabila kita berada di dalam keadaan marah, kita diminta untuk mengambil wudhuk agar kita menjadi tenang.

Begitu juga jika anak menangis. Kita boleh sapukan dengan air sambil meminta izin pada Allah dan berkomunikasi dengan air itu sendiri. Air juga makhluk Allah dan kita meminta bantuan air sepertimana kita meminta pada manusia. Ingatlah semua benda di dunia ini adalah makhluk Allah. Milik Allah.

Pun juga jika kita berada di dalam keadaan stress akibat kerja yang banyak atau juga stress kerana study, menghafal Quran dan sebagainya, minumlah air yang banyak( jangan buat time posa ramadhan). Air boleh menenangkan stress.

Mohonlah agar diberi ketenangan daripada Allah kerana Allah adalah pemilik kepada air dan diri kita. Mohonlah juga kepada air atas hubungan sesama makhluk iaitu kita dan air.

Berbalik kepada persoalan pokok, solat awal waktu. Apabila azan dilaungkan maka azan tersebut mampu menurunkan frekuensi persekitaran ke tahap theta yang paling rendah (deep theta). Bila kita mengerjakan solat ketika ini dan ditambah dengan adanya wudhu yang sempurna, maka frekuensi fikiran kita akan mampu turun sampai ke tahap theta ataupun sekurang-kurangnya alpha yang paling bawah (deep alpha). Ketika ini pastinya menjadi mudah untuk mencapai tahap khusyuk.

Deep theta + Alpha = theta atau deep alpha

Frekuensi gelombang otak mempunyai 4 tahap utama iaitu:

1. Sedar (Beta: 15-30Hz)
2. Bawah Sedar (Alpha:9-14Hz)

3. Bawah Sedar (Theta: 4-8Hz)
4. Tidak Sedar (Delta: 1-3Hz)

Frekuensi Otak
Frekuensi ini adalah cetusan elektrokimia yang berlaku di dalam otak apabila kita berfikir. Ia melibatkan neuron otak untuk menghantar signal-signal ketika proses berfikir berlaku. Inilah yang dimaksudkan dengan kadar kegiatan otak iaitu kadar cetusan elektrokimia (signal) dalam masa sesaat yang berlaku di dalam otak. Banyak berfikir, lagi banyak cetusan elektrokimia dan makin laju kadar cetusan per saat (frekuensi).

Jika kita solat di tengah atau di akhir waktu, maka tenaga frekuensi azan ini telah berkurangan dan mungkin sudah habis. Maka agak sukar sedikit untuk mencapai tahap theta tersebut.

Jika kita bersolat di masjid atau surau secara berjemaah, maka lebih kuat frekuensi thetanya kerana dari masjid dan suraulah azan dilaungkan. Sebab itu kita lebih mudah mencapai tahap khusyuk jika bersolat di masjid atau surau di awal waktu. So, adakah saranan Nabi Muhammad SAW supaya kita solat berjemaah di masjid atau di surau suatu yang sia-sia? Maha Besar Allah yang menjadikan sesuatu itu tidak ada sia-sianya.

Akhirnya marilah kita berkomunikasi dengan Allah meminta agar kita sentiasa bersolat di awal waktu. Jika kita malas, atau ada lagi kerja yang ingin dilakukan, maka berkomunikasi dengan Allah dengan memohon keizinan untuk solat lewat waktu.

“Ya Allah, aku ingin buat kerja dahulu ya Allah. Aku ingin siapkan sedikit sahaja lagi kerja ini. Aku minta kebenaran padaMu ya Allah. Izinkan aku solat lewat”.

PERCAYALAH. Pengalaman saya berkomunikasi dengan Allah sedemikian rupa TIDAK akan membawa kepada apa-apa kejayaan. Hati dan jiwa saya serta tubuh saya secara automatik akan bangun dan terus mengambil wudhu untuk mengerjakan solat. Permohonan saya untuk lewat solat sentiasa menemui KEGAGALAN.

Ingat tips tersebut... selamat mencuba...

Khamis, 15 April 2010

Melatih Solat Khusyu' Bab 2

SOLAT MERUPAKAN PERJALANAN ROHANI MENUJU ALLAH

Sesungguhnya Aku ini adalah Allah, tidak ada tuhan (yang hak) selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingatiKu. (Thoha, 20 : 14)

Kajian-kajian ilmiah mengenai spiritual dewasa ini telah berkembang dengan pesat, terutama aliran Psikologi Transpersonal yang membahaskan secara telus tentang rahsia kecerdasan emosi dan spiritual. Di dalam kajian Psikologi Moden, Psikologi Transpersonal merupakan kekuatan keempat dalam aliran psikologi setelah Psikoanalisa, Behaviorisme dan Psikologi Humanistik. Psikologi Transpersonal merupakan bentuk perkembangan ilmu psikologi yang tidak tersentuh oleh analisa para psikologis terdahulu, walhal kajian ini secara langsung banyak membincangkan wilayah pusat (kewujudan dan aktiviti jiwa), bukan hanya gejala empirisnya sahaja.

Sekarang kita perhatikan solat. Solat merupakan aktiviti jiwa (soul) yang termasuk dalam kajian ilmu Psikologi Transpersonal, kerana solat adalah proses perjalanan spiritual yang penuh makna, dilakukan seorang manusia untuk menemui Tuhan Semesta Alam. Solat dapat menjernihkan jiwa dan mengangkat pelaku solat untuk mencapai tahap kesedaran yang lebih tinggi (altered states of consciousness) dan pengalaman puncak (peak experience).

Solat memiliki kemampuan untuk mengurangkan perasaan cemas kerana terdapat lima unsur iaitu:
1. Meditasi atau doa yang teratur, minimu lima kali sehari.
2. berehat melalui gerakan-gerakan solat.
3. Hetero atau auto sugesti dalam bacaan solat.
4. group therapy dalam solat jemaah juga dalam solat sendiri (minimum ada aku dan Allah).
5. hydro therapy dalam mandi junub atau wudhu' sebelum solat.

Dalam solat, seperti pandangan Psikologi Transpersonal, seseorang akan berusaha untuk menjejaki jalan spiritual untuk mempertemukan diri yang fana dengan kekuatan Illahi (divine power) atau AKU yang kekal (baqa').

Solat adalah salah satu cara ibadah yang berkaitan dengan Meditasi Transendental, iaitu mengarahkan jiwa kepada satu objek dalam masa beberapa saat, seperti melakukan hubungan langsung antara hamba dan Allah. Ketika solat, rohani bergerak menuju Zat Yang Maha Mutlak. Fikiran terlepas dari keadaan realiti dan pancaindera melepaskan diri dari segala macam hal yang berlaku disekitarnya, termasuk perasaan seperti sedih, gelisah, cemas dan letih. Bentuk perjalanan jiwa dalam solat ini disebut sebagai proses untuk memasuki kesedaran Psikologi Transpersonal.

Setiap pelaku meditasi memerlukan objek di dalam mengarahkan fikiran atau jiwanya. Pada saat jiwa diarahkan terhadap sesuatu, jiwa meninggalkan tubuh sehingga kesedarannya dengan bebas berubah menjadi berada di puncak paling tinggi. Dengan demikian, jiwa menjadi pengendali ke atas diri.

Islam menempatkan Zat Yang Maha Mutlak sebagai puncak tujuan rohani, tempat rehat jiwa, sumber hidup, sumber kekuatan dan sumber inspirasi. Dengan mengarahkan jiwa kepada Allah, rohani akan mengalami pencerahan kerana ia berada pada ketinggian yang tak terbatas, sehingga jiwa kembali kepada keadaan bersih (fitrah). dan tidak tercemar oleh dorongan-dorongan nafsu. Jiwanya bersih kerana usahanya menanggalkan keterikatan dengan tubuh yang memiliki kecenderungan melakukan tindak balas kimia. Secara semulajadi, tubuh selalu menyeret fikiran untuk mengikuti reaksi kimia tersebut tanpa mampu menghentikannya. Selama ini pengendali fikiran kita bukanlah kesedaran jiwa, tetapi dorongan seperti lapar, haus, keinginan sex, marah dan malas. Semua itu timbul kerana aktiviti tubuh, Inilah dinamakan jiwa mengikuti nafsu dan bukannya nafsu yang mengikuti jiwa.

Jiwa (ruh) yang diturunkan oleh Allah kepada tanah yang dibentuk adalah berasal dari tiupan Illahi yang Maha Suci, membawa misi memelihara serta mengendali bumi (khalifah). Entah dimana silapnya, jiwa jatuh ke dalam lumpur sehingga ruh yang suci itu tampak gelap dan tidak bersinar. Ia tidak mampu mengendalikan tubuhnya. Tubuhnya bagai tanpa tuan dan pengetahuan. Keadaan ini seperti "hati yang paling dalam" atau hati nurani. Seolah² jiwa (ruh) berada jauh di dasar. Ini menunjukkan jiwa tidak mampu melakukan tugasnya sebagai utusan Allah, yang mengatur anggota tubuhnya dengan sinar ketuhanan untuk menjalankan kehidupan sesuai dengan fitrah Illahi. Inilah yang disebut sebagai Al-Quran sejati yang tidak tertulis dan tanpa suara, sehingga keabadian firmanNYA tetap terjaga kerana tersimpan dalam kalam yang suci, bukan berupa huruf dan suara. Ibnu Taimiyyah menyebutnya sebagai "alfitrah almunazzalah" iaitu kesucian yang diturunkan.

Solat adalah salah satu cara mengembalikan kesedaran ini dengan perjalanan mi'raj iaitu menuju kepada ketinggian Illahi yang luas sehingga kesedaran jiwa kembali pada kedudukannya sebagai duta Illahi (khalifah) yang membawa pesanan illahiyah.

Kedudukan jiwa menjadi tidak terikat (unbinding) dengan irama tubuhnya. Yang menjadi pengendali tubuh ialah jiwa yang berserah kepada Allah (mukhlisin), jiwa yang cerah dan tidak terjangkau oleh fikiran negatif mahupun perasaan gelisah. Kerana jiwa berada di atas keadaan itu. Allah menggambarkan syaitan pun tidak mampu menjangkau keadaan jiwa yang beserah diri kepada Allah :

Sesungguhnya syaitan itu tidak ada kekuasaannya atas orang-orang yang beriman dan bertawakkal kepada Tuhannya. Sesungguhnya kekuasaan syaitan hanyalah atas orang-orang yang mengambilnya jadi pemimpin dan atas orang-orang yang mempersekutukannya dengan Allah (An-Nahl, 16 : 99-100)

Dalam ayat lain:

Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa apabila mereka ditimpa was-was dari syaitan, mereka mengingati Allah. Maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya. (Al-A'raaf, 7: 201)

Demikian pula pengakuan syaitan kepada Allah yang termaktub di dalam Surah Shaad, 38: 82-83 -:

Demi kekuasaan Engkau, aku akan menyesatkan mereka semua, Kecuali hamba-hambaMu yang mukhlis diantara mereka.

Ketika solat, seluruh saraf tidak menghantar impuls dari pancaindera, kerana jiwa secara perlahan bergerak meninggalkan keterikatannya dengan badan (syahwat). Keadaan ini disebut fikiran abstrak. Elektron fikiran berhenti hingga menjadi 'aether' (tenaga bukan material). Lalu dilepaskan oleh jiwa dan menjelma sebagai cahaya yang disebut nur fuad, cahaya batin, yang kembali kepangkalnya, iaitu Allah. Ketika getaran antara cahaya batin berjumpa dengan Nurullah, terjadilah keadaan jiwa yang berserah dan lepas bebas dari pengaruh alam atau keadaan tubuh.

Syaitan hanya mampu menembus jiwa manusia ketika berada di alam rendah (tubuhnya). Ketika jiwa yang bening tidak mampu melihat kerana tenggelam di dalam lumpur, maka yang menggantikan penguasa tubuh adalah syaitan. Tinggal lah jiwa meruntun sedih, tidak mampu berbuat apa-apa. Jiwa hanya mampu mengatakan tidak setuju terhadap perbuatan mungkar yang dilakukan oleh tubuh tanpa mampu melakukan apa-apa, sehingga syaitanlah yang menggantikan kedudukan jiwa sebagai pengendali fikiran, perasaan dan batin manusia. jika dalam solatnya manusia tidak melakukan perjalanan jiwa (ruhani) kepada Allah, maka jiwanya akan terjebak pada pengaruh alam yang lebih rendah. Sebagaimana firman Allah yang terkandung di dalam Surah Az-Zukhruf, 43: 36 -:

Barangsiapa berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah, kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan), maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalui selalu menyertainya.

Itulah sebabnya Allah menurunkan cara paling mudah untuk mengembalikan kesedaran tersebut agar jiwa menjadi fitrah. Berpuasa di Bulan Ramadhan merupakan salah satu cara agar jiwa kembali seperti bayi. Namun kita terkadang tidak sedar bahawa beribadah sebenarnya bukanlah untuk mengejar pahala, tetapi sebagai training atau latihan untuk mencapai darjat taqwa sehingga menghasilkan manusia yang mampu menjalankan kehidupan yang fitrah.

Kalimah 'hati nurani' ini sering kita dengar pada setiap pengajian dan pembahasan berkaitan kehidupan masyarakat yang ideal. Namun yang nyata, pengetahuan ini tidak pernah kita capai dengan mudah. Sehingga kini belum ramai yang menjelaskan seterusnya mengajak menyelami jiwanya sendiri. Diibaratkan seperti persoalan berkaitan cinta? cinta itu apa? Tentu sukar untuk membayangkan jika hanya dijelaskan hanya dengan kata-kata apalagi melalui penafsiran. Rasa cinta tidak perlu ditafsirkan ataupun dihuraikan menurut bahasa sastera tinggi kerana akan semakin jauh dari kenyataan sebenar.

Jika kita belajar cinta melalui pembacaan buku karangan Kahlil Gibran, maka kita akan temui pengetahuan tentang cinta serta liku-liku yang panjang tak berkesudahan. Jadi cinta itu apa? Cinta bukan liku-liku, cinta bukan sebuah fragmen kehidupan, cinta bukan gula-gula. Cinta adalah, .....kita tidak dapat menjelaskan serta mendefinisikannya. Masuklah ke dalamnya, maka anda akan menjadi cinta itu sendiri. Anda akan menceritakan diri anda yang kemaruk cinta dengan lancar. Cinta itu akan bercerita dengan bahasa tanpa huruf, tanpa suara, bahkan dengan bunga, dengan rumah, dengan bahasa apa saja. Yang penting orang tahu itu adalah bahasa cinta yang boleh difahami oleh semua makhluk.

Dengan jiwa sejati yang dipenuhi sinar Illahi, barulah kita boleh berkata, berjalan dan bekerja dengan nurani. Bukan mendengarkan nurani, kerana kita tidak akan mampu menjalankan nasihat nurani, kerana tubuh kita (tubuh, fikiran dan perasaan) bukanlah nurani. JADILAH NURANI!!! syaitan tidak ada di sini, kerana nurani adalah utusan (duta) Illahi yang dilindungi oleh sinarNYA. Ia adalah pesuruh suci yang selalu taat kepada keputusan Allah. itu sebabnya mengapa Allah mengatakan bahawa RUH adalah rahsiaNYA.

Tidaklah kalian mengetahui tentang ruh kecuali hanya sedikit (Al-Isra' : 85)

Melatih Solat Khusyu' Bab 1

Assalamualaikum. Kehadapan ahli keluarga ku yang amat dikasihi dan dirindui. Didoakan agar mendapat hidayah dan keampunan dari Allah yang Maha Tahu.

Selawat serta salam buat rasulullah serta ahli keluarga baginda.

Kali ini saya teramat ingin berkongsi dengan saudaraku sekalian tentang satu ilmu hasil daripada pembacaan sebuah buku 'Pelatihan Shalat Khusyu'' tulisan Abu Sangkan. Saya akan cuba untuk mengalih bahasa dari bahasa Indonesia ke bahasa Melayu. Ingin juga diberi ingatan bahawa mungkin kandungan yang ditulis agak berat bagi anak², mungkin ibu bapa boleh ambil peranan cara bagaimana ingin menerangkan kepada mereka.

PENDAHULUAN

'Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang² yang khusyu''

Sebenarnya kita mempunyai kekuatan rohani sebagai bekal untuk menghadapi pelbagai rinntangan dalam menjalani kehidupan ini, akan tetapi kita tidak pernah serius untuk menggali dan mengembangkannya. Akibatnya kita sentiasa bingung, resah, gelisah tatkala masalah mempengaruhi perasaan kita. Kegelisahan dan kecelaruan dibiarkan mendera hingga akhirnya jiwa kita sakit dan tertekan. Kemampuan dan potensi yang ada itu sebenarnya dapat diatur dan dikembangkan denganmudah melalui sebuah teknih solat yang sederhana.

Selama ini solat dianggap sebagai suatu yang berat dilakukan bagi pelakunya, ini kerana kebanyakan dari kita tidak mengetahui dan merasakan ketinggian nilai spiritual yang ada di dalamnya. Seringkali terdetik di hati kita dimana solat terasa menjemukan, tidak membuatkan hati lebih tenteram disaat kita perlukan bantuan untuk menenangkan perasaan yang gelisah. Atau solat tidak memiliki 'sengat' (gereget) yang mampu mempengaruhi mental kita untuk menjadi lebih baik dan menyenangkan.

Sejak kita mula belajar solat ketika kecil, kita tidak diajar bagaimana mendapatkan rasa khusyu', kerana sang guru telah menetapkan itu sebagai hal yang tidak mungkin. Kita hanya disuruh menghafal bacaan dan gerakan-gerakan raka'at tanpa ruh. Ketika sampai Bulan Ramadhan, berlangsung 'perlumbaan' siapa cepat dalam melaksanakan Solat Tarawikh. Kita akan mencari imam eksekutif (ibarat pemandu bas express) yang mampu mencapai target dengan lebih cepat dan pantas.

Mengubah doktrin yang sudah menjadi budaya masyarakat memang sukar. Saya sering mengalami kesukaran untuk meyakinkan mereka bahawa solat khusyu' itu mudah. Bahawa solat merupakan ruang tempat kita berehat, tempat kita meraih kedamaian dan sebuah klinik bagi batin kita. Nabi mengatakan bahawa solat adalah pemandangan yang menyejukkan hatinya, suatu amalan yang paling disukainya. Tetapi masyarakat terlanjur menilai solat sebagai sebuah perintah, sebuah kewajipan yang tidak dapat dielak. Akibatnya solat tidak menjadi sebuah keperluan untuk peribadinya, apalagi untuk mendapatkan rasa khusyu'.

Buku ini mengajak anda utk mengalami sebuah pengalaman baru, sebuah pencerahan jiwa yang benar² boleh dirasakan dengan mudah sekali. Kerana anda tidak diajak untuk mencipta rasa khusyu' tetapi kita akan memasuki dan menerima rasa khusyu' tersebut. Kita hanya mendapatkan, bukan mencipta rasa khusyu'! Sebagaimana kita pernah mengalami rasa cinta terhadap kekasih, kita tidak pernah menciptakan rasa cinta, tetapi kita hanya menerima keadaan cinta. Kata orang ditimpa asmara (ketiban asmara). Perasaan itu sukar untuk dilepaskan kerana ia timbul dari dalam batin kita sendiri.

Ketidakmampuan kita utk merasakan rasa khusyu' sering dikaitkan dengan persoalan dosa yang telah kita lakukan. Namun kita tidak akan menyentuh wilayah rahsia Allah ini (dosa) dalam latihan-latihan solat nanti. Kerana yang akan kita bahas adalah sebuah teknik, baik secara psikologi mahupun fisiologi, iaitu berkait dengan mental dan sikap yang tepat dengan menggunakan metod² yang diajar dan diterap oleh Nabi semasa hidupnya. Kita mempunyai teknik yang sistematik utk mempelajari fikiran dan jiwa kita, kemudian menerapkannya secara disiplin terhadap konsentrasi dan kemahuan utk mendekatkan diri kepada Allah. Kita kemudian akan dapat melakukan perjalanan spiritual dengan menjelajah ketinggian dan kedalamannya. Kita memiliki teknologi spiritual yang tinggi, iaitu SOLAT.

Teknik² yang disajikan di dalam buku ini, terus menerus menjelajah keharmonian dan keseimbangan diantara dua keadaan yang berlawanan, jasmani dan rohani, otak kiri dan otak kanan, positif dan negatif. Semoga buku ini memberi manfaat dan mudah dicerna oleh seluruh masyarakat. Dan yang paling utama adalah keinginan saya untuk menyatukan ummah melalui satu wacana, iaitu solat sebagai mazhab dan tarekat universal yang mampu menyatukan perbezaan kita. Disaat kita sibuk membincangkan permasalahan khilaf, maka dengan solat kita akan berhenti berselisih kerana rohani kita akan bersatu menghadap Allah. Disana kita tunduk dalam ketekunan. Sikap inilah yang akan kita aplikasikan dalam kehidupan masyarakat, iaitu rasa tunduk dan patuh kepada Allah di saat kita berhadapan dengan lawan 'debat' kita ataupun aliran yang berbeza dengan kita. Rasa ihsan yang kita perolehi setelah melakukan pertemuan demi pertemuan dengan Allah boleh dirasakan manfaatnya. Sebuah pancaran nur Illahi yang menjelma menjadi perilaku akhlak yang mulia. Sesungguhnya solat itu boleh mencegah dari perbuatan keji dan mungkar.

Selamat berlatih dan raihlah kedamaian yang memukau perasaan anda.

Senarai Blog Saya

Pengikut