Khamis, 11 November 2010

Cinta manisnya hanya dibibir...


Lanjutan dari penulisan yang lalu berkaitan solat. Kita akan bicara soal cinta.

Tak kenal maka tak cinta.

Ayat tu dah biasa kita dengar. Ayat yang memberi gambaran bahawa kalau kita tak kenal, masakan boleh hadir rasa cinta.

Sebab itu, setiap pasangan yang bercinta akan dimulakan dengan perkenalan. Hatta love at first sight sekali pun perlu disusuli dengan perkenalan dan saling kenal mengenali untuk menyuburkan perasaan tersebut.

Namun, apa itu cinta?

Kita sering menyebut cinta, cinta dan cinta... tapi jarang sekali yang boleh memberi penjelasan tentang sebuah rasa yang istimewa ini.

Cinta ialah kecenderungan jiwa yang amat kuat dalam diri seseorang kepada sesuatu atau seseorang lain yang boleh memberi kelazatan, manfaat dan sangat serasi dengan fitrahnya (tabiat).

Demikian pengertian cinta yang telah diberikan oleh Imam Al-Ghazali.

Kita secara fitrahnya cenderung kepada kesempurnaan dan keindahan (kamal & jamal). Kerana mencari kesempurnaan & keindahan lah manusia pada hari ini menghasilkan produk-produk kecantikan, fesyen-fesyen terkini dan perkara-perkara yang menjadi isi perut dunia.

Cuma samada sedar atau tidak yang memiliki segala kesempurnaan dan keindahan hanyalah Allah swt.

Kenapa cinta kita tidak terarah pada-Nya? Ketahuilah bahawa Allah sahaja yang paling layak kita cintai.

Maksud dari firman Allah (Al-Baqarah : 165) :

"...Orang yang beriman itu sangat kuat kecintaannya kepada Allah..."

Kenapa wujud cinta?

Setiap yang terjadi atas dunia ini, Allah telah tentukan sebab dan musabbabnya (sunnatullah). Cinta juga wujud kerana ada sebab. Dan sebab wujudnya cinta ini adalah pelbagai.

Antaranya mungkin kerana cantiknya sidia, memahami kehendak kita, caring terhadap situasi dan kondisi kita.

Jika alasan di atas terpakai dan menjadi sebab untuk kita mencintai makhluk Allah yang lain, maka alasan itu juga menjadi sebab yang teramat kukuh untuk kita lebih mencintai Allah melebihi diri sendiri.

Siapa yang paling cantik selain dari Allah?

Kecantikan yang dipaparkan melalui hasil penciptaan makhluk-Nya yang sempurna tanpa sebarang kepincangan. Kecantikan makhluk-Nya itu telah banyak dipaparkan menjadi tatapan umum semenjak sekian lama.

Lihat sahaja Al-Buruj, Al-Shams, At-Tariq, sekadar menyebut beberapa nama surah yang menceritakan tentang makhluk ciptaan-Nya. Sedangkan makhluk ciptaan-Nya begitu mempersona, apatah lagi yang mencipta.

Ya Allah Engkau punca segala kecantikan.

Siapa yang paling memahami kehendak & keperluan kita selain Allah?

Setiap inci kehendak dan keperluan kita sedari dalam perut ibu sehingga kita bakal kembali kepada-Nya, dipenuhi dan di beri secara percuma oleh Allah. Kita berkehendak kepada udara, air, tanah sebagai keperluan asas. Allah telah sediakan.

Malahan Allah beri yang terbaik kepada kita (otak, pemikiran, akal) dan diletakkan di tempat paling atas (kepala) untuk kita menjadi hamba-Nya dan khalifah-Nya.

Kita sendiri pun terkadang tak tahu apa yang kita pohon dalam doa kita kepada Allah merupakan permintaan yang terbaik untuk kita.

Tapi Allah yang Maha Bijaksana mengatur segala permohonan kita dan mengkabulkan permintaan kita dimasa, tempat dan keadaan yang paling tepat dan ideal untuk kita.

Tidak cukupkah alasan ini untuk kita mencintai Allah? ataukah kita tidak merasakan kasih sayang dari Allah?

Bila rasa-rasanya untuk kita terjemahkan maksud ayat ini ke alam realiti?

[24] At-Taubah
Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).

Moga Allah memberi kita hati yang mencintai-Nya dan Rasul-Nya.

Cuba kita tanya pada hati kita...

Adakah aku benar mencintai Allah? atau cintaku kepada Allah hanya bermain dibibir. Mengapa terlalu sukar untuk merasainya cinta kepada-Nya? Walau pun akal secara logik mengiakan cinta, tetapi hati tidak terasa apa-apa. Mengapa?

Soalan seterusnya... bagaimana hendak bercinta dan menyintai Allah?

To be continued...

Sumber gambar :
www.
lulumanthura.blogspot.com


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Assalamualaikum Warahmatullah

Senarai Blog Saya

Pengikut