Khamis, 31 Mei 2012

Apa yang patut kita buat?


TAUHID ULUHIYYAH
Iaitu dengan ikhlas memberikan kepada Allah, dengan mahabbah (cinta) kepadaNya, khauf (takut) kepadaNya, raja”™ (pengharapan), tawakal dan raghbah (keinginan) dan rahbah (kegerunan) hanya kepada Allah. Bahawa semua itu dibina dengan ibadat yang ikhlas zahir dan batinnya kepada dan kerana Allah. Tidak ada sekutu bagiNya, tidak dijadikan ibadat itu kepada selainNya. Seterusnya menerima segala hukum dengan yakin dan redha.
Perkataan Ilah lazimnya diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu sebagai TUHAN. Penterjemahan itu tidaklah salah tetapi pemahaman Bahasa Melayu terhadap perkataan Tuhan tidak merangkumi keseluruhan makna Ilah yang dikehendaki oleh nas syara”™. Selain daripada Allah, perkataan Tuhan ditujukan kepada patung-patung berhala atau dewa-dewi Hindu dan Buddha. Orang Melayu yang beragama Islam yang tidak menyembah patung-patung itu tadi sudah tentu menganggap bahawa mereka sudah menyempurnakan kewajipan mengiktiraf Allah sebagai Tuhan dan bebas daripada syirik. Sedangkan pemahaman serpihan terhadap makna Ilah itu tadi akan mendedahkan mereka kepada pelbagai syirik lain yang boleh berlaku tanpa disedari dan di luar kefahaman.
Untuk mengelakkan kekeliruan, eloklah kita perhatikan kepada penggunaan perkataan ILAH di dalam Al-Quran:
“Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai ILAHnya”¦” (Al-Jatsiyah : 23)
Di dalam ayat ini Allah SWT telah menujukan perkatan ILAH kepada hawa nafsu. Sudah tentu perkataan ILAH yang diertikan sebagai tuhan menurut kefahaman biasa tidak akan dapat menggambarkan hawa nafsu sebagai tuhan. Ini membuktikan bahawa perkataan ILAH mempunyai makna yang jauh lebih luas dari perkataan tuhan yang biasa.
Perkataan ILAH membawa kepada pengertian yang saling melengkapi. Untuk tujuan perbincangan, kita bahagikan ia kepada enam pengertian iaitu:
  1. Tuhan menurut pengertian lazim
  2. Tumpuan atau matlamat pengabdian
  3. Tempat perlindungan
  4. Tumpuan kecintaan
  5. Pemberi rezeki
  6. Sumber perundangan

1. TUHAN Menurut Kefahaman Lazim
Kalimah syahadah membawa pengertian bahawa tiada tuhan melainkan Allah, suatu hakikat yang telah kita sedia maklumi. FirmanNya:
“Allah menyaksikan bahawsanya tidak ada ILAH melainkan DIA. Para malaikat dan orang-orang yang berilmu (juga mengatakan demikian juga). Yang menegakkan keadilan”¦” (Ali Imran : 18)
Allah sahajalah Tuhan di langit dan di bumi, pendeknya di seluruh alam.
“”¦Dan Dialah ILAH di langit dan di bumi, dan Dia Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui” (Az-Zukhruf : 84)
Sebagai Tuhan yang tunggal, segala kekuasaan dan penciptaan secara multak adalah hakNya sahaja.
“Katakanlah (Wahai Muhammad) : Ajaklah mereka yang kamu anggap (mereka itu berkuasa) selain Allah. Mereka tidak memiliki (kekuasaan) seberat zarah pun di langit mahupun di bumi. Dan mereka tidak mempunyai saham sedikit pun dalam pencapaian langit dan bumi, dan sekali-kali tidak ada di antara mereka yang menjadi pembantu bagiNya.” (Sabâ : 22)
2. ILAH Tumpuan Dan Matlamat Pengabdian
Kita mengakui bahawa tiada yang berhak disembah selain Allah dan Allah sahajalah tumpuan serta matlamat pengabdian kita, tidak yang lain.
Bahkan sememangnya manusia dan jin itu diciptakan oleh Allah untuk tujuan pengabdian kepadaNya. Firman Allah:
Penyembahan dan pengabdian ini dilakukan dengan melaksanakan ibadat kepada Allah. Sehubungan dengan itu juga, perkataan ibadat mestilah difahami menurut pengertiannya yang sebenar agak ia tidak dipandang sempit. Pengaruh sekularisma yang memisahkan agama daripada kehidupan mendorong masyarakat agar memahami ibadat sebagai aturcara manusia berhubung dengan Tuhannya semata-mata tanpa ada kaitan dengan urusan kehidupannya di dunia dan hubungannya sesama manusia. Sedangkan kalimah syahadah menuntut supaya ibadah itu dilakukan setiap masa, di setiap tempat, meliputi dan menyerapi setiap aspek serta ruang lingkup hidup insaniah.
“Katakanlah: sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah untuk Allah, Tuhan sekalian alam” (Al-An”™am : 162)
“Dan tidaklah mereka itu diperintahkan, kecuali menyembah ILAH yang Esa, yang tiada ILAH melainkan Dia. Maha Suci (Allah) dari apa yang mereka sekutukan dengan Dia.” (At-Taubah : 31)
Ringkasnya, implikasi kalimah La Ilaha Illallah iaitu ialah, seluruh hidup mestilah berterusan di dalam ubudiyyah kepada Allah. Tiada sebarang pengabdian atau ketaatan yang berdiri sendiri bahkan semua tindakan, perbuatan dan khidmat yang diberikan mestilah terpancar dan bersumber daripada ketundukan dan kepatuhan kepada Allah semata-mata.
3. ILAH Tempat Perlindungan
Kepercayaan dan kefahaman tentang kuasa Allah sudah tentu akan mewarasi fikiran bahawa tidak ada siapa yang mampu memberikan perlindungan secara mutlak selain daripada Allah. Segala perlindungan yang diberikan oleh mana jua makhluk adalah bersifat sementara dan bergantung terus kepada keizinanNya. Dia bebas mencabut keizinan itu pada bila-bila masa dan tinggallah insan itu berpaut pada dahan yang rapuh.
Maksud ILAH sebagai tempat perlindungan dapat dilihat dari ayat-ayat berikut sebagai contoh:
“Katakanlah : Aku berlindung dengan Rab manusia, Raja Manusia, ILAH manusia” (An-Nas : 1-3)

“Dialah Rab timur dan barat, tiada ILAH melainkan Dia. Maka terimalah Dia sebagai Pelindung.” (Al-Muzammil : 9)
Natijahnya, akan timbullah keyakinan bahawa Allah sahajalah yang mampu memberi manfaat atau mudharat (lihat Al-Ma”™idah : 76). Ia juga akan membebaskan dari segala pautan ketakutan dan pengharapan yang lain dari Allah. Dengan cara ini akan hilanglah rasa gentar untuk melaksanakan hukum hakam Allah, walaupun terpaksa berhadapan dengan apa sahaja cabaran menurut perhitungan manusia.
Segala kemegahan dan kekuasaan kuasa-kuasa makluk itu akan menjdi fatamorgana yang sementara, tidak ubah seperti gagah perkasanya patung wayang kulit. Apabila selesai persembahan maka akan terhimpit-himpitlah mereka antara satu sama lain di dalam peti yang sempit, hinggakan yang paling gagah sebentar tadi akan berada di susunan paling bawah tertindas (lihat Al-Baqarah : 150)
4. ILAH Tumpuan Kecintaan
Bagi mereka yang benar-benar mempersaksikan La Ilaha Illallah, maka Allah sahajalah yang menjadi tumpuan kecintaan mereka bahkan tiada yang menyamai atau menyaingi kecintaan tersebut. Perhatikan maksud ayat-ayat berikut:
“Katakanlah: Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara mara, isteri-isteri dan kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah semua itu lebih kamu cintai dari cinta kamu kepada Allah dan RasulNya dan (dari) berjihad di jalanNya? Maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq (durhaka). (At-Taubah : 24)
“Dan ada di antara manusia orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman amat sangat cintanya kepada Allah. Dan jika seandainya orang yang berbuat zalim itu mengetahui tatkala mereka melihat azab”¦” (Al-Baqarah : 165)
Segala cinta dan kasih sayang bagi mereka yang benar-benar beriman adalah hasil kecintaan kepada Allah. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:
“Tiga perkara yang barangsiapa memilikinya nescaya dia akan merasa kemanisan iman, iaitu apabila Allah dan RasulNya lebih dicintainya dari segala sesuatu selain keduanya, apabila seseorang mengasihi seseorang yang lain kerana Allah, dan apabila dia benci untuk kembali kepada kufur sebagaimana bencinya ia untuk dicampakkan ke dalam api neraka” ““ Riwayat Bukhari dan Muslim
5. ILAH Pemberi Rezeki
Kalimah Syahadah menerangkan bahawa Allah sahajalah yang memberi rezeki, manakala makluk pula hanyalah pembawa atau penyampainya sahaja dan bukannya sumber yang boleh menambah atau menguranginya walau sebesar zarah. Ini adalah hakikat yang nyata, tetapi manusia selalu terlupa terutamanya apabila mereka hilang pertimbangan ketika mengharungi pancaroba dan cabaran hidup.
“Wahai manusia, ingatlah akan nikmat Allah kepadamu. Apakah ada pencipta selain Allah yang dapat memberikan rezeki dari langit dan bumi? Tiada ILAH selain Dia. Maka di manakah akalmu?(Al-Fatir : 3)
“Katakanlah: Bagaimana keadaan kamu jika Allah mencabut pendengaranmu, dan penglihatan serta menutup qalbumu? Apakah ada ILAH selain Allah yang berkuasa mengembalikan (itu semua) kepadamu? (Al-An”™am : 46)
Menerima Allah sebagai ILAH yang satu-satunya memberikan rezeki, akan mendatangkan kesedaran bahawa memilih jalan yang tidak diredhai Allah tidak akan menambah rezeki yang telah ditetapkan untuk kita walaupun seberat zarah. Begitu juga, dengan mentaati perintah Allah tidak sekali-kali akan mengurangkan rezeki kita walaupun sekecil mana pun ia. Maka betapa sia-sianya usaha dan ikhtiar yang durhaka kepada Allah.
6. ILAH Sumber Perundangan
ILAH juga membawa pengertian sebagai Zat yang kepadanya kita rujuk untuk mendapatkan ketentuan baik dan buruk, untuk mendapatkan hukum dan keputusan yang akan dipatuhi. Ia adalah aqidah yang terhasil daripada kefahaman bahawa Allah adalah satu-satunya ILAH yang Maka Perkasa, mempunyai kekuasaan yang mutlak, keagungan yang tidak terbanding. Kekuasaan Allah yang meliputi segala sesuatu itu tidak mungkin boleh dibahagi-bahagi. Ulamak bersepakat bahawa, seseorang itu menjadi kafir jika dia beriktiqad bahawa ada hukum yang lebih baik, adil dan praktikal berbanding dengan hukum Allah, atau ada sistem yang lebih baik atau setanding dengan syariatNya.
“Barangsiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir” (Al-Maidah : 44)
Suatu ketika, seorang sahabat yang dahulunya beragama Nasrani, iaitu “˜Adi bin Hatim RA telah mendengar Nabi SAW membacakan sepotong firman Allah :
“”¦ Mereka (Ahli Kitab) menjadikan orang-orang alim dan rahib-rahib mereka sdebagai Rab selain Allah, dan (juga mereka melakukan hal yang sama kepada) Al-Masih putera Maryam, padahal mereka hanya disuruh menyembah ILAH yang Maha Esa. Tiada ILAH selain Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan” (At-Taubah : 31)
Lantas beliau bertanya kepada Rasulullah SAW, bahawa kami (yakni orang Nasrani) tidak pernah menyembah mereka!. Jawab Rasulullah SAW, “Tetapi mereka menghalalkan apa yang telah diharamkan oleh Allah dan mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah, dan kemudian kamu patuh kepadanya. Dengan demikian itu kamu menyembah mereka.” ““ Maksud hadith riwayat Tirmizi dan Ibnu Jarir.
Ketentuan untuk memutuskan halal atau haram, sah atau tidak, baik atau buruk, adalah hak Allah semata-mata.. Segala sesuatu yang berkaitan dengan hal ini mestilah tunduk dan patut kepada wahyu Allah.. Undang-undang yang kita iktiraf hanyalah undang-undang Allah, atau sesuatu yang bersumber daripada undang-undang Allah, dan pastinya tidak bertentangan dengan ketetapanNya.
“Menetapkan hukum itu adalah hak Allah.” (Al-An”™am : 57)
“Apakah mereka mempunyai sekutu-sekutu selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka Ad-Din yang tidak diizinkan Allah?” (Asy-Syura :21)
Syahadah kita menuntut supaya kita menentang dan membenci segala perundangan yang durhaka kepada Allah, dan inilah tanda keimanan. Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Barangsiapa di antara kamu melihat kemungkaran maka hendaklah dia merubahnya dengan tangannya. Apabila dia tidak mampu maka hendaklah merubahnya dengan lisannya dan jika tidak mampu maka hendaklah dia mencegahnya dengan hatinya. Dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.” ““ Riwayat Muslim
Ketaatan kita adalah kepada Allah, maka tiadalah kita terikat kepada undang-undang dan akta-akta ciptaan manusia sekiranya ia bertentangan dengan syariat Allah. FirmanNya:
“Apakah hukum jahiliah yang mereka kehendaki? Dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah, bagi orang-orang yang yakin?” (Al-Maidah : 50)
Sifat senang dan suka kepada hukum yang selain daripada hukum Allah, adalah sifat munafiq dan dilaknat oleh Allah. FirmanNya:
“Apakah kamu tidak perhatikan orang-orang yang mengaku dirinya beriman kepada apa yang telah diturunkan kepada kamu dan sebelum kamu? Mereka hendak berhakim kepada taghut, padahal mereka telah diperintahkan untuk mengingkari taghut itu. Dan syaitan itu bertujuan mahu menyesatkan mereka (dengan) penyesatan yang sejauh-jauhnya. Apabila dikatakan kepada mereka: Marilah kamu semua (tunduk) kepada hukum yang Allah telah turunkan dan kepada hukum Rasul, nescaya kamu lihat orang-orang munafiq akan menghalangi (manusia) dengan sekuat-kuatnya daripada (mendekati) kamu” (An-Nisa”™ : 60-61)

2 ulasan:

Assalamualaikum Warahmatullah

Senarai Blog Saya

Pengikut