Sabtu, 26 November 2011

Doa Awal tahun Akhir Tahun

Sumber Doa Awal dan Akhir Tahun

Diantara amalan yang sangat masyhur di kalangan masyarakat kita setiap tahun, adalah bacaan doa beramai-ramai pada setiap awal dan akhir tahun Hijrah.

Diriwayatkan bahawa diantara fadhilat membaca doa tersebut adalah hadith yang bermaksud:

"Barangsiapa membacanya syaitan akan berkata: Kami telah penat letih bersamanya sepanjang tahun, tetapi dia (pembaca doa berkenaan) merosakkan amalan kami dalam masa sesaat (dengan membaca doa tersebut).”

Mengenai kata-kata tersebut, Jamaluddin al-Qasimy telah menerangkan bahawa ianya ini tidak diriwayatkan di dalam sebarang kitab-kitab hadith yang bersanad, dan tidak juga di dalam kitab-kitab hadith maudhu’aat (palsu). (Islahul Masajid: 108). Maka ia bukankan daripada kata-kata Rasulullah صلى الله عليه وسلم‎ .

Sebaliknya, apa yang nyata adalah Rasulullah صلى الله عليه وسلم‎ , para sahabat dan para tabiin tidak pernah mengamalkan doa tersebut.

Ini telah diakui sendiri oleh beberapa para ulama seperti Abu Syamah (seorang ulama Syafie wafat pada tahun 665H), Mohd Jamaluddin al-Qhasimy (Islahul Masajid-129), Muhammad Abdus Salam as-Shuqairy (As-Sunan wal Mubtadaa’at-167), dan Dr Bakr Abu Zaid (Tashihud Doa-108), yang menegaskan bahawa “Doa awal dan akhir tahun” tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم‎ , para sahabat, tabiin, atau tabi’e tabiin.

Didalam perkara ini, kita haruslah berhati-hati, kerana sekiranya seseorang yang telah mengetahui bahawa sesuatu hadith itu palsu tetapi tetap meriwayatkannya sebagai hadith, maka dikhuatiri akan tergolong di dalam ancaman Rasulullah صلى الله عليه وسلم‎ :

“Barangsiapa yang melakukan penipuan (pemalsuan hadith) keatas diriku dengan sengaja, maka bersedialah suatu tempat untuknya di dalam neraka.” 

Dalam hadith yang lain pula, Rasulullah صلى الله عليه وسلم‎ bersabda:

“Barangsiapa yang meriwayatkan dariku sepotong hadith sedangkan dia tahu ianya palsu maka dia adalah salah seorang pembohong.” (Riwayat Muslim di dalam Muqaddimah Sahihnya: 1/62).

Kemudian, ada sebahagian golongan pula yang berdalih bahawa doa tersebut sebenarnya adalah sebahagian daripada amalan para solafussoleh kerana fadhilat doa tersebut ada di terangkan di dalam kitab “Majmuk as-Syarif”, tetapi bukan di dalam bentuk hadith.

Perkara ini sangatlah mengelirukan dan membahayakan kerana diantara fadhilat doa tersebut diriwayatkan bahawa akan diampunkan dosa-dosanya setahun yang lalu dan kononnya syaitan akan berkata:

"Kami telah penat letih bersamanya sepanjang tahun, tetapi dia merosakkan amalan kami dalam masa sesaat (dengan membaca doa tersebut)." 

Ini semua adalah perkara-perkara ghaib yang tidak boleh di-imani kecuali daripada sumber wahyu iaitu AlQuran atau sunnah. Oleh kerana, AlQuran dan sunnah tidak menyebutkan fadhilat-fadhilat tersebut, maka bagaimanakah boleh seseorang mengetahui bahawa syaitan berkata demikian dan sebagainya dan beriman dengannya?


Unsur-Unsur Syirik Doa Awal Tahun








“Tusrafu bi wajaahatihi jamieul mashaa-ib”
Ertinya: dan dengan kedudukannya (baginda Nabi Muhammad) tertolak segala musibah.

“Wa bi haqqi sayyidinaa Muhammad wa bihaqqi man lahu wajaahatun ‘indak min jamie’i kholqika an taghfira adz-dzunuuba kullahaa..”
Ertinya: dan dengan hak penghulu kami Muhammad dan dengan hak setiap yang punya kedudukan tinggi di sisi Mu dari sekelian makhlukMu agar Engkau ampunkan segala dosa…

Ini dinamakan “Tawassul bid’ah” bahkan yang boleh menjatuhkan pelakunya ke kancah syirik.

Sila rujuk kitab/buku terbitan pihak Majlis Ugama Islam Singapura; “Noktah Hitam ajaran sesat di Singapura”: halaman: 25 perkara ke-78:

“Wasilah yang diperintahkan di dalam Al-Quran ialah apa yang mendekatkan seseorang kepada Allah iaitu berupa amal ketaatan yang disyariatkan. Tawassul pula ialah mendekatkan diri kepada Allah dengan cara-cara tertentu. Adapun Tawassul ada tiga macam:

a. Masyru’ iaitu tawassul kepada Allah dengan Asma’ dan SifatNya, dengan amal salih yang dikerjakannya atau melalui doa orang salihin yang masih hidup.

b. Bid’ah iaitu mendekatkan diri kepada Allah dengan cara yang tidak disebutkan dalam syariat, seperti tawassul dengan peribadi para nabi dan orang-orang salih, dengan kedudukan mereka, kehormatan mereka dan sebagainya.

c. Syirik iaitu bila menjadikan orang-orang yang sudah meninggal sebagai perantara dalam beribadah, termasuk berdoa kepada mereka, meminta hajat dan memohon pertolongan daripada mereka.”

Sila rujuk beberapa kitab Tauhied karangan para Imam Ahlis Sunnah wal Jama’ah yang ada menyebutkan nash para Imam Ahlis Sunnah wal Jama’ah seperti Imam Asy-Syaafi’ee, Imam Maalik, Imam Abu Haniefah, Imam Ahmad dan lain lagi.

Kata Imam Abu Haniefah رحمه الله (ertinya):
“Adalah dibenci jika seseorang berdoa dengan mengatakan: Aku memohon kepada Mu dengan hak si fulan atau hak Nabi-nabi Mu dan hak Rasul-rasulMu atau hak Al-Bait Al-Haraam dan Al-Masy’aril Haraam”
(Sila rujuk: “Syarh Al-‘Aqiedah Ath-Thohaawiyah hal 234, Ittihaafus Sa’aadaat Al-Muttaqien jilid II, hal 285, Syarh Al-Fiqh Al-Akbar: hal 198. )


Kesimpulan

1) Daripada penjelasan ringkas diatas, kita akan sedari bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم‎ , para sahabat serta para tabi’in tidak pernah membaca doa-doa awal atau akhir tahun.

2) Fadhilat doa-doa tersebut bukanlah daripada kata-kata Rasulullah صلى الله عليه وسلم‎ dan bukan juga daripada kata-kata para sahabat. Yang lebih memberatkan lagi, ianya mempunyai ilmu-ilmu ghaib dimana umat Islam tidak boleh beriman dengan perkara-perkara ghaib kecuali ianya mempunyai nas daripada sumber-sumber syar’ie.

3) Berdoa adalah sesuatu ibadah yang sangat dituntut oleh syarak, namun doa awal dan akhir tahun yang diamalkan oleh sebahagian anggota masyarakat telah didapati tidak bersumberkan daripada apa-apa sumber Islam yang muktabar iaitu nas-nas al-Quran atau as-Sunnah. Malah, dilarang mereka-reka dalam agama dengan mengkhususkan sebab, masa dan tatacara sesuatu ibadah.

4) Sebahagian kandungan doa ini bercanggah dengan prinsip-prinsip aqidah Islam kerana memberikan unsur-unsur ketuhanan kepada baginda ar-Rasul صلى الله عليه وسلم‎ .

5) Kami menyeru agar masyarakat Islam yang ikhlas dan berakal berlepas diri daripada adat membaca doa awal dan akhir tahun yang telah nyata tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم‎ mahupun para sahabat, walaupun ia dilakukan oleh sebahagian tokoh-tokoh agama.

6) Kami juga menyeru agar para agamawan yang berkedudukan, imam-imam serta aktivis-aktivis masjid dan pertubuhan Islam agar sentiasa bersikap prihatin dan peka sekiranya ingin mengadakan sesuatu majlis. Ini adalah agar amalan-amalan tersebut tidak bertentangan dengan AlQuran atau ajaran Nabi صلى الله عليه وسلم‎ dan semoga ianya diterima oleh Allah sebagai sesuatu yang diredhoiNya di dunia dan di akhirat.

"Leaders must have the conviction to do what is right and not what is popular, even if it costs them political points", said Deputy Prime Minister Wong Kan Seng. (ST 8/12/09)

Lakukanlah yang benar, bukan sekadar menyokong secara jahil sesuatu yang masyhur hanya ingin mengekalkan pangkat dan kedudukan supaya diterima oleh masyarakat dan pemerintah sebagai agamawan arus perdana.


Doa Awal Bulan Dari as-Sunnah
Hadith #67: "Doa Melihat Bulan Tanggal Satu"
(Sumber: Hisnul Muslim oleh Sheikh Sa'eed Ibn Wahf al-Qathani)

اللهُ أَكْبَرُ، اَللَّهُمَّ أَهِلَّهُ عَلَيْنَا بِاْلأَمْنِ وَاْلإِيْمَانِ، وَالسَّلاَمَةِ وَاْلإِسْلاَمِ، وَالتَّوْفِيْقِ لِمَا تُحِبُّ رَبَّنَا وَتَرْضَى، رَبُّنَا وَرَبُّكَ اللهُ

“Allah Maha Besar. Ya Allah! Nampakkan bulan tanggal satu itu kepada kami dengan membawa keamanan dan keimanan, keselamatan dan Islam serta mendapat taufiq untuk menjalankan apa yang Engkau senang dan rela. Tuhan kami dan Tuhanmu (wahai bulan sabit) adalah Allah.”
[ Hadith Riwayat At-Tirmidzi 5/504, Ad-Darimi dengan lafazh hadits yang sama 1/336 dan lihat Shahih at-Tirmidzi 3/157.]

Doa ini bukan khusus untuk bulan Muharram semata-mata, ianya boleh dibacakan setiap awal bulan dalam kalendar Hijrah, sesuai dengan petunjuk Rasulullah صلى الله عليه وسلم‎ .

Maka, benarlah kata-kata Ibnu Abbas رضي الله عنه‎:

"Tidaklah datang kepada manusia satu tahun kecuali mereka mengada-adakan satu bid'ah dan mematikan satu sunnah. Demikianlah hingga berkembanglah bid'ah dan matilah sunnah." (al-Bida’ wa nahyu ‘anha,hal. 38-39; lihat Dharuratul Ihtimam, hal. 85)

لا تعرف الحق بالرجال, أعرف الحق تعرف أهله
"Jangan Dikenali Kebenaran Itu Melalui Orangnya, Tetapi Kenalilah Kebenaran Itu Terlebih Dahulu, Maka Engkau Akan Kenal Ahlinya"


Setiap yang benar itu adalah daripada Allah dan yang silap adalah daripada kelemahan diri kami sendiri ini.

Wallahu a'lam


Kajian dan Susunan oleh Ustadz Abu Mazaaya



sumber dari: http://www.islamiq.sg/2009/12/doa-awal-tahun.html 




******************************************************************************


Ini jawapan balas bagi entry di atas. Kredit buat Bro Azad


Assalam famili semua
Memang tidak ada hadis sahih so far yg ditemui ttg doa awal tahun dan akhir tahun. Sumber ni rujukan dari spore yg ramai musliminnya cenderung kepada fahaman salafi atau ada yg muhammadiah dan ada yg kata wahabi wallahu'alam. Jadi kita kena tgk dari perspektif lebih luas. Menyandarkan amalan doa awal thn ni dgn sesuatu hadis maudhu atau palsu atau diada2kan mmg haram. Tetapi jika kita mengadakan doa ini sbg suatu acara khas tertentu sama spt program doa org nak exam, pergi haji, pergi melancong tiada salahnya. Asalkan jgn sampai kita sandarkan hukumnya wajib atas sebab hadis yg tentu sahihnya atau atsar sahabat yg direka2.

Doa adalah amalan yg sgt dituntut dah disukai Allah kerana kita sedar kita hamba dan ada pergantungan pd yg Maha Kuasa. Ada hadis sahih mengatakan hatta jika kita x berdoa selepas solat pun, allah akan murka kerana sombongnya kita.
Ok kita tgk sejarah bilakah amalan doa awal dan akhir thn ini mula berlaku. Memang tiada bukti sahabat dan tabiin pernah mengamalkannya.
Kalau x silap saya, amalan ini hanya berlaku di kalangan ulamak nusantara terdahulu iaitu di indonesia, mesia, thailand n filipin.
Ada yg mengatakan imam daud fatani, pengarang kitab kuning atau matla' badrain yg mula amalkan doa ini.

Ini berdasarkan fahaman localiti nusantara yg mungkin bg ulamak ini, lebih baik diadakan amalan doa awal dan akhir tahun serta solat hajat dan mengingati sejarah hijrah rasulullah saw ke madinah.
Kita tau masyarakat melayu ni suka berkenduri-kendara dan bermajlis, maka mungkin lebih baik diadakan majlis khas berdoa dan solat hajat sambil memperingati suatu peristiwa yg besar.

Isi kandungan doa pun yg baik2 dan penuh dgn rasa kerendahan diri serta mohon pertolongan dgn Allah yg maha kuasa maka bukankah perkara yg baik?
Yg penting kita faham dan tidak menyandarkan amalan ini dgn hadis tertentu yg tidak pasti atau meletakkan sesuatu hukum wajib atau yg seumpamanya.
Kalau rasa taknak buat, boleh tapi kalau nak buat juga buatlah asalkan kita faham amalan yg kita lakukan. Hatta kalau doanya bagus, apa salahnya berdoa setiap hari.

Bagi saya, berlapang dadalah kita dlm perkara amalan ibadah dan berbaik sangka dgn ulamak2 nusantara nenek moyang kita.
Mereka ni mungkin lebih arif dari ulamak timur tgh yg tidak faham adat dan budaya kita.

Kerana jasa dan keberkatan ulamak2 nusantaralah, portugis, belanda dan inggeris gagal memurtadkan umat islam di mesia selatan thai dan indonesia. Hanya sekarang baru kita dgr ramainya yg murtad maka fikirkanlah..adakah sudah makin terhapus atau hilang ulamak2 yg dirahmati Allah? Wallahu'alam. Salam maal hijrah utk keluargaku yg dikasihi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Assalamualaikum Warahmatullah

Senarai Blog Saya

Pengikut