Jumaat, 18 Mac 2011

Apa ada pada STATUS FACEBOOK?

FACEBOOK usah disalah guna.

By Nadzri Mustakim

Siapa antara kome yang tak tahu ape kemenda FACEBOOK itu? Bagi yang tak tahu, FACEBOOK ialah sebuah tapak web rangkaian sosial yang dikendali dan dimiliki secara persendirian oleh Facebook, Inc. Sejak 2006, sesiapa yang berumur 13 tahun ke atas dan memiliki alamat e-mel yang sah boleh menjadi pengguna Facebook.

Bila disebut rangkaian sosial maksudnya segala paparan status akan melibatkan orang lain dalam senarai rakan kita. Bila ianya melibatkan orang lain, secara automatik kita dituntut untuk mempraktikkan HABLUN MINAN NAS.

Baiklah kome kome sekalian...

Elakkanlah dosa berganda kerana hidup kita yang sementara. Bukan kerana layan FACEBOOK itu akan menyebabkan dosa, tetapi LAGHA kerana melayani FACEBOOK ditambah lagi dengan perkara-perkara yang bakal disebut dibawah ini akan mengakibatkan dosa. Bukan hanya berdosa tetapi berpeluang mendapat dosa berganda. Antaranya:

Pernyataan pada STATUS FACEBOOK yang cenderung memburuk-burukkan orang lain. Atas tujuan Release Tension kononnya. Akhirnya tindakan tersebut akan mengakibatkan salah sangka, mengumpat, mengadu domba. Bukankah itu dosa berganda? Adakah kita tidak beriman dengan Al-Quran? Mengambil sebahagian ayat Quran yang kita suka dan meninggalkan yang lain? LIHAT, PERHATI, TADABBUR maksud ayat dari Surah Hujurat di bawah.

[11]
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu LEBIH BAIK daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu LEBIH BAIK daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.
[12]
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah DOSA; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu MENGUMPAT setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.

Ni pun termasuk dalam bab benda-benda pelik. Kita mengaku beriman dengan Al-Quran, tetapi tidak pernah menjiwai, memahami apatah lagi mengamalkan. Jika bukan kita sebagai individu muslim yang mengamalkan ajaran dari Al-Quran, siapa lagi? Adakah ayat di atas hanya ditujukan hanya kepada golongan USTAT atau USTAJAH SAHAJA? Nooooo.... Ayat di atas ditujukan kepada ORANG BERIMAN. Maksudnya jika kita tak mau follow, kita sama je dengan tak tergolong dalam orang beriman.

Teman-temanku.

Sesungguhnya setiap Mukmin itu bersaudara. Kalau kita tak puas hati dengan saudara kandung kita, adakah kita akan jaja cerita sekitar taman atau sekampung untuk bagitau ketidakpuasan hati kita?

Kalau saudara kita buat jahat pada kita, adakah dengan memaparkan pada status FACEBOOK akan menjadikan kita LEBIH BAIK dari dia?

Jika kita paparkan STATUS ketidakpuasan hati kita di FACEBOOK, adakah akan rasa tenang hati? Puas? Aman? Dan selepas itu adakah tercapai matlamat kita untuk dapat redha Allah? Atau kita tak pernah mimpi pun untuk gapai syurga-Nya?

Apakah yang kita cari sebenarnya atas muka bumi ini? Makan? Berapa pinggan yang kita boleh hadapi dengan sekali makan? Akhirnya apa yang kita makan itu kemana? System pembentungan juga.

Kepuasan hati? Berapa puas kita nak? Bagaimana yang dikatakan puas itu? Sampai orang yang kita benci tu mati? Hilang? Musnah? Ditukar jabatan? Lepas tu? Cari musuh lain? Sampai bila nak bermusuhan? Sampai bila nak berpuak-puak? Sampai bila asyik nak menang dan pentingkan diri? Kita selama ni PERASAN BAGUS, PERASAN JADI AHLI SYURGA, PERASAN BAIK, PERASAN TAK BERSALAH, PERASAN TAK BERDOSA. KITA MEMANG PERASAN. Sebab tu kita berani langgar perintah Allah. Sebab tu jarang kita syukuri nikmat Allah. Sebab tu kita lewat-lewatkan solat. Malah ada antara kita yang jarang-jarang solat. Solat bila ada mood. Solat bila ada masalah.

Sedangkan beza antara mukmin dan kafir adalah perlaksanaan solatnya (mafhum hadis Rasulullah saw).

Eh apa kaitan STATUS FACEBOOK dengan SOLAT?

Lihat Surah Ankabut:

[45]
Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

Janji Allah bahawa solat itu boleh mencegah dari perbuatan keji (STATUS menghina, mengutuk, sia-sia, mengumpat, menjaja, mengadu domba, memaki di FACEBOOK) dan mungkar.

“Eh ustat, ada jugak orang yang solat tak penah tinggal, tapi perangaiiiii ngalahkan setan” begitulah soalan berbentuk pernyataan yang diutarakan suatu ketika dahulu.

Jawapan saya:

Adakah sama GAMBAR seekor lembu dengan seekor lembu?

Dah tentu tak sama.

Maksudnya, solat org yang berperangai mcm setan itu hanya GAMBARAN SOLAT sahaja. Dia hanya melaksanakan ritual solat. Solat kerana terpaksa. Solat kerana malu kat orang kalau tak solat. Solat dengan hati yang langsung tak pernah ingat Allah. Solat yang hatinya lalai yang akhirnya ke neraka wail. Solat dia perlu DIPERBETUL. Bukan hanya GAMBARAN SOLAT. Ritualnya solat, hatinya kelaut.

Jadi tak hairanlah kalau orang yang solat pun berperangai pelik.

Apatah lagi orang tak solat atau solat celup-celup. Maka perangai lebih buruk dari itu.

“abistu cemana tu ustat, dengan STATUS FACEBOOK tu?”

Cemana apa? Gunakanlah STATUS FACEBOOK sebagai peluang untuk meraih pahala sebanyak mungkin. Bukannya dihabiskan dengan perkara yang sia-sia. Hidup kita hanya sekali. Mati pun tak taw bila. Ntah esok atau lusa. Gunakanlah masa yang berbaki ini untuk merebut keredhaan dari Allah.

Usahlah ditambah dengan perkara-perkara dosa kerana dosa kita yang sedia ada pun dah berlambak-lambak. Dah la malas nak solat, taubat jauh sekali. Tapi nak syurga gred A.

Begitulah tadi flashback saya....

Isnin, 7 Mac 2011

Respon pembaca : Saman

Assalamualaikum warahmatullah...

Minggu lepas saya terima sebuah email sebagai respon terhadap entry sebelum ini. Boleh dapati disini. Mari kita lihat apa yang disampaikan oleh sipengirim...


Walaupun saya ni bukan lawyer tapi betul la tu. Ada 2-3 kes yg org awam menang berkenaan kes saman ekor/blacklist bila fight dlm mahkamah.


Akan tetapi, beberapa bulan sudah kalau tak silap, ada perubahan perlembagaan kes ini yg kalau tak silap ,allow pdrm/jpj utk teruskan saman ekor memadai dgn cukup bukti bergambar melalui speed trap camera. Kononnya dah diluluskan kabinet.

Cuma tak pasti samada memang betul dah diluluskan kabinet atau tak? anyone knows.

Projek Automated Enforcement System (AES) by JPJ and ministry of transport dah 2-3 thn tergendala pasal isu artikel perlembagaan ni menanti kelulusan kabinet.

Once projek AES, ada seribu lebih camera installed kat jalan federal, highways, traffic lights etc. camera operate 24 hrs and can capture video for 12 sec. Speed beyond 300km/h pun boleh captured. We have tested in few locations backed in 2008. Ada satu area kat putrajaya tu, average 2000 kesalahan langgar lampu merah captured dlm masa 24 jam. So just imagine how much money our government will make soon?

I dont mind if our personal tax reduced to 20% capped (now 26%), service tax reduced to 3% (now 5%) and gov tax reduced to 3% (now baru naik 6%in 2011).....hehehhehhh...

prihatin.......

Do we ever realized that when a fresh graduate engineer started working in 1995/1996, the basic salary average is around RM2400 or RM2500.

Now...after 16 years, the fresh grad engineers are still having the same basic salary, worse in some companies/factories, they are paid less like 2300 or 2200.

In 1995, we can get a new Wira car 1.3 at the price of less than 30k. Now proton saga 1.3 (lower spec than wira) std harga 38k, myvi 40++k. Kenaikan harga more than 30%
Harga rumah dah naik more than 50%, harga rumah murah dulu 25k, now 35k only in rural areas, in town dah jadi 45k so almost 80% increase.
harga gula, minyak, tepung, baju, diapers, susu etc etc semua naik dah lebih 30% minimum

Bayangkan betapa rendahnya purchasing power yg dihadapi oleh fresh grads kita sekarang ni. Ni yg graduate, camne lak dgn diploma people, yg lulus spm je ? Camne lah diorang nak kawin nak cover all the expenses? nak beli kereta, nak beli rumah, makan etc etc
This is happening to our sisters/brothers and children...

What are the politicians up there thinking about all these? We are actually doing from bad to worse..but kena camouflage dgn all sort of gimmick news!

People say those brainies like to work either in public sectors or corporate sectors, those with less brains but hardworking will work at plantations or manufacturings. Now we have left with those with almost zero or less brains to run the government....hahahhahh...(NOT ALL !!)

renung2kan dan selamat beramal..............

Mana yang elok, kita amik. Mana yang tak elok, kita tinggalkan. Kitakan dah mumayyiz...

Khamis, 3 Mac 2011

Ketahui Hak Anda Dalam Saman Ekor

Assalamualaikum Warahmatullah....

2 3 hari yang lepas ramai antara kita yang berpusu2 nak pegi bayar saman (boleh masuk perkara yang pelik2 tuh). Jarang sekali lihat orang berpusu2 nak pegi solat masjid / surau kecuali hari raya laaa...

Kita pulak cukup takut dengan hukuman dunia "tak bole renew rotek, tak bole renew lesen = bakal disaman lagi jika pandu kreta tiada rotek dengan lesen dah mati". Kita tak pernah rasa gerun dengan janji Allah akan azab siksa-Nya yang dahsyat kerana tak bersyukur.

Bukan itu pokok persoalannya....

Hari ni nak berkongsi sebuah dapatan dari email seorang member. Mari kita tambah ilmu di dada... usah diperbodohkan lagi.

Tajuk:

Ketahui Hak Anda Dalam Saman Ekor

Oleh : Zulhazmi Shariff

Ramai yang masih kabur dan tidak faham hak mereka sebagai rakyat Malaysia. Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi Negara. Perlembagaan Persekutuan menjamin hak setiap rakyat Malaysia tanpa mengira agam, kaum, bangsa dan juga fahaman politik. Semua warganegara dijamin hak yang sama.

Salah satu hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan ialah hak rakyat terhadap harta. Ini disebut dalam Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan

Hak terhadap harta.

(a) Tiada seseorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang.


(b) Tiada sesuatu undang-undang pun boleh membuat peruntukan bagi mengambil atau menggunakan harta-harta dengan paksa dengan tiada pampasan yang mencukupi.

Selalunya Perkara 13 ini digunakan di dalam kes pengambilan tanah melalui Akta Pengambilan Tanah 1960. Sebenarnya Perkara 13 ini bukan sahaja melibatkan harta tak alih seperti tanah, tetapi meliputi harta alih seperti kenderaan. Justeru penafian hak memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga sebenarnya termasuk di dalam penafian hak rakyat terhadap harta. Alasannya jika seseorang rakyat itu dihalang dari memperbaharui cukai jalan kenderaan mereka yang menyebabkan kenderaan itu tidak boleh digunakan maka rakyat itu telah dinafikan haknya terhadap harta.

Jika seseorang rakyat telah dinafikan hak mereka menggunakan harta (kenderaan) mereka tanpa alasan yang berlandaskan peraturan dan undang-undang maka Perkara 13 (b) menyatakan bahawa pampasan hendaklah diberikan. Ini bermaksud jika JPJ menghalang seseorang memperbaharui cukai jalan yang menyebabkan kenderaan tidak boleh digunakan, maka JPJ hendaklah membayar pampasan kepada pemilik kenderaan tersebut.

Hujah ini adalah bersandarkan keputusan kes Leonard Lim Yaw Chiang lwn Director of Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak yang telah diputuskan pada tahun 2009. Di dalam kes ini, seorang rakyat bernama Leonard Lim Yaw Chiang telah disenarai hitam dan dihalang oleh JPJ Sarawak dari memperbaharui cukai jalan kereta beliau. Beliau telah memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuching untuk memutuskan bahawa tindakan JPJ menyenarai hitam dan menghalang beliau memperbaharui cukai jalan adalah salah. Beliau juga memohon gantirugi daripada JPJ di atas kehilangan penggunaan kereta beliau selama kereta tersebut tidak boleh digunakan kerana tiada cukai jalan.

Mahkamah telah memutuskan bahawa JPJ tidak boleh menyenarai hitam kenderaan di atas suatu kesalahan yang belum dibuktikan di Mahkamah. Tindakan JPJ menyenarai hitam diputuskan telah bertentangan dengan Perkara 13 Perlembagaan. JPJ juga telah diarahkan membayar gantirugi kepada pemohon dalam kes itu kerana kesusahan beliau tidak dapat menggunakan kenderaan sehingga terpaksa menyewa kenderaan lain.

Justeru di sini ingin dimaklumkan kepada pemandu-pemandu dan pemilik-pemilik kenderaan yang dinafikan hak mereka memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu, bahawa hak anda dilindungi oleh Perlembagaan. Pihak berkuasa tidak boleh sewenang-wenang menafikan hak anda.

Berbalik kepada tawaran Kerajaan memberikan diskaun pembayaran saman sehingga hari ini 28/2/2011. Ingin dimaklumkan bahawa tindakan ini tetap salah. Isu utamanya ialah bukan jumlah bayaran kompaun atau denda itu RM300 atau RM150 atau pun RM50. Isu utamanya adalah, ADAKAH SESEORANG ITU BENAR-BENAR MELAKUKAN KESALAHAN YANG DIDAKWA SEHINGGA MEREKA WAJIB MEMBAYAR DENDA?

Perlu diambil perhatian bahawa untuk menguatkuasakan sesuatu peraturan dan undang-undang, sesebuah pihak berkuasa hendaklah juga mengikut peraturan dan undang-undang. Saman tidak boleh tertunggak. Jika ada yang tertunggak maka ianya bukan saman. Saman hendaklah dikemukakan di Mahkamah. Orang yang disaman (OKS) hendaklah diserahkan saman dan diperintahkan hadir ke Mahkamah untuk menjawap saman itu. Jika OKS mengaku salah maka mahkamah akan memerintahkan OKS itu membayar denda. Jika denda dibayar maka saman itu selesai dan tidak akan tertunggak. Jika saman diserahkan kepada OKS tetapi OKS tidak hadir ke Mahkamah, maka mahkamah akan keluarkan waran tangkap supaya OKS hadir mahkamah. Maka proses yang sama akan berlaku iaitu OKS akan ditanya mengakui kesalahan atau meminta bicara. Jika mengaku maka akan diarahkan supaya bayar denda bagi saman itu. Maka selesailah saman itu. Tidak tertunggak. Jika tidak mengaku maka akan dibicarakan. Bergantung kepada keputusan mahkamah, jika didapati salah selepas bicara, maka akan diperintahkan untuk bayar denda. Selesai lah saman itu. Jika tidak bersalah maka luput juga saman itu. Tidak tertunggak.

Soalannya kenapa ada saman tertunggak? Jawapannya pertama kerana saman-saman itu tidak pernah dibawa ke Mahkamah. Kedua kerana yang dikatakan saman itu sebenarnya bukan saman tetapi notis sahaja.

Saman Ekor yang dikatakan saman ini sebenarnya bukan saman tetapi sekadar notis kepada pemilik kenderaan meminta maklumat pemandu yang dikatakan memandu melebihi hadlaju. Notis ini juga disertakan tawaran kompaun jika pemilik kenderaan mengaku melakukan kesalahan. Ia dikeluarkan di bawah Seksyen 115 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atau dikenalai dengan Notis Pol 170A. Jika pemilik tidak mengaku kesalahan maka kompaun tidak perlu dibayar kerana kompaun itu hanyalah tawaran. Jika pemilik tidak membayar kompaun sepatutnya pemilik disaman supaya hadir ke Mahkamah bagi menjawap tuduhan memandu melebihi hadlaju. Kemudian proses mahkamah yang dijelaskan sebelum ini akan berlaku. Maka saman itu akan selesai dan tidak tertunggak. Masalah timbul apabila pihak berkuasa terus menghukum pemilik supaya membayar kompaun sedangkan kesalahan tidak dibuktikan. Kompaun bukan denda tetapi tawaran. Denda hanya boleh dikeluarkan dan diarahkan oleh Mahkamah. Bukan Polis dan bukan JPJ. Inilah penyalahgunaan kuasa dan peraturan oleh pihak berkuasa. Mereka bertindak melebihi kuasa yang diberikan. Mereka bertindak sebagai penghukum sedangkan tugas itu hanya ada pada Mahkamah.

Justeru kepada semua rakyat Malaysia, ketahui hak anda, jangan mudah terpedaya dengan tawaran dan penindasan. Gunakan hak anda… TIADA SIAPA BOLEH MEMAKSA ANDA MEMBAYAR SESUATU YANG ANDA TIDAK LAKUKAN. Anda Mampu Mengubahnya.

Bagaimana JPJ boleh menhalang pembaharuan cukai jalan?

1) Seksyen 17(1)(d) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2010

JPJ berkuasa menghalang seseorang melakukan apa-apa transaksi termasuk perbaharui cukai jalan tetapi setelah JPJ BERPUASHATI bahawa seseorang ada perkara yang belum selesai dengan JPJ dan Polis.

Bagaimana JPJ hendak BERPUASHATI?

2) Seksyen 17(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2010

JPJ hendaklah memberikan peluang kepada seseorang membuat representasi. Ini bermaksud JPJ hendaklah menjalankan siasatan adakah seseorang itu ada perkara yang belum selesai. Maka semua pihak perlu hadir iaitu pemilik kenderaan, JPJ dan Polis yang mengeluarkan saman. Perlu disiasat adakah saman yang dikatakan ada kepada seseorang itu betul atau tidak. Sudah dibuktikan di mahakamh atau tidak. Jika tidak maka JPJ tidak boleh menyenarai hitam. Inilah maksud BERPUASHATI

3) Seksyen 17(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2010

Jika dihalang daripada perbaharui cukai jalan maka Pengarah JPJ hendaklah maklumkan kepada Ketua Pengarah pengangkutan, di mana Ketua Pengarah hendaklah maklumkan secara bertulis dalam tempoh 14 hari kepada pemilik kenderaan tentang alasan halangan dibuat ke atas pemilik. Adakah notis ini pernah dikeluarkan kepada pemilik?

Jika anda dihalang daripada perbaharui cukai jalan tanpa alasan yang sah anda boleh:

a) Minta alasan bertulis daripada JPJ kenapa anda dihalang.

b) Minta JPJ perbaharui cukai jalan dengan segera jika alasan bertulis itu tidak munasabah dan tidak betul.

c) Jika JPJ enggan mematuhi permintaan anda, anda boleh menyaman/menuntut di Mahkamah untuk gantirugi kehilangan penggunaan kenderaan anda dan kesusahan anda kerana tidak boleh menggunakan kenderaan.

Zulhazmi Shariff ialah Penasihat Undang-Undang Kempen Anti Saman Ekor (KASE)


Demikian tuan2 & puan2 sidang pembaca...

Ruang perbincangan masih terbuka untuk kita bincangkan... demi untuk kebaikan kita bersama

Senarai Blog Saya

Pengikut