Soalan:
Adakah hantu itu wujud?
Benarkah dakwaan sesetengah orang bahawa hantu berasal daripada roh seseorang
yang tidak tenteram maka ia akan bangkit dari kuburnya untuk mengganggu
kehidupan manusia yang masih hidup.
Jawapan:
Hantu dalam masyarakat Melayu seringkali digambarkan sebagai makhluk
ghaib yang menjelma dengan rupa yang menakutkan. Sesetengah orang Melayu
mengatakan bahawa hantu itu berasal daripada roh orang mati yang tidak tenteram
disebabkan sesuatu hajat yang belum selesai seperti untuk membalas dendam ke
atas orang yang masih hidup. Antara jenis hantu yang sering dikaitkan dengan
orang yang meninggal dunia adalah hantu pontianak, hantu kubur, hantu pocong,
hantu langsuir dan lain-lain. Ada sesetengah orang Melayu menggunakan istilah
'roh kembali' terhadap beberapa fenomena mistik yang berlaku dalam masyarakat
sehingga ada sesetengah pembikin drama dan filem pula menjadikannya sebagai
modal untuk menjual filem dan drama mereka.
Dalam Islam, hantu seperti mana yang dipercayai oleh masyarakat Melayu
itu sama sekali tidak wujud. Sebaliknya, daripada perkhabaran al-Qur'an dan
al-Sunnah didapati apa yang diperkatakan oleh masyarakat Melayu itu tiada kena
mengena langsung dengan roh orang mati sebaliknya ia adalah Iblis, jin dan
syaitan. Malah,
mempercayai kewujudan Iblis, jin dan syaitan termasuk dalam rukun Iman yang
wajib diimani. Ini kerana kewujudan Iblis, jin dan syaitan disebut secara jelas
di dalam al-Qur'an dan al-Sunnah walaupun manusia tidak dapat melihatnya. Ini
bermakna mempercayai kewujudan kedua-duanya termasuk dalam beriman kepada
Allah, Kitab dan Rasul. Firman Allah SWT dalam surah al-Zariyat ayat 56:“Dan
(ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka
menyembah dan beribadat kepada-Ku”.
Begitu juga firman Allah SWT dalam surah al-Kahfi ayat 50 yang
menjelaskan tentang asal usul syaitan dan Iblis: “Dan (ingatkanlah peristiwa)
ketika Kami berfirman kepada malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam; lalu mereka
sujud melainkan Iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka
terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan Iblis dan
keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain
daripada-Ku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu, amatlah buruknya bagi
orang-orang yang zalim; pengganti yang mereka pilih itu”.
Manakala firman Allah SWT dalam surah al-A‘raf ayat 27 pula menjelaskan
tentang sifat jin dan syaitan itu yang ghaib dan tidak boleh dilihat oleh
manusia. Firman Allah SWT: “Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan
oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari syurga,
sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan
kepada mereka, aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya syaitan
dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka.
Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu teman rapat bagi
orang-orang yang tidak beriman”.
Bagaimana Iblis, jin dan syaitan menyerupakan diri?
Walaupun, pada hakikatnya Iblis, jin dan syaitan tidak boleh dilihat,
tetapi dengan kelebihan tertentu, Iblis, jin dan syaitan boleh menyerupakan
diri dengan rupa tertentu termasuk bagi tujuan menakut-nakutkan manusia
Al-Qadhi Abu Ya’la Muhammad bin al-Husain bin al-Farraa’ berkata: “Tidak
ada kemampuan bagi syaitan untuk mengubah penciptaan mereka dan berubah bentuk.
Namun Allah boleh sahaja mengajarkan kepada mereka beberapa kalimat dan
perbuatan di mana jika ia mengucapkan kalimat tersebut atau melakukan
perbuatan-perbuatan tersebut Allah SWT akan mengubahnya daripada satu
bentuk ke bentuk yang lain. Dikatakan: Syaitan mampu untuk mengubah bentuk dan
membuat khayalan dengan maksud bahawa ia mampu untuk satu perkataan yang jika
ia mengatakannya atau melakukannya maka Allah akan mengubahnya daripada satu
bentuk ke bentuk yang lain sesuai dengan kebiasaan yang berlaku. Adapun jika ia
mengubah dirinya sendiri, maka hal itu mustahil, kerana berubah dirinya
daripada satu bentuk ke bentuk yang lain akan menguraikan struktur dan merombak
bahagian-bahagiannya. Apabila hal itu terjadi, maka musnahlah kehidupan”. Aakaam al-Marjaan, hal. 19.
Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah: “Sesungguhnya hantu pernah mereka
sebutkan di sisi Umar al-Khattab. Maka beliau berkata: Bahawasanya tidak ada
yang mampu untuk merubah bentuk aslinya sebagaimana diciptakan Allah SWT
mula-mula. Namun mereka mempunyai tukang sihir sebagaimana tukang sihir yang
ada di antara kalian. Apabila kalian melihat hal itu, maka ucapkanlah azan pada
mereka”. Al-Hafiz Ibn Hajar berkata : “Isnadnya sahih”. Fath al-Bari (6/344).
Adakah hantu boleh memudaratkan manusia?
Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, hantu itu hanyalah
penyerupaan yang dilakukan oleh Iblis, jin dan syaitan. Sebagaimana Rasulullah
SAW pernah ditanya tentang hantu, maka baginda bersabda: “Mereka adalah tukang
sihir daripada kalangan jin”. Sanad riwayat ini adalah sangat lemah (da’if
jiddan). Namun begitu, hal ini tidaklah menafikan apa yang diriwayatkan
oleh Muslim dalam Sahih-nya dari Jabir: Bahawasanya Rasulullah SAW pernah
bersabda: “Tidak ada wabak penyakit, kesialan, dan hantu”. Diriwayatkan
oleh Muslim (14/217 dengan Syarh al-Nawawi).
Apabila Rasulullah SAW menafikan wabak penyakit, kesialan dan hantu, ia
bukanlah bermakna Rasulullah SAW menafikan kewujudannya, tetapi Rasulullah SAW
ingin menafikan anggapan atau kepercayaan yang meletakkan pemberi manfaat dan
mudarat kepada selain Allah SWT. Ia seperti kepercayaan masyarakat Arab yang
mengatakan bahawa hantu boleh menyesatkan manusia yang sedang bermusafir di
padang pasir. Ia sama dengan kepercayaan sesetengah masyarakat Melayu bahawa hantu
mampu memudaratkan mereka.
Imam al-Nawawi rahimahullah berkata: “Jumhur ulama berkata bahawa
orang-orang Arab meyakini hantu berada di padang-padang pasir. Ia merupakan
salah satu jenis syaitan yang menampakkan diri kepada manusia untuk
menakut-nakutkan manusia dengan mewarnai diri mereka dengan aneka macam warna,
sehingga mereka menyesatkan dan mencelakakan. Oleh kerana itu, Nabi SAW
membatalkan anggapan atau kepercayaan mereka tersebut. Manakala yang lain pula
berkata, maksud hadith tersebut bukan untuk menafikan kewujudan hantu, kerana
makna membatalkan hanyalah pada anggapan atau keyakinan orang-orang Arab
tentang berubahnya rupa hantu pada bentuk yang lain lalu membunuh mereka.
Mereka berkata, sabda Rasulullah SAW: “Tidak ada hantu” (laa ghuula), iaitu
tidak dapat menyesatkan seseorang. Hal itu dikuatkan oleh hadith yang lain:
“Tidak ada hantu, namun ia adalah al-sa’aali (tukang-tukang
sihir di kalangan jin)”. Para ulama berkata: al-Sa’aali adalah
tukang sihir daripada kalangan jin, iaitu kalangan jin mempunyai tukang sihir
yang dapat mengelabui mata dan membuat khayalan atau halusinasi”. Sahih
Muslim (14/214) dengan Syarh al-Nawawi.
Ini menunjukkan Iblis, jin dan syaitan yang menjadi hantu itu tidak
sekali-kali mempunyai kuasa untuk memudaratkan manusia. Sesungguhnya manfaat
dan mudarat adalah hak mutlak yang datang daripada Allah SWT. Kerana itulah
Rasulullah SAW mengajarkan kepada kita al-mu’awwizat yang
berupa ayat-ayat al-Qur’an seperti surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Nas yang
mampu untuk memelihara diri kita daripada gangguan jin dan syaitan.
Perlukah takut kepada hantu?
Seperkara yang perlu diketahui, lebih-lebih lagi sebagai seorang yang
beriman kepada Allah SWT, pada hakikatnya Iblis, jin dan syaitan sangat takut
kepada manusia. Kerana itu, adalah sesuatu yang menghairankan jika manusia pula
yang takut kepada jin atas dasar takut kepada hantu.
Diriwayatkan oleh Ibn Abi al-Dunya dari Mujahid, beliau berkata: “Ketika
aku melakukan salat pada suatu malam, tiba-tiba berdirilah makhluk seperti
kanak-kanak di hadapanku. Lalu aku mengejar untuk menangkapnya. Ia pun berdiri
dan melompat ke balik dinding hingga aku mendengar bunyi jatuhnya. Ia tidak
kembali lagi setelah kejadian itu”.Aakam al-Marjan, hal. 137.
Mujahid berkata: “Sesungguhnya mereka (jin) takut kepada kalian
sebagaimana kalian pun takut kepada mereka”. Dan diriwayatkan juga dari
Mujahid, beliau berkata: “Syaitan itu lebih takut daripada salah seorang di
antara kalian. Apabila ia menampakkan diri kepada kalian, maka janganlah kalian
takut sehingga akan menguasai kalian. Akan tetapi bersikap beranilah kalian
kepadanya, nescaya ia akan pergi”. Aakam al-Marjan, hal. 137.
Al-Hafiz Abu Bakr Muhammad bin Muhammad bin Sulaiman al-Baghandi
berkata: Telah menceritakan kepada kami Ahmad bin Bakkar bin Abi Maimunah:
Telah menceritakan kepada kami Ghiyath, dari Husain, dari Mujahid, beliau
berkata: “Syaitan senantiasa menampakkan diri kepadaku saat aku berdiri
melaksanakan salat dalam bentuk atau rupa Ibnu ‘Abbas. Lalu aku teringat
perkataan Ibnu ‘Abbas sehingga selalu mempersiapkan pisau di sisiku. Satu saat,
ia (syaitan) kembali menampakkan diri kepadaku, lalu aku serang dan aku tusuk
ia sehingga mengenainya. Ia pun jatuh tersungkur. Setelah itu, aku tidak pernah
melihatnya lagi”.Aakaam al-Marjaan, hal. 166.
Menerusi riwayat-riwayat ini, dapat difahami bagaimana golongan
salafussoleh tidak pernah menjadikan ‘hantu’ sebagai sesuatu yang ditakuti.
Malah Iblis, jin dan syaitan hanyalah makhluk ciptaan Allah SWT yang tidak
mempunyai apa-apa kuasa dan kelebihan jika dibandingkan dengan iman dan taqwa
yang menjadi pakaian mukmin.
Kesimpulannya, sebagai seorang muslim, kita dituntut untuk beriman
kepada perkara ghaib. Oleh itu, percaya dengan kewujudan Iblis, jin dan syaitan
termasuk dalam keimanan terhadap perkara yang ghaib. Walau bagaimanapun, kita
tidak dibenarkan berlebih-lebihan untuk mengkaji, merekayasa atau menokoktambah
perkara-perkara ghaib sehingga membawa kepada syirik, khurafat dan tahyul.
Memadailah bagi kita apa yang dikhabarkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya SAW.
Wallahu a’lam.
(Artikel ini telah diterbitkan dalam Majalah al-Ustaz, Telaga Biru)