Rabu, 21 September 2011

Ramadhan, Syawal & Merdeka

Alhamdulillah Allazi Hadana lihaza.....

Akhirnya ALLAH memberi kesempatan untuk mengupdate blog ini.

Hari ini dah 23 Syawal dah 23 hari setelah Ramadhan. Apa hasil perjuangan kita dalam Ramadhan? ada perubahan? Masih teruskan rutin mengaji selepas solat fardhu? Masih berusaha untuk solat awal waktu dan berjemaah? Bagaimana dengan ibadah nawafil? Fardhu kifayah kita? bertambah atau berkurang? Check dan re-check.

Allah ingatkan dalam Surah Al-Haqqah : 18

"Pada hari itu kamu dihadapkan (kepada Rabb), tiada sesuatu pun dari keadaan kamu yang tersembunyi (bagi-NYA)"

Umar Al-Khattab pernah kata dan kata-kata ini cukup mahsyur.

"Hisablah (buatlah perhitungan untuk) diri kamu sebelum kamu dihisab, dan timbanglah diri kamu sebelum kamu ditimbang. dan bersiaplah untuk menghadapi hari yang besar, iaitu hari diperlihatkan (amal seseorang), sementara semua amal kalian tidak tersembunyi dari-NYA."

Saudara-saudaraku;

Masih teringat lagi pengumuman bonus separuh bulan gaji yang diterima sebelum raya. Ramai yang happy ramai juga yang bersyukur pada ALLAH.

Tapi, ALLAH telah beri kita bonus setiap hari dan kita sepatutnya berasa happy dan teruja mendapat bonus ini. ALLAH beri kita bonus kehidupan. Tanpa hidup kita tak kan dapat mengecapi bonus-bonus yang lain.

Maka, solat dan sujudlah sebagai tanda syukur atas bonus kehidupan ini. Ketahuilah bahwa Manusia tanpa ruh adalah lebih hina dari besi buruk.

Tapi, setiap manusia punya tanggapan berbeza mengenai kehidupan. Sebagai contoh cer kita tanya seorang jurutera pandangan beliau tentang laut. Walau apa pun jawapan, sudah pasti ianya berbeza dengan jawapan seorang nelayan yang melihat laut sebagai 'pejabatnya'.

Kita boleh berbeza pandangan berkaitan kehidupan, tapi kita sekali-kali tiada hak untuk menentukan matlamat hidup kita. Kita tidak berhak untuk menetapkan tujuan kita dihidupkan. Kerana keduanya telah ditetapkan oleh Pencipta kita

Keliru?

Saya bagi contoh.

Kasut yang direka oleh nadzri tiada hak untuk menentukan matlamat ia direka. Yang berhak ialah nadzri si perekanya. Kasut tidak boleh bertindak sewenang-wenang menetapkan tujuan 'hidupnya'. Kasut tidak boleh bertindak sebagai tukul atau sofa L shape. Jika kasut tidak selari dari matlamat ia direka, kasut tersebut akan menjadi sampah.

Kita sebagai manusia juga begitu, jika kita lari dari matlamat hidup yang telah ditetapkan Pencipta kita, maka kita akan jadi sampah.

Kita bukan tak tahu ini semua, bukan tidak pernah dengar, bukan tiada ilmu tentang hal berkaitan. Tapi bila soalan yang sama ditanya berulang kali, mengapa jawapan yang diterima masih berbeza. Bila jawapan berbeza, maka amalan serta tindakan juga berbeza. Ayat 56 Az-Zariyyat itulah sebenarnya matlamat penciptaan kita. Begitu juga dengan ayat ke 30 Baqarah. Keduanya menetapkan kita dicipta untuk apa.

ALLAH yang Maha Tahu dan Maha Bijaksana mengurniakan kita Ramadhan untuk mengembalikan kita kepada fitrah dan setelah kita lalui bersama 1 bulan Ramadhan adakah kita sudah kembali kepada fitrah beribadah dan menjadi khalifah-NYA?

Oh dimana kita tadi? Bincang pasal kehidupan... tujuan dan matlamat hidup.

Puasa bagi kita mereka yang sudah agak lama hidup perlu lebih bermakna bagi kehidupan. Bagi mereka soalan yang timbul bukan lagi berkisar adakah korek idong batal puasa. Tetapi mereka (dan kita) sepatutnya memikirkan bagaimana kita MEMAKNAKAN puasa? diterima atau tertolak puasa kita.

Adakah puasa kita berjaya menjadikan kita hamba?

Ramai antara kita yang tidak makan (diluar Ramadhan) bukan kerana tak mahu makan, tetapi doktor tak bagi makan. Ada juga dikalangan kita yang gagal berlaku adil terhadap diri sendiri. Buktinya? Lihat saja BMI masing-masing. BMI merupakan penanda aras yang ALLAH telah letakkan untuk setiap insan. Berlebih atau berkurang? Adakah puasa kita berupaya menjadikan kita hamba yang adil? (makna adil ialah meletakkan sesuatu tepat pada tempatnya, Letak berat kita pada BMInya)

Kita boleh capai BMI itu jika kita bersungguh mengikuti cara yang telah Rasulullah ajar. Makan sebelum lapar dan berhenti sebelum kenyang. Hal ini cukup simple, tapi begitu sukar untuk dipatuhi. Sebab itu segelintir dari kita terpaksa membelanjakan duit dalam jumlah yang banyak mendapatkan produk-produk pelansingan dan bentuk badan yang ideal (BMI yg tepat). Malah lebih hebat lagi, kita boleh dengan sengaja melewatkan solat semata-mata nak pergi makan. Alasannya : "Bila lapar kena makan dulu". Bukankah apa yang Rasulullah tunjuk kena makan sebelum lapar? bukan bila dah lapar. Kita sanggup dahulukan kehendak serta nafsu kita dari menyembah ALLAH. Kita memang pentingkan diri sendiri.

Soalan : Matlamat hidup kita apa? makan untuk hidup atau hidup untuk makan. cliche?

Bukan tak boleh makan, tetapi jadikanlah aktiviti makan itu sebagai ibadah. Bagaimana? follow apa yang Rasulullah tunjuk. Makan sebelum lapar dan berhenti sebelum kenyang.

Soalan : Bagaimana tarbiyah Ramadhan kita?

Lihat sepanjang Syawwal ini, sebulan digunakan untuk buat rumah terbuka di sini sana. Eh tak boleh ke buat makan-makan nak bagi orang makan? Boleh. Tapi kenapa hanya dalam Syawwal? Zulkaedah? Safar? bulan-bulan yang lain? Bukankah ianya seolah-olah membalas dendam kerana kita 'ditahan' untuk makan waktu siang sepanjang Ramadhan? Berhasilkah tarbiyah Ramadhan kita?

Seterusnya,

Puasa sepatutnya dilakukan atas dasar Ubudiyyah (kehambaan atau merasa diri kita hamba)

Menahan diri dari perkara yang membatalkan puasa adalah makna yang kita bentangkan bila orang tanya apa itu puasa.

Betul ke kita berjaya menahan diri? Pergi ke bazaar Ramadhan untuk membeli juadah berbuka. Kenang kembali Ramadhan yang lepas dan tanya diri kita, adakah kita berjaya menahan diri untuk membeli juadah sekadar yang diperlukan dan tidak membazir atau wang di dalam poket yang tidak mencukupi untuk berbelanja lebih?

Kita yang mengawal diri atau nafsu yang mengendali? yang nyata bila kita lakukan ibadah bukan atas dasar ubudiyyah maknanya kita masih belum MERDEKA. Merdeka dari belenggu nafsu sendiri.

Senarai Blog Saya

Pengikut